
Bagi ibu yang memberi susu badan buat kali pertama, sememangnya sukar untuk mengagak berapa kali bayi baru lahir patut minum susu. Kadang-kadang jika kita mahu menyusukan, bayi minum seperti main-main sahaja. Ataupun jika terlewat sedikit, dah menangis pula. Keliru ibu dibuatnya.
Oleh kerana itulah, ibu perlu mengenal pasti dan tahu tanda-tanda apabila bayi lapar. Apabila ibu mengetahui tanda-tandanya, pasti memudahkan ibu untuk mengelakkan bayi terus mengamuk lalu sukar bertenang.
TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA AWAL
Bayi akan menunjukkan 3 isyarat ini tetapi mungkin ibu tidak perasan terutamanya ketika bayi sedang tidur.
- Bayi menggerakkan kepalanya sedikit
- Bayi membuka mulutnya seolah-olah ingin minum
- Jika ibu masih belum memberinya susu, bayi akan mula memusingkan kepala ke kiri atau kanan seperti mencari sesuatu dan gerakan tersebut dikenali sebagai rooting reflex
TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA AKTIF
- Bayi mula menggeliat badan dengan gelisah
- Pergerakan badan meningkat
- Mula menghisap lidah atau tangan
TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA LEWAT
- Menangis adalah tanda akhir yang diberikan jika tanda awal dan aktif tidak mendapat perhatian
- Bayi akan kerap menolehkan kepalanya dengan panik dari satu sisi ke sisi yang lain
- Tangisan berterusan yang akan menukarkan wajah dan kulit bayi menjadi merah. Sekiranya ini berlaku, ibu perlu menenangkan bayi terlebih dahulu lalu memberikannya susu sebaik tangisan reda.