PEMERIKSAAN KANDUNGAN SEUSIA 1 BULAN SEHINGGA KELAHIRAN

Setiap pasangan pasti menantikan kehadiran cahaya mata terutama anak yang pertama bagi mereka. Bagi setiap wanita, kehamilan adalah fasa yang sangat indah dan menggembirakan. Namun, setiap ibu yang hamil perlu memastikan penjagaan sepanjang kehamilan diambil berat bagi memastikan keadaan ibu dan bayi sentiasa sihat dan tiada sebarang komplikasi terjadi sehingga saat kelahiran.

Trimester pertama adalah fasa yang paling sensitif dan sedikit memcabar bagi para ibu hamil. Pada fasa ini, ibu perlu menjaga kandungan dengan baik bagi mengelakkan sebarang risiko keguguran. Kesihatan mental dan fizikal bayi yang bakal lahir adalah dipengaruhi oleh cara penjagaan ketika di peringkat pra-kehamilan dan trimester pertama.

Wanita hamil perlu sentiasa mendapatkan nasihat doktor, menjaga pemakanan, mengamalkan gaya hidup sihat dan mengikut panduan kehamilan dari doktor dan pembacaan sumber sahih. Pengimbasan pada trimester pertama selalunya dilakukan melalui imbasan ultrasound pada usia kandungan minggu ke-11 hingga ke-13 bagi mendapatkan maklumat tentang jangkaan masa bersalin, kandungan tunggal atau kembar dan sebarang masalah pada struktur atau genetik bayi.

Ujian lain seperti risiko sindrom Down serta sindrom lain juga dapat diketahui ketika trimester pertama. Selain itu, ujian darah juga boleh dilakukan untuk mengetahui sebarang risiko penyakit pada ibu ketika kandungan membesar.

Pemeriksaan berterusan perlu dilakukan sehingga kelahiran oleh ibu bagi memastikan janin berada di dalam keadaan yang sihat. Perkembangan janin seperti otak, muka, jantung, paru-paru, tulang belakang, buah pinggang, kaki, tangan dan jantina adalah organ dan anggota yang perlu dititik beratkan untuk dijaga sepanjang kehamilan.

Info tambahan:

  • Trimester pertama: Bermula saat persenyewaan berlaku sehingga minggu ke-12.
  • Trimester kedua: Minggu ke-13 sehingga minggu ke-27.
  • Trimester ketiga: Minggu ke-28 sehingga kelahiran bayi.