Barli mengandungi sumber serat, vitamin, kalsium, zat besi, mangan, magnesium, anti-oksidan dan macam-macam lagi! Berikut adalah antara khasiat barli untuk ibu mengandung dan menyusu.

1 ) MILKBOOSTER SEMULAJADI

Menurut LiveStrong.com, barli tergolong sebagai salah satu makanan laktogenik, iaitu kategori makanan yang boleh menggalakkan penghasilan susu badan. Seperti oat, barli telah diamalkan sejak berkurun lamanya sebagai milkbooster semulajadi yang berkhasiat tinggi untuk ibu menyusu.

2 ) MEMBANTI MELANCARKAN PENCERNAAN

Oleh kerana barli kaya dengan serat, pengambilannya dapat membantu melancarkan sistem pencernaan, sekaligus mengelakkan sembelit atau buasir yang sering menjadi masalah terutamanya ketika hamil.

3 ) MENGANDUNGI ASID FOLIK

Seperti kita tahu, asid folik amat penting bagi ibu mengandung bagi mengelakkan komplikasi neural tube defect pada kandungan. Berdasarkan sebuah artikel dalam MomJunction.com, air barli atau sup barli boleh menjadi sumber asid folik tambahan dalam diet semulajadi ibu kerana dalam 100g barli mengandungi 200mcg asid folik. Tapi kalau dah makan barli, jangan pula tak makan vitamin yang dibekalkan oleh doktor tau. Penting tu!

4 ) MENGURANGKAN TAHAP GULA DALAM DARAH

Kajian yang dilaporkan oleh Medical News Today menunjukkan makanan berasaskan barli membantu menurunkan kadar gula dalam darah sehingga 11-14 jam setelah pengambilannya. Pengawalan kadar gula dalam darah amat penting semasa mengandung untuk mengelakkan risiko kencing manis semasa mengandung atau GDM (Gestational Diabetes Mellitus). Pengambilan barli juga dikatakan dapat membantu mengawal kadar gula bagi ibu yang mengalami diabetes Type 2 ini kerana barli tergolong dalam makanan yang rendah kadar indeks glisemik (GI).

5 ) MEMBANTU MENGAWAL BERAT BADAN

Ramai ibu mengalami masalah berat badan yang mencanak naik ketika mengandung kan? Maklumlah, selera bertambah, terasa lapar je selalu. Menariknya, barli menggalakkan tubuh menghasilkan hormon yang meregulasikan selera makan dengan membantu seseorang berasa kenyang dengan lebih lama. Hormon ini juga dapat meningkatkan metabolisme yang membantu mengawal berat badan pada kadar optimum.

6 ) MENINGKATKAN KESIHATAN JANTUNG

Serat boleh larut yang terkandung dalam barli juga didapati dapat menurunkan kadar kolesterol, sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular iaitu yang berkaitan dengan kesihatan jantung.