VAKSIN UNTUK ANAK

Sama ada di Malaysia mahupun negara luar, ancaman penyakit berjangkit berisiko untuk bayi dan kanak-kanak kerana sistem imun mereka yang masih rendah berbanding orang dewasa. Bagaimanapun, pengetahuan, sikap peka dan persediaan ibu bapa dalam menghadapi ancaman penyakit menjadi penentu utama tahap kesihatan anak pada masa hadapan. Usah ambil mudah sekiranya anak anda mengalami demam, selesema, sakit perut mahupun batuk kerana ia mungkin petanda awal bagi penyakit berjangkit yang membawa risiko ke arah lebih serius sehingga memerlukan rawatan segera doktor.

Vaksin ialah nama bahan atau ubat yang terdiri daripada virus yang sudah mati atau sudah dilemahkan atau sebahagian daripada bakteria mahupun toksin daripada bakteria tersebut yang sudah dilemahkan. Tujuan diberikan vaksin supaya sistem imun atau daya tahan/daya lawan jangkitan akan membina antibodi terhadap jangkitan kuman tersebut.

Menurut pakar, vaksin menjadi satu keperluan terhadap kanak-kanak kerana ia mampu mencegah atau mengelakkan komplikasi berat daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit yang berbahaya. Vaksin yang disyorkan kepada kanak-kanak buat masa ini bagi kerajaan Malaysia, kita sudah mendapat vaksin untuk penyakit seperti tuberkulosis, hepatitis B, difteria, pertussis, tetanus, polio, haemophilus influenzae type B, measles (campak), mumps (beguk), rubella dan human papillomavirus HPV. Ia untuk bayi baru lahir sehinggalah berumur 18 bulan dan ketika di peringkat sekolah bermula tujuh hingga15 tahun. Ia adalah vaksin yang wajib diberikan kepada kanak-kanak dan disediakan kerajaan secara percuma.

Vakzin lain secara tambahan lebih bagus kalau diambil dan diberi perlindungan kepada kanak-kanak, antaranya vaksin jenis pneumococcal, influenza, chicken pox, hepatitis A, meningococcal dan rotavirus. Ini antara inisiatif ibu bapa untuk mengambil perlindungan tambahan di klinik atau hospital swasta.