Letih yang biasa dialami oleh ibu hamil adalah seperti perut yang semakin besar, belakang dan pinggang mulai sakit, dan kaki mulai bengkak. Jika mahu berehat sukar pula untuk melelapkan mata.

Sepanjang proses ini, tubuh sebenarnya sedang bekerja keras membekalkan keperluan bagi kandungan. Oleh itu, ibu hamil tidak boleh letih berterusan kerana boleh menjadikan situasi lebih serius dan boleh menganggu emosi.

TIPS ELAK BERASA LETIH KETIKA HAMIL

  • Perbanyakkan Aktiviti Fizikal

Apabila badan terasa berat, ketika inilah masa yang sangat sesuai untuk meningkatkan jumlah pergerakan. Namun, ibu hamil tidak perlu melakukan senaman yang sukar, cukup sekadar aktiviti santai seperti berjalan di taman.

Ibu hamil juga boleh memilih untuk berenang kerana berenang amat sesuai dilakukan ketika hamil. Ini kerana, badan akan terasa ringan dan terapung ketika berada di dalam air. Aktiviti lain yang disarankan adalah seperti yoga, aerobik impak rendah, dan tarian.

  • Minum Air Kosong Yang Banyak

Air kosong terlalu banyak faedahnya. Tidak kisah sama ada hamil ataupun tidak. Letih, lesu, dan mengantuk berpunca daripada rasa haus. Pastikan tubuh anda mendapat air yang mencukupi setiap masa.

  • Makan Sedikit Tetapi Kerap

Telah dibuktikan bahawa saiz hidangan yang sedikit tapi menyihatkan sebenarnya member lebih banyaj tenaga berbanding makan dengan kuantiti yang banyak. Ibu hamil digalakkan untuk mengambil 5 hidangan kecil setiap hari.

Bagi ibu hamil yang suka untuk mengunyah, mereka disarankan untuk mengambil kudapan yang segar serta tinggi khasiatnya seperti kurma, badam, serta buah-buahan setaip 4 jam untuk kekal cergas.

  • Mesti Bersarapan

Pengambilan sarapan sememangnya penting biarpun seseorang itu tidak hamil. Ibu hamil perlu memastikan sarapan mereka kaya dengan zat besi (sayuran, kekacang, dan bahagian daging tidak berlemak) kerana kekurangan zat besi sering dikaitkan dengan punca keletihan.

Pengambilan vitamin C membantu proses penyerapan zat besi tersebut manakala makanan tenusu pula memberi tindak balas yang sebaliknya jika diambil bersama.

  • Menghirup Udara Segar

Udara pagi mengandungi jumlah oksigen yang lebih banyak. Ianya dapat meningkatkan daya tahan tubuh kepada para ibu hamil.

  • Mandi Dengan Kerap

Faktor panas dan kelembapan akan menyebabkan kita bertambah letih dan kurang selesa akibat peluh terutamanya ibu hamil. Mandi dapat meredakan tekanan serta berperanan dalam meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

Ibu hamil juga digalakkan berendam di dalam kolam air suam untuk merehatkan otot-otot yang penat bekerja di siang hari. Selain itu, boleh juga untuk menitiskan aroma menyegarkan dalam tab mandi sebagai terapi bagi yang ada kesukaran untuk tidur malam.

  • Dapatkan Rehat Dan Tidur Yang Berkualiti

Tidur tetapi tidak berkualiti tidak akan menghilangkan keletihan yang dialami. Sekiranya tidak dapat tidur yang mencukupi dan berkualiti di waktu malam, ibu hamil boleh melelapkan mata di sekitar waktu tengahari keesokan harinya.

Tips untuk mendapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam adalah :

  1. Posisi yang sesuai seperti mengiring.
  2. Rendam kaki dalam air hangat sebelum tidur bagi membantu otot kaki berehat serta mengelakkan kekejangan kaki.
  3. Minimakan bangun malam untuk membuang air kecil dengan mengurangkan pengambilan air pada waktu malam.