BAYI BERKAHAK, RAWATAN YANG BOLEH BUAT DIRUMAH

Apabila si kecil mula batuk dan selesema secara berterusan, biasanya ia cenderung menyebabkan munculnya kahak. Sudah tentu ia akan membuatkan ibu bapa, khususnya hati si ibu susah hati melihat si kecil tidak selesa akibat kahak. Kahak atau dalam istilah English dikenali sebagai phlegm. Ia merupakan cecair yang pekat dan hadir dalam warna yang berbeza, seperti hijau, kuning atau jernih, bergantung kepada tahap dan keadaan jangkitan.

Kahak walaupun tampak cecair lendir atau hingus yang keluar daripada hidung disebabkan alahan, selesema atau keradangan, tetapi ia adalah berbeza kerana ia merupakan lendir yang terhasil daripada saluran udara rendah dan bukannya disebabkan oleh hidung dan sinus. Kahak ini biasanya akan melekat pada selaput mukus (mucus membrane), malahan kahak  juga akan dikeluarkan melalui selaput ini. Selaput mukus ini wujud pada sepanjang saluran pernafasan, bermula daripada paru-paru hingga ke rongga hidung.

Cara mengeluarkan kahak bayi & anak kecil :

  • Mandikan anak anda dengan air suam untuk memberikan keselesaan kepada mereka.
  • Keluarkan kahak selepas mandi air suam kerana kahak agak cair pada waktu itu.
  • Sedut secara manual iaitu menggunakan mulut / sedut menggunakan tiub penyedut hingus yang boleh didapati di farmasi.
  • Wapkan anak anda. Caranya masukkan air panas yang masih panas yang masih mengeluarkan wap ke dalam bekas yang agak lebar. Titiskan minyak telon ke dalam air panas. Selubungkan kain di atas kepala dan bawa muka bayi dekat dengan wap air. Hasilnya, ia akan memberi kelegaan pada rongga-rongga pernafasan.
  • Cuba tepuk bahagian belakang dan hadapan badan anak anda dengan tapak tangan. Gerakkan tangan perlahan-lahan sambil menepuk seluruh kawasan badan anak anda.

Berikut pula antara apa yang boleh dilakukan ibu bapa bagi mengelakkan penyakit ini kepada bayi: 

  • Hidung bayi dan anak kecil sangat sensitif terhadap habuk dan bau-bauan. Pastikan keadaan rumah sentiasa bersih dan elakkan semburan pewangi di dalam rumah. Jika di rumah memakai karpet, pastikan karpet divakum bersih. Elakkan binatang peliharaan berkeliaran di dalam rumah kerana bulunya boleh menyebabkan alergi pada hidung bayi dan anak kecil.
  • Pastikan bayi dan anak kecil sentiasa dalam keadaan suhu bilik yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Kurangkan penggunaan penghawa dingin di dalam rumah. Jika terlalu sejuk, suhu itu akan menekan dada bayi dan anak kecil dan menyebabkannya sukar bernafas. Jika cuaca sejuk, pakaikan bayi dan anak kecil anda dengan baju yang lebih tebal.
  • Bayi dan anak kecil memerlukan udara yang bersih dan segar. Maka pastikan untuk mewujudkan suasana tersebut di dalam rumah anda. Elakkan bayi dan anak kecil daripada bau asap rokok dan asap lain.
  • Elakkan bayi daripada makan makanan sejuk. Cuba berikan makanan panas yang dimasak sendiri. Elakkan juga makanan yang diproses.