WAJIB KE SESEORANG ITU BERPANTANG?
Ketika zaman dahulu, berpantang adalah sangat penting kerana kadar kematian ketika itu sangat tinggi. Berbeza pula dengan zaman sekarang, kadar kematian adalah rendah. Penyakit ketika zaman dahulu adalah berbeza dengan zaman sekarang, menjadikan sesetengah amalan berpantang selepas bersalin itu ada yang relevan dan tidak relevan.
Selain itu, pantang larang orang tua dahulu juga amat menitik beratkan soal pengambilan makanan kerana dibimbangi terjadinya kegatalan pada bahagian luka menyebabkan ketidakselesaan. Ini kerana, benang yang digunakan untuk menjahit luka ibu diperbuat daripada usus haiwan yang mengambil masa sehingga tiga bulan untuk lenyap. Kesan sampingannya adalah, kegatalan.
Begitu juga dalam soal mengangkat berat selepas bersalin. Jelas Dr. Imelda, apabila ibu teran terlalu lama, urat saraf dikenali sebagai saraf pudendal akan turun ke bawah. Ia akan menyebabkan kecederaan. Namun, orang zaman dahulu tiada sebarang bantuan menyebabkan faraj menjadi longgar dan peranakan jatuh kerana meneran terlalu lama. Oleh itu, mengangkat sesuatu yang berat amat dilarang.
Amalan berpantang secara tradisional dilihat masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, teknik tradisional secara keseluruhannya telah ditinggalkan dan digantikan dengan gabungan amalan tradisional dan moden menjadikan ia lebih sesuai diamalkan untuk generasi hari ini. Sejajar peredaran masa, orang tua-tua tidak lagi menjaga wanita lepas bersalin. Sebaliknya ia diganti dengan mengambil penjaga upahan bertauliah dalam menyediakan keperluan berpantang wanita lepas bersalin.
Amalan berpantang masih relevan diamalkan pada hari ini untuk mempercepatkan proses penyembuhan. Namun ia bergantung kepada individu untuk mengamalkannya atau tidak. Ini kerana masing-masing mempunyai kepercayaan tersendiri untuk memulihkan badan masing-masing.
Kredit gambar: Laman web Bar and Bench