Bayi menangis pada waktu malam sering dikaitkan dengan bayi mengalami gangguan makhluk halus atau kembung perut. Ini kerana, mereka sering menangis tanpa sebab yang jelas. Hal ini menyebabkan ibu bapa sering mempunyai tanggapan sendiri tentang mengapa anak mereka sering menangis malam.
Anak menangis malam ketika ibu berpatang menjadi cabaran besar terutamanya bagi ibu bapa yang baru pertama kali menimang cahaya mata. Bahasa bayi sukar difahami oleh para ibu bapa. Menurut laman web Mingguan Wanita, bayi dikategorikan kepada beberapa jenis iatu bayi mudah diurus dan sukar diurus. Antara punca bayi menangis di malam hari adalah kerana bayi tersebut mencari posisi yang selesa untuk tidur.
Sesetengah bayi hanya mahu menghisap susu secara lepas lepas dan bukannya lapar. Selain itu, punca bayi menangis adalah kerana mereka ketakutan. Oleh sebab itulah bayi menangis. Kebanyakan bayi akan berasa tenang dan berhenti menangis apabila mereka berada di pangkuan ibu atau bapa kerana mereka berasa lebih selamat berbanding jika mereka dibiarkan berbaring sendiri.
Ibu bapa harus sentiasa menyokong antara satu sama lain daripada hanya menyalahkan pihak ibu sahaja dengan menyatakan bahawa bayi menangis adalah salah ibu. Yang sering didengari ialah salah ibu kerana salah makan lalu menyebabkan bayi mengalami kembung perut.
Hubungan harmoni harus dipupuk ketika menjaga bayi menangis ketika berpantang. Dengan cara ini emosi ibu berpantang dapat dijaga dan keperluan bayi juga dapat dipenuhi kesemuanya.
Bayi yang sudah kenyang pasti akan menunjukkan tanda.
Antara tanda yang boleh dikenal pasti adalah :
Menutup bibir
Berhenti atau menghisap dengan perlahan
Kelihatan tenang dan relaks
Melepaskan puting
Memalingkan kepala dari puting susu
BERAPA KERAP SEPATUTNYA BAYI MENYUSU BADAN ?
Kekerapan menyusu bagi setiap bayi itu tidak sama. Namun, dalam minggu-minggu pertama, bayi biasanya akan menyusu dengan kerap iaitu kira-kira 1-2 jam sekali.
Selera bayi juga tidak sama, mungkin ada masanya mereka akan minum dengan kerap atau sebaliknya.
Selain itu, ada juga bayi yang suka ‘mengempeng’ di mana dia berasa selesa dan ingin bermanja di dalam dakapan ibunya. Ibu perlu faham bahawa susu amat cepat dicernakan iaitu sekitar 2 jam selepas menyusu. Namun itu ialah petanda baik kerana ia menunjukkan sistem percernaan bayi berfungsi dengan baik dan normal.
Bagi ibu yang memberi susu badan buat kali pertama, sememangnya sukar untuk mengagak berapa kali bayi baru lahir patut minum susu. Kadang-kadang jika kita mahu menyusukan, bayi minum seperti main-main sahaja. Ataupun jika terlewat sedikit, dah menangis pula. Keliru ibu dibuatnya.
Oleh kerana itulah, ibu perlu mengenal pasti dan tahu tanda-tanda apabila bayi lapar. Apabila ibu mengetahui tanda-tandanya, pasti memudahkan ibu untuk mengelakkan bayi terus mengamuk lalu sukar bertenang.
TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA AWAL
Bayi akan menunjukkan 3 isyarat ini tetapi mungkin ibu tidak perasan terutamanya ketika bayi sedang tidur.
Bayi menggerakkan kepalanya sedikit
Bayi membuka mulutnya seolah-olah ingin minum
Jika ibu masih belum memberinya susu, bayi akan mula memusingkan kepala ke kiri atau kanan seperti mencari sesuatu dan gerakan tersebut dikenali sebagai rooting reflex
TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA AKTIF
Bayi mula menggeliat badan dengan gelisah
Pergerakan badan meningkat
Mula menghisap lidah atau tangan
TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA LEWAT
Menangis adalah tanda akhir yang diberikan jika tanda awal dan aktif tidak mendapat perhatian
Bayi akan kerap menolehkan kepalanya dengan panik dari satu sisi ke sisi yang lain
Tangisan berterusan yang akan menukarkan wajah dan kulit bayi menjadi merah. Sekiranya ini berlaku, ibu perlu menenangkan bayi terlebih dahulu lalu memberikannya susu sebaik tangisan reda.
Letih yang biasa dialami oleh ibu hamil adalah seperti perut yang semakin besar, belakang dan pinggang mulai sakit, dan kaki mulai bengkak. Jika mahu berehat sukar pula untuk melelapkan mata.
Sepanjang proses ini, tubuh sebenarnya sedang bekerja keras membekalkan keperluan bagi kandungan. Oleh itu, ibu hamil tidak boleh letih berterusan kerana boleh menjadikan situasi lebih serius dan boleh menganggu emosi.
TIPS ELAK BERASA LETIH KETIKA HAMIL
Perbanyakkan Aktiviti Fizikal
Apabila badan terasa berat, ketika inilah masa yang sangat sesuai untuk meningkatkan jumlah pergerakan. Namun, ibu hamil tidak perlu melakukan senaman yang sukar, cukup sekadar aktiviti santai seperti berjalan di taman.
Ibu hamil juga boleh memilih untuk berenang kerana berenang amat sesuai dilakukan ketika hamil. Ini kerana, badan akan terasa ringan dan terapung ketika berada di dalam air. Aktiviti lain yang disarankan adalah seperti yoga, aerobik impak rendah, dan tarian.
Minum Air Kosong Yang Banyak
Air kosong terlalu banyak faedahnya. Tidak kisah sama ada hamil ataupun tidak. Letih, lesu, dan mengantuk berpunca daripada rasa haus. Pastikan tubuh anda mendapat air yang mencukupi setiap masa.
Makan Sedikit Tetapi Kerap
Telah dibuktikan bahawa saiz hidangan yang sedikit tapi menyihatkan sebenarnya member lebih banyaj tenaga berbanding makan dengan kuantiti yang banyak. Ibu hamil digalakkan untuk mengambil 5 hidangan kecil setiap hari.
Bagi ibu hamil yang suka untuk mengunyah, mereka disarankan untuk mengambil kudapan yang segar serta tinggi khasiatnya seperti kurma, badam, serta buah-buahan setaip 4 jam untuk kekal cergas.
Mesti Bersarapan
Pengambilan sarapan sememangnya penting biarpun seseorang itu tidak hamil. Ibu hamil perlu memastikan sarapan mereka kaya dengan zat besi (sayuran, kekacang, dan bahagian daging tidak berlemak) kerana kekurangan zat besi sering dikaitkan dengan punca keletihan.
Pengambilan vitamin C membantu proses penyerapan zat besi tersebut manakala makanan tenusu pula memberi tindak balas yang sebaliknya jika diambil bersama.
Menghirup Udara Segar
Udara pagi mengandungi jumlah oksigen yang lebih banyak. Ianya dapat meningkatkan daya tahan tubuh kepada para ibu hamil.
Mandi Dengan Kerap
Faktor panas dan kelembapan akan menyebabkan kita bertambah letih dan kurang selesa akibat peluh terutamanya ibu hamil. Mandi dapat meredakan tekanan serta berperanan dalam meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
Ibu hamil juga digalakkan berendam di dalam kolam air suam untuk merehatkan otot-otot yang penat bekerja di siang hari. Selain itu, boleh juga untuk menitiskan aroma menyegarkan dalam tab mandi sebagai terapi bagi yang ada kesukaran untuk tidur malam.
Dapatkan Rehat Dan Tidur Yang Berkualiti
Tidur tetapi tidak berkualiti tidak akan menghilangkan keletihan yang dialami. Sekiranya tidak dapat tidur yang mencukupi dan berkualiti di waktu malam, ibu hamil boleh melelapkan mata di sekitar waktu tengahari keesokan harinya.
Tips untuk mendapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam adalah :
Posisi yang sesuai seperti mengiring.
Rendam kaki dalam air hangat sebelum tidur bagi membantu otot kaki berehat serta mengelakkan kekejangan kaki.
Minimakan bangun malam untuk membuang air kecil dengan mengurangkan pengambilan air pada waktu malam.
PENTINGNYA MEMBERI SUSU KEPADA BAYI YANG MENGHIDAP JAUNDICE
Jaundice atau demam kuning biasanya berlaku pada bayi yang baru lahir. Biarpun kebanyakannya tidak serius, para ibu tetap harus memantau bayi dengan kerap. Bilirubin merupakan penyebab demam kuning dan ia dihasilkan daripada pencernaan pemecahan sel darah merah. Ia diproses di hati sebelum dikeluarkan melalui najis. Bayi baru lahir kebiasaanya menyusu 1-2 jam sekali. Oleh kerana itu, doktor menyarankan para ibu untuk kerap menyusukan anak agar mereka cepat membuang sekaligus menyingkirkan bilirubin dari dalam badan.
Sentuhan
Ibu boleh cuba untuk menyentuh dengan lembut pada kulit bayi. Usap atau gosok dengan lembut pada badan, belakang badan, kaki, atau tangan mereka. Ibu juga boleh dukung bayi dalam posisi menegak supaya bayi lebih mudah tersedar.
Suara
Cuba untuk berbisik dan bercakap dengan perlahan di telinga bayi supaya bayi bangun untuk menyusu. Sudah tentu bayi tidak memahaminya, tetapi suara ibu mempunyai aura yang kuat terhadap bayinya.
Membuka bajunya
Ini merupakan salah satu tips yang amat berkesan. Ibu perlu membuka bajunya dan tinggalkan lampinnya sahaja. Ini kerana perubahan suhu sekeliling berpotensi untuk mengejutkan bayi yang sedang tidur. Tetapi ibu perlu ingat untuk tidak membuka bajunya terlalu lama kerana bayi akan kesejukan.
Lap muka
Basahkan sehelai tuala muka lalu sapukan pada muka bayi dengan perlahan.
Menukar lampin atau mandi
Pergerakan ketika menukar lampin biasanya boleh membuat bayi terjaga. Ini kerana perubahan suhu membuatkan bayi bangun seketika. Jika bayi masih tidak mahu bangun, cuba untuk memandikannya. Apabila bayi sudah bangun, ibu peru segera menyusukannya.
Menitiskan susu pada mulut bayi
Setiap bayi yang baru lahir dikurniakan dengan rooting reflex iaitu refleks yang ada pada bayi untuk mencari puting susu apabila disuakan kepadanya. Namun begitu, jika bayinya terlalu mengantuk dan tidak mahu bangun ibu perlu menitiskan beberapa titis susu ke dalam mulutnya. Bau dan rasa susu dapat merangsang bayi untuk terus bangun dan menyusu.
Bawa bayi ke tempat yang kurang pencahayaan
Bayi yang baru lahir amat sensitif terhadap cahaya. Cahaya yang terlalu terang menyebabkan bayi gemar untuk menutup matanya agar lebih selesa. Oleh itu, ibu perlu mencuba untuk mengelakkan bayi duduk di tempat yang terang sama ada pada waktu siang atau malam.
Pemilihan pakaian yang mengutamakan aspek keselesaan dan kesesuaian bagi anak adalah sangat penting. Pakaian yang cantik dan mengikut peredaran masa kadangkala tidak bersesuaian dengan keadaan semasa. Secara faktanya, keadaan cuaca dan suhu di Malaysia hampir seragam sepanjang tahun iaitu antara 21° C sehingga 36° C. Kebanyakan ibu pasti setuju bahawa baju yang terlalu tebal tidak begitu sesuai untuk bayi dengan keadaan cuaca negara kita yang agak panas.
Pengudaraan yang baik
Bayi dan kanak-kanak memerlukan pengaliran udara yang baik supaya suhu badan mereka tidak naik secara mendadak bila dalam keadaan cuaca yang agak panas. Pengawalan suhu berlaku menerusi sistem perpeluhan bagi orang dewasa. Namun, bayi yang masih dalam proses tumbesaran masih belum memiliki sistem perpeluhan yang baik. Secara semulajadinya, agak sukar bagi mereka menurunkan suhu badan dalam keadaan cuaca yang panas.
Pakaian anak dengan sistem pengudaraan yang baik dilihat daripada beberapa sudut seperti ketebalan pakaian, material kain, rekaan fesyen dan juga warna pakaian.
Kain kapas adalah material terbaik
Pakaian anak yang diperbuat daripada material kain kapas boleh didapati dengan begitu mudah pada masa kini. Kain kapas sesuai digunakan hampir dalam semua keadaan cuaca termasuk ketika hari sedang panas.
Kain kapas cukup selesa apabila bersentuhan dengan kulit bayi. Ia menyediakan keseimbangan lembapan yang sesuai, seterusnya menjadikan ia material kain terbaik untuk dipakaikan kepada anakanda. Salah satu kelebihan kain kapas ialah kemampuannya menyerap lembapan atmosfera di sekelilingnya dengan kadar antara 8 sehingga 10 peratus menjadikan ia sentiasa lembut apabila bersentuhan dengan kulit bayi dan kanak-kanak.
Penutup kepala
Secara ringkasnya, pemakaian penutup kepala seperti serkup kepala dan topi bukanlah satu keperluan. Anda mungkin pernah melihat petugas hospital mengenakan penutup atau serkup ke atas kepala bayi sebaik sahaja mereka selamat dilahirkan di hospital. Langkah ini dilakukan bertujuan untuk memanaskan tubuh mereka sebaik sahaja dilahirkan ke dunia. Namun, menurut pakar kanak-kanak, memakaikan topi dan penutup kepala bukan suatu keperluan sebaik sahaja anda membawa mereka pulang ke rumah.
Serkup kepala sesuai dikenakan dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk seperti negara-negara yang mengalami musim salji. Namun, bagi negara yang mengalami iklim khatulistiwa seperti cuaca di negara kita, penggunaan topi pelindung matahri adalah digalakkan ketika berada di luar dalam keadaan cahaya matahari yang memancar terik.
PENGGUNAAN BABY WALKER BAGI BAYI, SELAMAT ATAU TIDAK?
Setiap tahun di Shetland, perkhidmatan fisioterapi menerima banyak maklumat tentang masalah otot, tulang dan sendi yang berkaitan secara langsung dengan penggunaan baby walker. Ia boleh jadi memudaratkan keselamatan dan perkembangan kanak-kanak sehingga Kanada melarang penjualan baby walker sepenuhnya pada bulan April 2007.
Untuk pengetahuan ibu bapa, semua bayi akan melalui proses berjalan ketika mereka sudah cukup bersedia. Bayi hanya memerlukan dorongan dan masa yang cukup untuk mereka mengembangkan kekuatan dan keseimbangan otot, iaitu kebiasaannya di antara 9 bulan sehingga 18 bulan. Melalui penggunaan baby walker, masa yang telah diluangkan oleh mereka di dalam baby walker akan menyebabkan penangguhan proses kesiap-sediaan bayi untuk berjalan.
Terdapat banyak keburukan dari penggunaan baby walker terutama dari segi keselamatan dan perkembangan bayi. Statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 40% kanak-kanak yang menggunakan baby walker akhirnya mengalami kecederaan (dianggarkan 4000 kecederaan setiap tahun di United Kingdom). Ibu bapa membiarkan bayi bergerak dengan sangat laju dan ketinggian walker yang tidak sesuai membolehkan mereka mencapai barang berbahaya seperti pisau atau minuman panas. Unit Kecederaan Wales mendedahkan bahawa 25% bayi yang berusia 6 bulan sehingga 12 bulan berada di hospital dengan kecederaan luka terbakar dan melecur disebabkan oleh penggunaan baby walker.
Saranan jika ibu bapa ingin menggunakan baby walker:
Sila hadkan penggunaan hingga 10 minit sehari
Pastikan bayi anda diawasi dengan teliti setiap masa
Pastikan walker cukup rendah sehingga bayi anda boleh meletakkan kedua-dua kaki rata di atas lantai. Sekiranya hanya jari kaki mereka boleh mencapai lantai, jangan gunakannya sehingga bayi anda sudah cukup ketinggian.
Ibu bapa hendaklah memberi galakan kepada anak dengan memberi ruang Tummy Time sebanyak yang mungkin. Konsep tidur di bahagian belakang badan dan bermain di bahagian depan badan adalah penting bagi perkembangan anak. Tummy Time adalah satu asas membina bagi semua kemahiran dan kekurangan asas ini boleh memberi impak yang besar kepada anak.
Ibu bapa hanya disarankan untuk mendapatkan baby walker yang boleh ditolak menggunakan tangan mereka apabila mereka dapat berdiri sendiri. Sekiranya anda mempunyai lantai lamina dan kayu, pakaikan anak anda kasut atau biarkan mereka berkaki ayam supaya mereka mendapat cengkaman yang lebih baik.
Beberapa contoh untuk baby walker yang boleh ditolak menggunakan tangan sambil berdiri ialah:
Sekiranya anda mempunyai lantai lamina atau kayu, pastikan anda meletak permaidani besar atau tikar yang tidak mudah tergelincir di lantai supaya bayi anda dapat mencengkam dengan baik semasa mereka belajar merangkak dan berjalan.
BILAKAH WAKTU SESUAI MEMPERKENALKAN ‘SOLID FOOD’ KEPADA BAYI?
‘Solid food’ atau dikenali sebagai makanan tambahan kepada bayi adalah salah satu asas penjagaan bayi dan sangatlah penting bagi para ibu untuk mengambil berat tentang asas ini. Pada usia 6 bulan, pemberian makanan pejal kepada bayi sudah boleh dimulakan dan dilengkapkan dengan penyusuan mengikut permintaan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Pemberian makanan dan cecair tambahan kepada bayi anda selain susu ibu merupakan salah satu proses untuk memenuhi keperluan pemakanan bayi pada usia 6 bulan. Pada usia 6 bulan, mereka memerlukan nutrien tambahan untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka.
Bermula dari usia 6 bulan, saraf dan otot mulut bayi telah berkembang dengan cukup untuk mengunyah, menggigit dan mengunyah. Sistem pencernaan bayi juga telah cukup matang untuk mencerna pelbagai makanan pada usia ini.
Kesan jika ‘solid food’ diberikan lebih awal dari 6 bulan:
Bayi mungkin enggan menyusu atau minum susu kerana kekenyangan.
Kemerosotan fungsi pencernaan dan ginjal bayi kerana fungsi organ yang belum matang.
Mengalami risiko jangkitan, alergi dan cirit-birit.
Kesan jika makanan pelengkap diberikan selepas dari 6 bulan:
Boleh menyebabkan proses penyesuaian diri bayi pada makanan baru lebih perlahan.
Pertumbuhan-pertumbuhan mungkin terjejas.
Boleh menyebabkan kekurangan nutrien.
Cara menyediakan ‘solid food’ kepada bayi:
Makanan pelengkap disediakan dalam pelbagai cara bergantung kepada usia bayi. Bayi mempunyai tahap perkembangan dan kebolehan yang berbeza.
Sediakan makanan dengan tekstur yang berbeza pada usia yang berbeza iaitu:
6 hingga 8 bulan: Makanan yang dibersihkan, ditumbuk dan separa pejal.
9 hingga 11 bulan: Makanan yang dicincang. Ketika bayi dalam proses mempelajari kawalan jari dengan baik, makanan jari (makanan kecil yang dapat diambil dengan mudah) seperti biskut lembut dan buah-buahan juga boleh diberikan.
12 bulan: Makanan keluarga.
Peralatan dapur yang berasingan harus digunakan kerana perkakas biasa anda mungkin berkarat atau mengandungi bekas makanan dewasa. Sekiranya membeli peralatan baru tidak praktikal, pastikan peralatan tersebut dibasuh dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan untuk bayi.
Kebersihan diri, kebersihan peralatan memasak dan makanan juga harus diteliti dengan baik pada semua peringkat penyediaan makanan dan semasa memberi makan bayi.
Tangan harus dibasuh dengan betul sebelum menyediakan makanan dan selepas menggunakan tandas. Tangan bayi juga harus dibasuh dengan bersih sebelum makan.
Sama ada di Malaysia mahupun negara luar, ancaman penyakit berjangkit berisiko untuk bayi dan kanak-kanak kerana sistem imun mereka yang masih rendah berbanding orang dewasa. Bagaimanapun, pengetahuan, sikap peka dan persediaan ibu bapa dalam menghadapi ancaman penyakit menjadi penentu utama tahap kesihatan anak pada masa hadapan. Usah ambil mudah sekiranya anak anda mengalami demam, selesema, sakit perut mahupun batuk kerana ia mungkin petanda awal bagi penyakit berjangkit yang membawa risiko ke arah lebih serius sehingga memerlukan rawatan segera doktor.
Vaksin ialah nama bahan atau ubat yang terdiri daripada virus yang sudah mati atau sudah dilemahkan atau sebahagian daripada bakteria mahupun toksin daripada bakteria tersebut yang sudah dilemahkan. Tujuan diberikan vaksin supaya sistem imun atau daya tahan/daya lawan jangkitan akan membina antibodi terhadap jangkitan kuman tersebut.
Menurut pakar, vaksin menjadi satu keperluan terhadap kanak-kanak kerana ia mampu mencegah atau mengelakkan komplikasi berat daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit yang berbahaya. Vaksin yang disyorkan kepada kanak-kanak buat masa ini bagi kerajaan Malaysia, kita sudah mendapat vaksin untuk penyakit seperti tuberkulosis, hepatitis B, difteria, pertussis, tetanus, polio, haemophilus influenzae type B, measles (campak), mumps (beguk), rubella dan human papillomavirus HPV. Ia untuk bayi baru lahir sehinggalah berumur 18 bulan dan ketika di peringkat sekolah bermula tujuh hingga15 tahun. Ia adalah vaksin yang wajib diberikan kepada kanak-kanak dan disediakan kerajaan secara percuma.
Vakzin lain secara tambahan lebih bagus kalau diambil dan diberi perlindungan kepada kanak-kanak, antaranya vaksin jenis pneumococcal, influenza, chicken pox, hepatitis A, meningococcal dan rotavirus. Ini antara inisiatif ibu bapa untuk mengambil perlindungan tambahan di klinik atau hospital swasta.
Barutadalah antara aksesori yang wajib dipakaikan pada bayi yang baru lahir kerana menurut petua orang tua, ia mampu mengelakkan perut kembung. Selain itu, ada banyak lagi kepercayaan lain tentang penggunaan barut.
Ramai ibu bapa yang tahu bahawa amalan memakaikan barut adalah untuk mengelakkan bayi daripada terkena kembung perut atau perut dipenuhi dengan angin. Namun, ada beberapa kelebihan lain yang ingin saya kongsikan kepada anda semua.
Bertujuan untuk memelihara perut bayi (bahagian dada dan kebawah) yang masih lembut.
Untuk mengelakkan tali pusat bayi yang masih belum tertanggal dari dimakan serangga atau terkena jangkitan kuman.
Mengelakkan bayi terkena kembung perut.
Bayi akan merasa lebih selesa apabila perut terasa kedap ditutupi kain barut.
Ia juga akan percepatkan tali pusat bayi kering dan tertanggal, dan mengelakkan tali pusat yang telah tertanggal jatuh merata.
Elak bayi dari terdedah kepada perubahan suhu mendadak.
Cara pemakaian barut bayi menurut pakar pula adalah seperti berikut:
keringkan tali pusat bayi terlebih dahulu sebelum mengenakan sebarang pakaian kepada bayi.
sapukan minyak telon (campuran minyak adas, kayu putih dan kelapa).
buat urutan lembut sebelum dipakaikan barut/bedung