MAKANAN TERBAIK UNTUK IBU MENYUSU

Banyak sangat pantang lepas bersalin sampai aku tak tahu nak makan apa. Tapi setahu aku, makanan ibu menyusu ni kenalah berkhasiat kan?

Ketika sedang berpantang, ibu bukan sahaja perlu memberi perhatian penuh pada penjagaan bayi, tetapi kesihatan diri juga perlu dititikberatkan. Pemakanan ibu yang sihat dan seimbang perlu dirancang supaya dapat memulihkan kembali tenaga, mengembalikan rasa segar badan, dan membanyakkan penghasilan susu yang berkualiti untuk bayi.

Seperti yang kita sedia maklum, susu ibu adalah sumber pemakanan utama dan terbaik untuk tumbesaran bayi. Setiap apa yang dimakan oleh ibu, bayi akan mendapat khasiatnya daripada susu badan yang diminum.

1. BAWANG PUTIH

Bawang putih ini amat disarankan bagi pengambilan ibu dalam tempoh berpantang. Ia bukan sahaja berfungsi untuk memulihkan luka dalam dan membuang angin dalam badan, ia juga mempunyai khasiat dalam membanyakkan penghasilan susu badan.

Bawang putih boleh diletakkan dalam makanan, atau disagat dan dicampurkan dengan susu dan sedikit madu atau gula.

2. IKAN SALMON

Ikan salmon amat baik untuk pemakanan ibu berpantang kerana kandungan DHA iaitu lemak semulajadi sihat yang amat tinggi. DHA memberi kesan yang memberangsangkan buat perkembangan saraf bayi. Susu badan juga mempunyai kandungan DHA yang tinggi.

Dengan penambahan pengambilan DHA dalam diet harian, ia dilihat dapat memberi kesan baik buat kesihatan bayi dan anak. DHA dalam salmon juga didapati dapat mengawal emosi ibu berpantang daripada terkena ‘pospartum depression’ atau lebih dikenali sebagai meroyan.

Ikan lain yang berkhasiat tinggi yang boleh diambil oleh ibu berpantang ialah ikan tuna dan tenggiri.

3. PRODUK TENUSU SEBAGAI MAKANAN IBU MENYUSU

Produk tenusu seperti susu, yogurt, dan keju kaya dengan vitamin D  dan kalsium bagi membantu menguatkan tulang yang sedang berkembang dalam badan bayi.

Namun perlu diingat, ada sesetengah bayi yang alah dengan produk tenusu. Oleh itu, cuba ambil dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu. Jika anda mengesan sebarang ketidakselesaan pada bayi setelah mengambil sebarang produk tenusu, elakkan pengambilannya buat sementara waktu.

4. SAYURAN BERDAUN HIJAU

Sayur berdaun hijau seperti sawi, bayam, dan brokoli kaya dengan vitamin seperti vitamin A, C dan zat besi.

Ia juga membantu ibu untuk mendapatkan semula bentuk badan ideal selepas bersalin kerana kandungan kalorinya yang rendah.

Di samping itu, ia merupakan alternatif baik untuk produk tenusu kerana kandungan kalsiumnya yang tinggi.

5. SUMBER PROTIEN SIHAT

Ada yang menganggap bahawa makanan seperti ikan dan telur ‘tajam’ atau ‘bisa’ untuk ibu yang masih berpantang. Namun, pengambilan protein adalah antara yang terpenting dalam diet ibu berpantang.

Sumber protein seperti daging, telur. kerang, dan soya mampu membekalkan zat besi mencukupi untuk penghasilan darah bagi mengurangkan risiko kekurangan tenaga dan anemia iaitu kandungan sel darah merah rendah. Protein juga dapat membantu memulihkan luka bersalin dengan membaiki tisu-tisu dalam badan.

6. BIJIRIN PENUH

Bijirin penuh amat digalakkan untuk diambil bagi ibu berpantang yang sedang menyusu. Dengan mengambilnya pada waktu sarapan, ia mampu membekalkan tenaga secara mencukupi untuk ibu.

Ia juga kaya dengan asid folik yang penting untuk tumbesaran bayi sihat. Bijirin penuh boleh diambil dengan makan beras perang, bijirin sarapan, roti dan pasta.

Selain membekalkan zat besi, serat dan vitamin penting untuk kesihatan ibu dan bayi, kandungan serat juga dapat membuatkan anda terasa kenyang lebih lama sekaligus membantu anda mengurangkan berat badan selepas bersalin.

7. KEKACANG ANTARA MAKANAN IBU MENYUSU

Ada yang kata, makan kekacang akan membuatkan badan ibu berpantang mudah rasa ‘angin’. Tapi sebenarnya, kekacang seperti badam, gajus dan kacang kuda amat  baik untuk dijadikan snek berkhasiat dalam diet ibu berpantang.

Ini kerana ia dapat membantu dalam membanyakkan penghasilan susu badan dan merupakan sumber protein yang baik dengan kandungan lemak semulajadinya yang baik untuk kesihatan.

8. BUAH OREN

Oren dan buah-buahan sitrus lain yang kaya dengan vitamin C adalah makanan penting untuk ibu sedang menyusu. Malahan, ia dapat mengelakkan masalah sembelit yang cukup ‘mengerikan’ dan sentiasa dialami oleh ibu selepas bersalin.

Kalau tak sempat makan buah oren, boleh minum jus oren untuk mendapatkan khasiatnya.

9. AVOKADO

Sering kali masalah yang sering dihadapi oleh ibu berpantang ialah sering lapar kerana perlu fokus kepada penjagaan anak. Tambahan pula, ibu sering kekurangan masa untuk menyediakan makanan yang seimbang untuk diri sendiri.

Avokado ialah antara makanan terbaik bagi ibu berpantang yang sibuk kerana ia mengandungi 80% lemak berkhasiat yang dapat membuatkan seseorang rasa kenyang pada jangka masa yang lebih lama. Ia juga kaya dengan pelbagai vitamin penting untuk kesihatan seperti vitamin B,C, E dan folat.

10. SAYURAN BERWARNA MERAH & JINGGA

Selain sayur-sayuran hijau, sayuran berwarna jingga dan merah seperti lobak merah, ubi bit dan labu juga sangat baik dijadikan makanan ibu menyusu dan berpantang kerana kandungan phytoestrogen yang tinggi. Kandungan phytoestrogen ini dipercayai dapat membantu dalam penghasilan susu.

Sayuran jenis ini sering dijadikan menu hidangan makanan ibu menyusu dan berpantang dalam masyarakat Cina.

11. KURMA ADALAH MAKANAN IBU MENYUSU TERBAIK!

Kandungan zat besi dan kalsium yang terdapat dalam kurma menggalakkan penghasilan susu badan yang berkualiti.

Di samping itu, memakan kurma juga membantu ibu menyusu memulihkan tenaga setelah proses bersalin, mengurangi keletihan, serta melancarkan pencernaan.

CC: PantangPlus

PUTING MELECET KETIKA MENYUSU

Pernah tak anda mengalami puting melecet, luka dan bernanah? Apa yang anda buat bagi hilangkan rasa sakit itu? Sebenarnya, hampir 80% hingga 90% ibu menyusu mengalami luka, melecet hingga berdarah. Ada juga yang sampai terjadi mastitis.

Hanya mereka yang pernah mengalaminya tahu azab sakit puting melecet itu bagaimana, kan? Tak hairanlah apabila luka, ada ibu ambil keputusan untuk berhenti menyusukan anak. Sedangkan, banyak penelitian dijalankan menunjukkan puting luka boleh sembuh dan tidak bahaya jika bayi terus menyusu.

Banyak sebab yang membawa kepada puting melecet. Tapi jika hingga bernanah ia bermakna si ibu tidak mengambil langkah-langkah sepatutnya apabila puting sudah melecet di peringkat awal.

PUNCA PUTING LUKA

1. JANGKITAN KUMAN PADA KULIT PUTING

Jangkitan kuman pada kulit puting yang membuatkan ia seolah terbakar. Infeksi ini juga boleh ada dalam mulut bayi. Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan jangkitan juga pada bayi anda. Jadi jika anda perasan sebarang perkara aneh pada puting payudara, seeloknya cubalah teliti bagi mengelakkan berlakunya keadaan yang menyebabkan anda kesakitan dan rasa tidak selesa.

2. INFEKSI PADA SALURAN SUSU

Jangkitan pada saluran susu juga boleh berlaku. Jangkitan itu akan menyebabkan puting anda membengkak dan akhirnya melecet. Ibu yang pernah mengalaminya berkongsi dan ia dikatakan amat menyakitkan hingga boleh buat si ibu demam.

3. PAYUDARA MELEPUH

Payudara melepuh seperti warna putih di hujung puting. Payudara melepuh juga boleh terjadi jadi sekiranya anda rasa payudara anda seakan kering, segeralah sapukan krim yang sesuai dan selamat.

4. RAYNAUD SYNDROME

Keadaan apabila puting berubah jadi putih setelah menyusu dan sakit ketika haid. Sekiranya anda rasa anda alami masalah ini ketika haid, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubatan yang sesuai bagi mengelak ia semakin teruk dan menyebabkan anda rasa sakit berterusan.

CARA MENGATASI PUTING MELECET

Ada beberapa cara yang boleh ibu lakukan bagi mengatasi puting melecet. Perkara ini tidak boleh dibiarkan atau dipandang remeh kerana jika dibiarkan luka akan menjadi lebih teruk dan menyebabkan masalah lain seperti nanah dan jangkitan yang akan menyebabkan si ibu lebih merana.

Bukan ibu saja, malah bayi juga tidak dapat menyusu. Perkara ini juga jika dibiarkan boleh mendatangkan trauma kepada si ibu dan juga bayi. Ambil tahu perkara ini supaya ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan anak di kemudian hari.

Jadi si ayah atau suami juga perlu ambil perhatian jika berlakunya puting melecet keoada isteri. Antara perkara yang boleh dilakukan untuk merawat puting melecet termasuklah:

1. TITISKAN SUSU BADAN

Jika puting anda mula merekah, cuba sapukan sedikit susu ibu yang diperah ke atasnya selepas menyusu. Titiskan susu badan ke atas puting luka setiap kali sebelum dan selepas menyusukan bayi. Menurut ibu-ibu yang pernah mencubanya, ia amat membantu jika ibu alami puting melecet. Susu ibu mengandungi zat yang dapat bantu sembuhkan luka dan melawan jangkitan.

2. ELAK GUNA SABUN

Elak guna sabun atau lotion pada bahagian puting semasa mandi. Cukup basuh puting dengan air biasa. Ini kerana sabun biasanya mempunyai beberapa kandungan yang boleh menyebabkan berlakunya radang lebih teruk pada kulit. Jika kulit sedang mengalami radang ada sabun yang boleh membuatkan keadaan kulit menjadi lebih kering dan menyebabkan luka lebih sukar untuk pulih dan sembuh. Jadi cuba elakkan gunakan sebarang sabun pada kulit puting yang luka atau melecet. Cukup sekadar cuci atau lap dengan air suam saja.

3. SAPU KRIM UNTUK PUTING MELECET

Gunakan krim untuk puting melecet. Ada pelbagai jenis krim di pasaran yang selamat untuk bayi dan anda malah tidak perlu dibasuh terlebih dan boleh terus menyusukan bayi jika krim disapu. Terdapat banyak krim di pasaran yang anda boleh pilih dan cuba. Gunalah krim yang sesuai untuk keperluan anda.

4. TUKAR PAD PAYUDARA

Tukar pad payudara2 pada setiap susuan dan jika boleh, gunakan pad tanpa alas plastik. Pad penyusuan pakai buang adalah lebih elok. Tetapi pastikan ia tanpa alas plastik kerana ia sedikit keras dan boleh menyebabkan iritasi lebih teruk pada kulit puting anda.

5. GUNAKAN BRA KAIN KAPAS

Kain kapas lebih mudah menyerap peluh dan ia sangat sesuai untuk pelbagai jenis kulit kerana kelembutan dan jarang menyebabkan iritasi.

6. JANGAN BERHENTI SUSUKAN BAYI

Teruskan menyusukan bayi anda selama yang mereka mahu. Penyusuan dalam tempoh masa pendek untuk “merehatkan” puting anda tidak akan mengurangkan sakit puting dan boleh menjejaskan bekalan susu anda. Memang sakit, namun ia sebenarnya adalah salah satu cara untuk membuatkan luka pada puting anda cepat baik.

7. ELAK MENGGUNAKAN PELINDUNG PUTING

Elakkan daripada menggunakan pelindung puting iaitu sarung puting yang kadangkala keras dan menimbulkan ketidakselesaan. Ini tidak akan meningkatkan pelekapan bayi anda pada payudara. Namun, jika puting luka tiada tanda-tanda penyembuhan dalam tempoh dua hari, segera dapatkan rawatan doktor. Semoga maklumat ini dapat membantu anda.

CC: TheAsianParent

BAYI MENGIGIT KETIKA MENYUSU

Bagi sesetengah ibu baharu, pasti akan berasa seram untuk membayangkan proses penyusuan badan ketika bayi sudah mempunyai gigi. Pastinya ia sesuatu yang menyakitkan. Mungkinkah perlu menghentikan penyusuan badan?

Alamak, janganlah sampai begitu. Gigi bayi yang tumbuh sepatutnya tidak memberikan kesan yang berlebihan kepada proses penyusuan. Malahan pada ketika bayi berasa gusi tidak selesa kerana gigi mahu tumbuh, mungkin menyusu secara terus dari payudara merupakan sumber ketenangan terbaik buat si manja.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh anda cuba untuk mengelakkan si kecil daripada menggigit agar proses penyusuan berjalan lancar:

1. GUNAKAN MAINAN GIGI

Berikan si manja mainan gigi (teething toys) untuk mereka gigit atau kunyah beberapa minit sebelum memulakan proses penyusuan. Ataupun cara tradisional juga boleh membantu. Gunakan kain bersih yang dibasahi dengan air sejuk dan diletakkan di dalam peti sejuk selama beberapa minit, kemudian gosokkan secara lembut jari yang bersih pada gusi bayi bagi memberikan kelegaan sementara. Sekiranya bayi anda berusia lebih 6 bulan dan sudah makan makanan pejal, mungkin dia akan menyukai makanan sejuk seperti pisang yang dibekukan.

2. PERIKSA LEKAPAN PENYUSUAN

Bayi yang menyusu dengan teknik lekapan yang betul pastinya tidak boleh menggigit. Jadi anda perlu memastikan ia dilakukan dengan betul. Namun adakalanya, walaupun teknik lekapan betul, bayi mungkin masih akan menggigit puting anda. Ini terutamanya jika mereka tertidur ketika menyusu dan berasa puting seperti terkeluar daripada mulut. Ia tindakan refleks semula jadi. Jadi untuk menghindari situasi ini, pastikan anda menarik keluar puting daripada mulut si manja sebelum mereka tertidur atau sebaik sahaja mereka melelapkan mata. Jangan terleka atau puting anda akan menjadi mangsa gigitan mereka!

3. SALAH FAHAM

Adakalanya gigitan yang berlaku mungkin disebabkan salah faham. Bayi anda mungkin memerlukan sesuatu untuk menggigit kerana berasa gatal pada gusi dan bukannya mahu menyusu. Jadi untuk mengelakkan sebarang salah faham dan kejadian yang tidak diingini akibat bayi menggigit ketika menyusu, anda boleh cuba memberikan si kecil jari anda (pastikan bersih, okay?). Jika mereka menghisap, bermakna mereka lapar dan bersedia untuk proses penyusuan. Sekiranya mereka menggigit, berikan mainan gigi kepada mereka.

4. PERHATIKAN TANDA KEKENYANGAN

Tabiat menggigit biasa berlaku apabila si kecil sudah kenyang dan hilang keinginan untuk menyusu. Jadi perhatikan sebarang tanda yang menunjukkan dia sudah kenyang seperti berhenti menghisap atau terlelap. Bawakan si kecil jauh daripada payudara bagi mengurangkan peluangnya untuk menggigit

5. BERIKAN PERHATIAN

Adakalanya bayi akan menggigit apabila anda tidak menumpukan perhatian kepadanya, seperti leka dengan panggilan telefon atau menonton televisyen. Cuba untuk memberikan perhatian kepada si manja saat menyusu dan perhatikan jika ia membantu mengurangkan tabiat menggigitnya.

BAYI TIDAK MAHU MENYUSU BADAN

Bayi tidak mahu menyusu badan? Adakah ibu-ibu sedang merasakan perkara sebegini? Berbagai perasaan yang ibu mula rasakan. Ada yang mula panik dan risau dan tidak kurang juga ada yang mula merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Manakan tidak, tidak ke si ibu berasa hairan bila anaknya elok sahaja menyusu badan. Tetapi lama kelamaan, anak mula menolak puting untuk menyusu badan. Pastilah si ibu berasa takut bila anda tidak mahu menyusu badan secara tiba-tiba kerana takutkan anak berasa lapar atau ada perkara yang anak cuba sampaikan tetapi ibu tidak mengetahui mengapa agaknya dengan anak mereka.

Daripada si ibu berteka teki, lebih baiklah jika ibu mengetahui punca sebenar kenapa bayi tidak mahu menyusu badan. Mungkin juga ibu mempunyai sangkaan yang ibu sendiri yang bermasalah sampaikan anak tidak mahu menyusu badan.

Jangan khuatir para ibu, ini antara punca-puncanya.

PUNCA BAYI TIDAK MAHU MENYUSU BADAN

Bayi yang tidak mahu menyusu badan seringkali dikaitkan dengan breast-feeding strike atau dalam erti kata lain mogok. Mungkin bayi ada beberapa perkara yang mereka ingin beritahu, jadi inilah caranya untuk anak anda memberitahu anda.

1. BAYI BERASA TIDAK SELESA ATAU SAKIT

Kalau bila bayi menyusu badan dan dia mula tolak, besar kemungkinan anak anda sedang nak tumbuh gigi atau mungkin selsema. Perkara-perkara ini menyebabkan ketidakselesaan mula berlaku. Dengan ini bayi akan menjadi tidak selesa ketika hendak menyusu badan.

2. BAGI BANYAK SUSU FORMULA

Apabila si ibu terlalu banyak beri susu formula, anak akan berasa kenyang dengan susu formula. Sampaikan anak anda langsung tidak mahu menyusu badan. Lagi satu, kalau anda terlalu memberikan anak anda puting bayi atau pacifier pun anak anda akan lagilah tidak mahu menyusu badan dan tidak mahu terima susu ibu.

3. PERUBAHAN PADA BAU DAN RASA

Anak anda boleh mengesan perubahan tau jika rasa susu badan ibu berubah ataupun dari segi bau badan ibu. Jika si ibu memakan makanan yang berbeza, atau sedang datang haid, atau sedang mengambil ubat. Ia akan menyebabkan bayi tidak mahu menyusu badan. Bau juga boleh mempengaruhi bayi. Perubahan pada bau si ibu seperti bau minyak wangi, bau sabun badan atau deodoran yang berlainan pun boleh buatkan bayi tidak mahu menyusu badan.

4. HIDUNG TERSUMBAT

Jika bayi mengalami demam selsema atau hidung berair yang menyebabkan bayi mendapat hidung tersumbat, alamatnya memang susahlah anak anda nak menyusu sebab sukar nak bernafas.

5. STRESS ATAU GANGGUAN

Bayi pun boleh mendapat stress sebenarnya. Apatah lagi apabila melibatkan ibu jika ibu berjauhan dengannya begitu lama, atau lambat beri susu. Jika tempat anda menyusu mempunyai banyak gangguan seperti bunyi bising, ia turut boleh mengganggu bayi.

Adakah ia sesuatu yang normal?

Ibu-ibu, bayi tidak mahu menyusu badan ini sememangnya normal dan biasa berlaku dalam kalangan bayi. Mudah untuk si ibu berasa risau atau menyangkakan bahawa si anak sudah mahu bercerai susu dengan ibu. Ini perlulah ibu-ibu semak terlebih dahulu punca. Jangan terus buat sangkaan sahaja.

Malah, disebabkan takut anak berasa lapar, terus ibu-ibu berikan botol susu tanpa henti kerana menyangkakan yang anak tidak mahu susu badan terus.

Harus diingatkan kepada ibu-ibu bahawa bayi tidak mahu menyusu badan ini atau breast-feeding strike adalah merupakan satu perkara yang bersifat sementara. Anak anda masih boleh menyusu badan jika anda lakukan beberapa perkara ini.

Apa yang si ibu patut lakukan jika bayi enggan menyusu?

1. PAM SUSU BADAN

Jika anak anda tidak mahu menyusu dengan menggunakan badan, anda masih boleh memberikan anak anda susu badan dengan cara lain seperti memberi anak minum dengan menggunakan sudu atau botol.

2. TUKAR POSISI ATAU BERSIHKAN HIDUNG BAYI

Kalau anak anda tidak selesa semasa menyusu badan, anda boleh tukar posisi anak anda menyusu. Selain itu, jika hidung bayi anda tersumbat, anda boleh bersihkan hidung anak terlebih dahulu.

3. JANGAN BERPUTUS ASA

Anak anda tidak mahukan susu badan? Jangan putus asa, berikan susu badan pada masa anak anda tenang atau waktu anak anda sudah mula mengantuk.

4. HILANGKAN GANGGUAN

Beri anak menyusu badan di tempat yang tidak mempunyai gangguan.

5. FOKUS PADA IBU

Adakah ibu mengambil ubat atau apa sahaja yang menyebabkan bayi hilang minat untuk menyusu badan? Jika ya, ibu kena fokus pada diri ibu dulu. Jika bayi anda masih enggan menyusu pada waktu yang lama, atau lampin anak anda tidak basah seperti selalu, anda boleh berjumpa doktor.

KHASIAT BARLI UNTUK IBU MENGANDUNG DAN MENYUSU

Barli mengandungi sumber serat, vitamin, kalsium, zat besi, mangan, magnesium, anti-oksidan dan macam-macam lagi! Berikut adalah antara khasiat barli untuk ibu mengandung dan menyusu.

1 ) MILKBOOSTER SEMULAJADI

Menurut LiveStrong.com, barli tergolong sebagai salah satu makanan laktogenik, iaitu kategori makanan yang boleh menggalakkan penghasilan susu badan. Seperti oat, barli telah diamalkan sejak berkurun lamanya sebagai milkbooster semulajadi yang berkhasiat tinggi untuk ibu menyusu.

2 ) MEMBANTI MELANCARKAN PENCERNAAN

Oleh kerana barli kaya dengan serat, pengambilannya dapat membantu melancarkan sistem pencernaan, sekaligus mengelakkan sembelit atau buasir yang sering menjadi masalah terutamanya ketika hamil.

3 ) MENGANDUNGI ASID FOLIK

Seperti kita tahu, asid folik amat penting bagi ibu mengandung bagi mengelakkan komplikasi neural tube defect pada kandungan. Berdasarkan sebuah artikel dalam MomJunction.com, air barli atau sup barli boleh menjadi sumber asid folik tambahan dalam diet semulajadi ibu kerana dalam 100g barli mengandungi 200mcg asid folik. Tapi kalau dah makan barli, jangan pula tak makan vitamin yang dibekalkan oleh doktor tau. Penting tu!

4 ) MENGURANGKAN TAHAP GULA DALAM DARAH

Kajian yang dilaporkan oleh Medical News Today menunjukkan makanan berasaskan barli membantu menurunkan kadar gula dalam darah sehingga 11-14 jam setelah pengambilannya. Pengawalan kadar gula dalam darah amat penting semasa mengandung untuk mengelakkan risiko kencing manis semasa mengandung atau GDM (Gestational Diabetes Mellitus). Pengambilan barli juga dikatakan dapat membantu mengawal kadar gula bagi ibu yang mengalami diabetes Type 2 ini kerana barli tergolong dalam makanan yang rendah kadar indeks glisemik (GI).

5 ) MEMBANTU MENGAWAL BERAT BADAN

Ramai ibu mengalami masalah berat badan yang mencanak naik ketika mengandung kan? Maklumlah, selera bertambah, terasa lapar je selalu. Menariknya, barli menggalakkan tubuh menghasilkan hormon yang meregulasikan selera makan dengan membantu seseorang berasa kenyang dengan lebih lama. Hormon ini juga dapat meningkatkan metabolisme yang membantu mengawal berat badan pada kadar optimum.

6 ) MENINGKATKAN KESIHATAN JANTUNG

Serat boleh larut yang terkandung dalam barli juga didapati dapat menurunkan kadar kolesterol, sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular iaitu yang berkaitan dengan kesihatan jantung.

 

 

TURUNKAN BERAT KETIKA BERPANTANG?

Ramai ibu berpendapat bahawa tempoh berpantang merupakan tempoh yang penting bagi ibu mengembalikan semula bentuk tubuh mereka menjadi asal. Ini kerana, ketika mengandung mereka akan mengalami kenaikan berat badan sama ada sedikit ataupun banyak.

Sesetengah ibu akan merasa sedih dengan kenaikan berat badan secara mendadak dan berazam untuk menurunkan berat badan mereka ketika berpantang namun tidak semua ibu berjaya membuat sedemikian.

Tempoh berpantang adalah tempoh berharga di mana ibu berpeluang mengembalikan semula kesihatan dan tenaga mereka. Bagi ibu yang ingin menurunkan berat badan, mereka perlu menanam azam yang kuat untuk menurunkan berat. Para ibu tidak perlu menurunkan berat badan sehingga menjejaskan kesihatan mereka dan pada masa yang sama penghasilan susu berkurang.

Ramai ibu menganggap bahawa mereka akan mengalami kenaikan berat badan jika mereka menyusu badan. Namun itu semua palsu belaka kerana pakar menyatakan bahawa para ibu dapat membakar lemak dengan aktiviti penyusuan tersebut.

Ibu yang berpantang kebiasaannya mengalami kenaikan dalam selera makan namun ibu perlu mengawal selera makan mereka dengan mengawal pengambilan kalori dan saiz serta jumlah makanan mereka.

Antara tips yang sering diberikan untuk ibu menurunkan berat badan ketik berpantang adalah :

  1. Tidak mengambil kalori secara berlebihan
  2. Sentiasa menyusu badan
  3. Tidur secukupnya
  4. Tidak berasa tertekan

TEKNIK MENAMBAHKAN SUSU BADAN

Masalah susutnya susu badan merupakan salah satu perkara ngeri yang tak diingini untuk berlaku oleh para ibu. Persediaan untuk mengelakkan masalah ini harus dilakukan oleh para ibu lebih awal bagi mengelakkan komplikasi kesusutan susu badan ini daripada berlaku.

Pada zaman moden ini, produk untuk menambah susu badan mudah didapatkan oleh para ibu di pasaran. Jika dahulu ibu harus mendapatkan setiap bahan untuk membuat segala jenis makanan atau minuman yang boleh menggalakkan penghasilan susu badan.

Namun, terdapat juga beberapa teknik yang dapat diamalkan oleh ibu selain daripada mengamalkan makanan dan minuman tersebut :

  • Berfikiran positif

Para ibu harus bertenang dan tidak panik dalam menangani hal ini. Ini adalah bagi mengelakkan para ibu daripada menajdi tertekan dimana ianya dapat menyumbang kepada masalah susutnya susu badan.

  • Memerah susu badan

Ini merupakan pengetahuan am dimana untuk mendapatkan susu badan yang banyak, ibu haruslah rajin memerah susu badan. Lebih banyak susu dikeluarkan maka lebih banyak susu dapat dihasilkan.

  • Banyakkan minum air masak

Tidak dapat disangkal bahawa air merupakan elemen penting untuk tubuh badan manusia jadi amat digalakkan bagi para ibu untuk meminum banyak air masak. Ianya dipercayai dapat membantu dalam melancarkan proses pengeluaran susu badan.

CARA MENYIMPAN SUSU BADAN AGAR TIDAK CEPAT ROSAK

JANGKAMASA SIMPANAN SUSU BADAN

Suhu bilik (26 C) : Sehingga 8 jam

Peti sejuk (4 C) : 24 – 48 jam

Dingin beku (-18 C) : 3 bulan

Peti sejuk beku lampau (-20 C) : 1 tahun

  • Mengikut kuantiti bayi

Ibu perlu menyimpan susu dalam jumlah yang diambil oleh bayi pada setiap sesi penyusuan. Ini bagi mengelakkan pembaziran.

  • Melabel pek susu dengan betul

Label setiap pek atau bekas simpanan susu dengan tarikh, masa, dan jumlah perahan. Ibu boleh membeli sticker dan marker untuk melabel.

  • Menyediakan ruang

Sila sediakan ruang dalam setiap pek atau bekas yang digunakan untuk menyimpan susu agar boleh mengembang ketika dihangatkan.

  • Jangan Campur

Untuk mencapai tempoh simpanan yang lebih lama, ibu perlu mengelakkan daripada mencapurkan susu yang baru diperah ke dalam susu yang sudah disimpan. Ini kerana susu tersebut berpotensi untuk rosak.

  • Menggunakan ‘freezer’ yang sangat sejuk

Sentiasa simpan susu di bahagian paling sejuk di bahagian sejuk beku. Ibu tidak disarankan untuk diletak di bahagian pintu peti sejuk kerana sering dibuka dan susu tidak akan sejuk sepenuhnya.

  • Gunakan sekali sahaja

Satu pek susu atau bekas perlu digunakan sekali sahaja. Ibu tidak boleh membekukan susu di pek itu semula apabila ianya sudah dinyahbekukan kerana risiko susu tersebut menjadi rosak lebih tinggi.

ELAKKAN PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT KETIKA MENYUSU

ELAKKAN PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT KETIKA MENYUSU

Penyusuan secara terus daripada badan ibu adalah cara semula jadi bagi seorang ibu untuk memberi nutrien kepada bayinya yang mana nutrien tersebut diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi tersebut. Selain memenuhi keperluan pemakanan anak kecil, penyusuan susu ibu juga akan dapat membantu mengeratkan hubungan ibu dan bayi, dengan syarat si ibu hendaklah memberi perhatian kepada bayi dan tidak menggunakan telefon bimbit ketika menyusu.

Sekiranya bayi tersebut berjaya menyesuaikan diri dengan ibu dan menyusu dengan betul, barulah si ibu boleh menyusukan bayi sambil bermain telefon dengan tujuang menghabiskan masa atau berhubung dengan orang yang rapat. Untuk pengetahuan para ibu, terdapat beberapa sebab mengapa bermain telefon bimbit dan menyusu bukanlah idea yang baik.

  1. Menghalang eye contact di antara ibu dan bayi.

Eye contact di antara ibu dan bayi semasa menyusu adalah sangat penting pada 6 bulan pertama kehidupannya untuk menguatkan hubungan ibu dan bayi. Perbuatan kerap melihat telefon semasa menyusu boleh menyebabkan ibu terlepas dari eye contact dengan bayi. Kajian juga menunjukkan bahawa eye contact di antara ibu dan bayi boleh membantu dan membuat emosi dan otak mereka ‘selari’. Ini membantu meningkatkan kemahiran belajar dan komunikasi pada masa hadapan untuk bayi.

2. Ia boleh menyebabkan bayi sukar mendapat perhatian.

Ketika anda menggunakan telefon emasa menyusu, si kecil dapat merasakan perubahan perhatian anda dan mula bersuara atau menarik wajah ibu ke arahnya. Mungkin sekarang, perbuatan ini comel bagi ibu tetapi boleh menjadikan bayi tersebut makin sensitif. Satu kajian dilakukan yang dikenali sebagai ‘Still Face Experiment’ menunjukkan bahawa anak-anak memerhati dan dapat merasa jika ibu bapa mereka mempunyai ekspresi kosong. Kajian itu mendapati bahawa bayi cenderung untuk mendapatkan perhatian ibu bapa mereka. Mereka ingin diberi perhatian oleh orang dewasa di sekeliling mereka dan ini menyebabkan hormon stres mereka meningkat. Jika perkara yang sama masih berlaku setelah beberapa minggu, bayi akan mula panik dan menangis.

3. Risiko pendedahan kepada radiasi.

Telefon bimbit memancarkan radiasi dan bayi yang sangat kecil mungkin dapat menyerap radiasi ini. Sinaran gelombang mikro kebanyakannya berterusan, tetapi radiasi daripada telefon bimbit biasanya tidak tetap. Namun, ia masih boleh merosakkan struktur DNA bayi, sel otak dan boleh menyebabkan barah serta penyakit-penyakit lain. Oleh itu, pastikan ibu elakkan penggunaan dan jauhkan telefon bimbit dari bayi bukan sahaja ketika menyusu tetapi sepanjang masa.

Oleh itu, penting bagi ibu untuk menggunakan telefon bimbit secara terhad. Elakkan menggunakan telefon pintar semasa menyusu kerana ia mungkin akan membuatkan ibu kehilangan perasaan gembira dan akan merindui saat penting ini di kemudian hari. Penyusuan susu ibu adalah fasa yang ibu perlu hargai, jadi pastikan ibu menjadikannya satu fasa yang tidak dapat dilupakan. Jangan gunakan telefon bimbit anda semasa menyusu, fokus pada bayi anda dan kuatkan ikatan anda dengan bayi anda!

Kredit gambar: Laman web theAsianparent

BENARKAH PENYUSUAN BOLEH MENCEGAH BARAH?

BENARKAH PENYUSUAN BOLEH MENCEGAH BARAH?

Tahukah anda bahawa penyusuan susu ibu dapat mengurangkan risiko ibu untuk menghidap barah?

Sebilangan besar orang tahu bahawa terdapat banyak manfaat daripada menyusu. Kita semua mungkin pernah mendengar bahawa ia adalah sumber pemakanan terbaik bagi bayi dan memberikan banyak manfaat kesihatan kepada bayi. Manfaat kesihatan bagi wanita yang menyusu adalah kurang diketahui. Selain mengurangkan risiko ibu untuk menghidap diabetes tahap 2 dan tekanan darah tinggi, penyusuan susu ibu juga dapat menurunkan risiko kanser payudara dan ovari seorang ibu.

Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa hanya 1 daripada 4 orang wanita cenderung menghidap barah payudara sekiranya dia menyusu. Penting untuk mengetahui bahawa penyusuan susu ibu tidak hanya membantu kesihatan bayi tetapi juga kesihatan ibu. American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan agar bayi disusukan secara eksklusif selama kira-kira 6 bulan pertama dengan penyusuan berterusan selepas pengenalan makanan pejal selama 1 tahun atau lebih dilakukan.

Salah satu sebab penyusuan boleh mengurangkan risiko kanser ialah ketika seorang wanita menyusu, ibu mengalami perubahan hormon yang dapat melambatkan kembali tempoh haidnya. Ini mengurangkan pendedahan ibu terhadap hormon seperti estrogen, yang berkaitan dengan peningkatan risiko barah payudara dan ovari. Teori lain: Penyusuan menjadikan sel-sel payudara lebih tahan terhadap mutasi yang boleh menyebabkan kanser.

Selain itu, terdapat faktor gaya hidup yang sering dimainkan: Wanita menyusu (dan mengandung) cenderung untuk berhenti merokok dan minum alkohol, makan makanan yang lebih sihat, dan secara umumnya menjaga diri mereka dengan lebih baik. Tingkah laku ini dikenali untuk mengurangkan risiko kanser payudara ibu.

Jika anda tidak mampu menyusukan bayi, jangan risau. Ia bukanlah satu petanda yang anda akan mendapat barah payudara jika tidak menyusu. Antara cara yang paling berkesan yang perlu dilakukan oleh setiap ibu ialah mengambil berat akan amalan gaya hidup sihat. Ini bermakna, menyusu bukanlah satu-satunya cara untuk mengurangkan risiko kanser payudara anda. Senaman dan pemakanan sihat juga boleh membantu anda.

Kredit gambar: Laman web TimesNowNews