CARA MENGETAHUI BAYI SUDAH KENYANG

Bayi yang sudah kenyang pasti akan menunjukkan tanda.

Antara tanda yang boleh dikenal pasti adalah :

  1. Menutup bibir
  2. Berhenti atau menghisap dengan perlahan
  3. Kelihatan tenang dan relaks
  4. Melepaskan puting
  5. Memalingkan kepala dari puting susu

BERAPA KERAP SEPATUTNYA BAYI MENYUSU BADAN ?

Kekerapan menyusu bagi setiap bayi itu tidak sama. Namun, dalam minggu-minggu pertama, bayi biasanya akan menyusu dengan kerap iaitu kira-kira 1-2 jam sekali.

Selera bayi juga tidak sama, mungkin ada masanya mereka akan minum dengan kerap atau sebaliknya.

Selain itu, ada juga bayi yang suka ‘mengempeng’ di mana dia berasa selesa dan ingin bermanja di dalam dakapan ibunya. Ibu perlu faham bahawa susu amat cepat dicernakan iaitu sekitar 2 jam selepas menyusu. Namun itu ialah petanda baik kerana ia menunjukkan sistem percernaan bayi berfungsi dengan baik dan normal.

TANDA BAYI LAPAR YANG MUNGKIN IBU TIDAK PERASAN

Bagi ibu yang memberi susu badan buat kali pertama, sememangnya sukar untuk mengagak berapa kali bayi baru lahir patut minum susu. Kadang-kadang jika kita mahu menyusukan, bayi minum seperti main-main sahaja. Ataupun jika terlewat sedikit, dah menangis pula. Keliru ibu dibuatnya.

Oleh kerana itulah, ibu perlu mengenal pasti dan tahu tanda-tanda apabila bayi lapar. Apabila ibu mengetahui tanda-tandanya, pasti memudahkan ibu untuk mengelakkan bayi terus mengamuk lalu sukar bertenang.

TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA AWAL

Bayi akan menunjukkan 3 isyarat ini tetapi mungkin ibu tidak perasan terutamanya ketika bayi sedang tidur.

  • Bayi menggerakkan kepalanya sedikit
  • Bayi membuka mulutnya seolah-olah ingin minum
  • Jika ibu masih belum memberinya susu, bayi akan mula memusingkan kepala ke kiri atau kanan seperti mencari sesuatu dan gerakan tersebut dikenali sebagai rooting reflex

TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA AKTIF

  • Bayi mula menggeliat badan dengan gelisah
  • Pergerakan badan meningkat
  • Mula menghisap lidah atau tangan

TANDA BAYI LAPAR : 3 TANDA LEWAT

  • Menangis adalah tanda akhir yang diberikan jika tanda awal dan aktif tidak mendapat perhatian
  • Bayi akan kerap menolehkan kepalanya dengan panik dari satu sisi ke sisi yang lain
  • Tangisan berterusan yang akan menukarkan wajah dan kulit bayi menjadi merah. Sekiranya ini berlaku, ibu perlu menenangkan bayi terlebih dahulu lalu memberikannya susu sebaik tangisan reda.

BOLEHKAH JERUK DI MAKAN OLEH IBU HAMIL?

Sudah menjadi kebiasaan ibu hamil untuk makan jeruk atau apa-apa yang masam untuk menghilangkan rasa loya. Rasa loya ini juga disebut sebagai mabuk hamil yang normal bagi ibu hamil.

Rasa loya tersebut berpunca daripada perubahan paras hormon estrogen dan progesteron yang berlaku di awal kehamilan. Perubahan tersebut akan menyebabkan deria bau dan rasa seseorang wanita hamil menjadi lebih sensitif.

Walaubagaimanapun, doktor menyarankan ibu hamil untuk mengelakkan pengambilan makanan yang masam secara berlebihan. Ia mungkin tidak mengganggu pertumbuhan fizikal kandungan di dalam rahim tetapi amalan pengambilan makanan masam secara berlebihan boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan ibu kerana dibimbangi ibu hamil tidak mengambil makanan yang seimbang.

JANGAN MENGAMBIL JERUK YANG DIPERAM DI DALAM ASID

Pengambilan jeruk yang diperam di dalam asid amat tidak digalakkan lebih lagi diambil ketika perut kosong kerana ianya boleh menghakis dan melukakan perut. Sebaliknya, ibu hamil perlu mengambil buah-buahan yang rasanya semula jadi masam.

Pengambilan buah-buahan masam lebih baik berbanding jeruk yang diperam dengan bahan pengawet kerana ianya mengandungi banyak kalori dan mengandungi bahan pengawet. Tetapi ibu hamil tetap perlu ambil buah-buahan masam tersebut dalam kuantiti yang sederhana dan jangan berlebihan.

Ibu hamil boleh mengambil air asam jawa, limau nipis, atau lemon sebagai pengganti jeruk. Pengambilan makanan yang masam haruslah dilakukan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap jika ia terbukti membantu mengurangkan loya. Ibu hamil juga perlu minum air halia hangat dan mengurangkan atau mengelakkan terus pengambilan makanan bergoreng dan bersantan bagi mengurangkan rasa loya.

7 TIPS ELAKKAN BADAN LETIH KETIKA HAMIL

Letih yang biasa dialami oleh ibu hamil adalah seperti perut yang semakin besar, belakang dan pinggang mulai sakit, dan kaki mulai bengkak. Jika mahu berehat sukar pula untuk melelapkan mata.

Sepanjang proses ini, tubuh sebenarnya sedang bekerja keras membekalkan keperluan bagi kandungan. Oleh itu, ibu hamil tidak boleh letih berterusan kerana boleh menjadikan situasi lebih serius dan boleh menganggu emosi.

TIPS ELAK BERASA LETIH KETIKA HAMIL

  • Perbanyakkan Aktiviti Fizikal

Apabila badan terasa berat, ketika inilah masa yang sangat sesuai untuk meningkatkan jumlah pergerakan. Namun, ibu hamil tidak perlu melakukan senaman yang sukar, cukup sekadar aktiviti santai seperti berjalan di taman.

Ibu hamil juga boleh memilih untuk berenang kerana berenang amat sesuai dilakukan ketika hamil. Ini kerana, badan akan terasa ringan dan terapung ketika berada di dalam air. Aktiviti lain yang disarankan adalah seperti yoga, aerobik impak rendah, dan tarian.

  • Minum Air Kosong Yang Banyak

Air kosong terlalu banyak faedahnya. Tidak kisah sama ada hamil ataupun tidak. Letih, lesu, dan mengantuk berpunca daripada rasa haus. Pastikan tubuh anda mendapat air yang mencukupi setiap masa.

  • Makan Sedikit Tetapi Kerap

Telah dibuktikan bahawa saiz hidangan yang sedikit tapi menyihatkan sebenarnya member lebih banyaj tenaga berbanding makan dengan kuantiti yang banyak. Ibu hamil digalakkan untuk mengambil 5 hidangan kecil setiap hari.

Bagi ibu hamil yang suka untuk mengunyah, mereka disarankan untuk mengambil kudapan yang segar serta tinggi khasiatnya seperti kurma, badam, serta buah-buahan setaip 4 jam untuk kekal cergas.

  • Mesti Bersarapan

Pengambilan sarapan sememangnya penting biarpun seseorang itu tidak hamil. Ibu hamil perlu memastikan sarapan mereka kaya dengan zat besi (sayuran, kekacang, dan bahagian daging tidak berlemak) kerana kekurangan zat besi sering dikaitkan dengan punca keletihan.

Pengambilan vitamin C membantu proses penyerapan zat besi tersebut manakala makanan tenusu pula memberi tindak balas yang sebaliknya jika diambil bersama.

  • Menghirup Udara Segar

Udara pagi mengandungi jumlah oksigen yang lebih banyak. Ianya dapat meningkatkan daya tahan tubuh kepada para ibu hamil.

  • Mandi Dengan Kerap

Faktor panas dan kelembapan akan menyebabkan kita bertambah letih dan kurang selesa akibat peluh terutamanya ibu hamil. Mandi dapat meredakan tekanan serta berperanan dalam meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

Ibu hamil juga digalakkan berendam di dalam kolam air suam untuk merehatkan otot-otot yang penat bekerja di siang hari. Selain itu, boleh juga untuk menitiskan aroma menyegarkan dalam tab mandi sebagai terapi bagi yang ada kesukaran untuk tidur malam.

  • Dapatkan Rehat Dan Tidur Yang Berkualiti

Tidur tetapi tidak berkualiti tidak akan menghilangkan keletihan yang dialami. Sekiranya tidak dapat tidur yang mencukupi dan berkualiti di waktu malam, ibu hamil boleh melelapkan mata di sekitar waktu tengahari keesokan harinya.

Tips untuk mendapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam adalah :

  1. Posisi yang sesuai seperti mengiring.
  2. Rendam kaki dalam air hangat sebelum tidur bagi membantu otot kaki berehat serta mengelakkan kekejangan kaki.
  3. Minimakan bangun malam untuk membuang air kecil dengan mengurangkan pengambilan air pada waktu malam.

6 PENJAGAAN KESIHATAN IBU HAMIL KETIKA MUSIM WABAK

Sememangnya bergelar seorang ibu bapa merupakan impian semua pasangan yang telah mendirikan rumah tangga. Namun sejak tercetusnya pandemik COVID-19, ianya mendatangkan kegusaran di kalangan ibu hamil tentang risiko jangkitan ke atas mereka.

  • Amalkan Langkah Pencegahan Yang Disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Antara langkah pencegahannya adalah :

  1. Basuh tangan dengan kerap
  2. Elakkan daripada menyentuh mata, hidung, dan mulut
  3. Jaga jarak dengan orang lain
  4. Gunakan bahagian dalam siku / tisu ketika batuk atau bersin
  5. Dapatkan rawatan dengan segera jika mengalami demam, batuk atau sesak nafas. Hubungi klinik atau hospital dan ikut nasihat perubatan
  • Dapatkan Tidur dan Rehat Yang Mencukupi

Rehat sangat penting bagi ibu hamil kerana badan sedang membentuk satu sistem sokongan untuk bayi di dalam kandungan. Ibu hamil akan berasa cepat letih kerana perubahan yang berlaku pada tubuh. Hanya berikan diri anda waktu untuk membiasakan diri dengan perubahan tersebut.

  • Kawal Emosi dan Elakkan Daripada Berfikiran Berlebihan

Ianya normal bagi ibu hamil untuk beremosi kerana perubahan hormon dalam badan. Bagaimanapun, ibu hamil perlu cuba untuk mengawal emosi dengan meluahkan perkara yang menganggu fikiran kepada pasangan. Pasangan juga perlu mencuba sebaik mungkin untuk menenangkan mereka.

Elakkan juga daripada membaca perkongsian yang tidak mempunyai sumber sahih seperti di Facebook atau group Whatsapp. Hanya ikuti informasi dan berita daripada sumber sahih seperti berita, surat khabar, ataupun laman sosial rasmi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Jalani Pemeriksaan Mengikut Tarikh Temujanji

Selagi tiada arahan sekatan pergerakan keluar, anda harus mendapatkan pemeriksaan bayi di dalam kandungan bagi mengelakkan kompilasi serta memastikan kandungan membesar dengan baik.

  • Kawal Pertambahan Berat Badan

Pertambahan berat perlu seiring denga tumbesaran kandungan. Ibu hamil disarankan untuk mengambil lebih 300 kalori sehari untuk memenuhi keperluan diri dan kandungan. Penuhi diet anda dengan makanan berkhasiat seperti buah, sayur, susu rendah lemak, telur, keju, dan bijirin.

Anda juga perlu mendapatkan saranan doktor terlebih dahulu tentang nutrisi yang terbaik dan diperlukan kandungan. Elakkan mengambil terlalu banyak makanan yang diproses kerana mempunyai banyak perisa tambahan dan menjadi salah satu punca berat badan naik berlebihan.

  • Mengambil Makanan Tambahan Mengikut Saranan Pakar

Ibu hamil disarankan mengambil makanan tambahan bagi membantu perkembangan kandungan. Menurut pakar dietetik Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, ibu hamil harus memberi tumpuan ketika trimester pertama kerana pembentukan sel dan perkembangan organ berlaku dengan cepat.

CARA MENJAGA LUKA EPISIOTOMI

APA ITU EPISIOTOMI?

Episiotomi adalah teknik memotong di bahagian kemaluan yang terletak di antara faraj dan dubur. Luka episiotomi biasanya digelar luka jahitan bersalin yang dilakukan bagi memudahkan laluan bayi. Selepas selamat bersalin, luka tersebut akan dijahit semula dan benang jahitan tersebut akan luruh dengan sendirinya selepas beberapa hari.

  • Menjaga kebersihan luka

Pastikan untuk membersihkan luka setiap kali selepas ke tandas. Tukar tuala wanita dengan kerap. Lalukan air bersih ke luka lalu tekap sahaja dengan tisu bersih untuk mengeringkannya tetapi jangan sesekali sapu bahagian luka tersebut.

  • Mendedahkan luka

Ambil masa dalam sehari untuk membiarkan luka terdedah supaya luka mengalami pengudaraan yang baik.

  • Lakukan sitz bath

Sitz bath adalah rendaman air garam di mana segenggam garam dilarutkan di dalam satu jag air panas. Kemudia, campurkan dengan air biasa supaya campuran tersebut menjadi suam dan tuangkan ke dalam besen. Duduk di dalam besen tersebut selama 10 – 15 minit.

  • Elakkan sembelit

Disarankan untuk minum air kosong yang banyak dan makan makanan yang kaya dengan fiber. Kerap meneran ketika membuang air besar boleh mengakibatkan luka meregang dan terbuka.

  • Pemilihan makanan

Makan makanan yang berkhasiat bagi mendapatkan nutrien penting untuk penyembuhan luka.

  • Senaman KEGEL’S

Senaman kemutan untuk menguatkan semua otot-otot pelvis.

  • Elakkan melakukan kerja berat

Proses penjagaan luka mengambil masa yang agak lama. Elakkan diri daripada melakukan kerja berat. Ambillah masa untuk rehat secukupnya ketika tempoh berpantang.

CARA MENYIMPAN SUSU BADAN AGAR TIDAK CEPAT ROSAK

JANGKAMASA SIMPANAN SUSU BADAN

Suhu bilik (26 C) : Sehingga 8 jam

Peti sejuk (4 C) : 24 – 48 jam

Dingin beku (-18 C) : 3 bulan

Peti sejuk beku lampau (-20 C) : 1 tahun

  • Mengikut kuantiti bayi

Ibu perlu menyimpan susu dalam jumlah yang diambil oleh bayi pada setiap sesi penyusuan. Ini bagi mengelakkan pembaziran.

  • Melabel pek susu dengan betul

Label setiap pek atau bekas simpanan susu dengan tarikh, masa, dan jumlah perahan. Ibu boleh membeli sticker dan marker untuk melabel.

  • Menyediakan ruang

Sila sediakan ruang dalam setiap pek atau bekas yang digunakan untuk menyimpan susu agar boleh mengembang ketika dihangatkan.

  • Jangan Campur

Untuk mencapai tempoh simpanan yang lebih lama, ibu perlu mengelakkan daripada mencapurkan susu yang baru diperah ke dalam susu yang sudah disimpan. Ini kerana susu tersebut berpotensi untuk rosak.

  • Menggunakan ‘freezer’ yang sangat sejuk

Sentiasa simpan susu di bahagian paling sejuk di bahagian sejuk beku. Ibu tidak disarankan untuk diletak di bahagian pintu peti sejuk kerana sering dibuka dan susu tidak akan sejuk sepenuhnya.

  • Gunakan sekali sahaja

Satu pek susu atau bekas perlu digunakan sekali sahaja. Ibu tidak boleh membekukan susu di pek itu semula apabila ianya sudah dinyahbekukan kerana risiko susu tersebut menjadi rosak lebih tinggi.

KHASIAT MADU YANG PERLU DIAMALKAN WANITA HAMIL

KHASIAT MADU BAGI WANITA HAMIL

Ramai yang sedar bahawa madu mengandungi banyak khasiat yang tinggi dan sememangnya elok untuk tubuh badan. Madu terdiri daripada beberapa kandungan seperti air, karbohidrat, vitamin, dan mineral.

  • Antibiotik Semulajadi

Sudah sedia maklum bahawa tubuh ibu yang hamil akan mengalami beberapa perubahan dari segi luaran dan dalaman. Ketika ini juga, mereka mudah terdedah kepada jangkitan kuman. Ini kerana, ibu hamil masih menyesuaikan diri dengan kandungan di dalam perut menyebabkan tubuh mereka agak lemah. Ibu disarankan untuk tidak mengambil sebarang ubat-ubatan tanpa saranan daripada pakar. Oleh itu, madu sudah dipercayai sebagai salah satu pemakanan semulajadi yang berfungsi untuk menguatkan antibodi badan.

  • Melegakan Ketidakselesaan Perut

Perut yang pedih atau tidak selesa selalu terjadi di kalangan ibu hamil. Maka, ibu hamil boleh mengambil satu sudu madu bersama segelas susu jika perut tidak selesa. Madu tidak akan meloyakan sebaliknya menambah rasa manis semulajadi dan khasiat di dalam makanan.

  • Mengurangkan ‘Morning Sickness

Biarpun terlihat sinonim dengan ibu hamil, ia tetap perlu diambil berat kerana morning sickness boleh menyebabkan ibu hamil hilang selera makan dan dehidrasi. Solusi terbaik adalah dengan mengambil satu sudu madu setiap pagi sebelum sarapan supaya khasiat madu itu dapat diserap dengan baik oleh sistem imunisasi badan,

  • Membunuh Bakteria Perut

Terdapat sejenis bakteria yang dipanggil helicobacter pylori sememangnya menjangkiti perut manusia. Kerana itu, ia mudah menjangkiti ibu hamil kerana tubuh mereka lemah. Bakteria ini menyebabkan ketidakselesaan dan pedih perut seterusnya menyebabkan ulser dalam perut.

Oleh itu, pengambilan madu dapat membunuh bakteria dan juga dapat mengelakkan ibu hamil daripada terkena penyakit ulser tersebut.

  • Mengurangkan Alergi

Lain orang, lain pengalamannya. Mungkin ada segelintir yang tidak mengalami alergi ketika hamil. Oleh itu, jika anda mengalami alergi ketika hamil dan ingin merawatnya, anda boleh menggunakan madu. Madu mampu meneutralkan masalah alergi dan mengelakkan alergi itu daripada menjadi lebih teruk.

  • Mengurangkan Batuk dan Sakit Tekak

Elakkan daripada mengambil apa-apa ubatan tanpa mendapat saranan daripada pakar. Hal ini adalah untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini terjadi pada kandungan kerana tidak tahu sama ada ubat tersebut sesuai atau tidak dengan kondisi badan ibu hamil.

Madu sememangnya solusi terbaik untuk mengubati batuk dan sakit tekak. Ambil satu sudu madu bersama air. Ibu hamil perlu amalkan setiap hari untuk meredakan batuk dan juga sakit tekak yang dialami.

TIPS KEJUTKAN BAYI JAUNDICE DARI TIDUR SUPAYA KERAP MENYUSU

PENTINGNYA MEMBERI SUSU KEPADA BAYI YANG MENGHIDAP JAUNDICE

Jaundice atau demam kuning biasanya berlaku pada bayi yang baru lahir. Biarpun kebanyakannya tidak serius, para ibu tetap harus memantau bayi dengan kerap. Bilirubin merupakan penyebab demam kuning dan ia dihasilkan daripada pencernaan pemecahan sel darah merah. Ia diproses di hati sebelum dikeluarkan melalui najis. Bayi baru lahir kebiasaanya menyusu 1-2 jam sekali. Oleh kerana itu, doktor menyarankan para ibu untuk kerap menyusukan anak agar mereka cepat membuang sekaligus menyingkirkan bilirubin dari dalam badan.

  • Sentuhan

Ibu boleh cuba untuk menyentuh dengan lembut pada kulit bayi. Usap atau gosok dengan lembut pada badan, belakang badan, kaki, atau tangan mereka. Ibu juga boleh dukung bayi dalam posisi menegak supaya bayi lebih mudah tersedar.

  • Suara

Cuba untuk berbisik dan bercakap dengan perlahan di telinga bayi supaya bayi bangun untuk menyusu. Sudah tentu bayi tidak memahaminya, tetapi suara ibu mempunyai aura yang kuat terhadap bayinya.

  • Membuka bajunya

Ini merupakan salah satu tips yang amat berkesan. Ibu perlu membuka bajunya dan tinggalkan lampinnya sahaja. Ini kerana perubahan suhu sekeliling berpotensi untuk mengejutkan bayi yang sedang tidur. Tetapi ibu perlu ingat untuk tidak membuka bajunya terlalu lama kerana bayi akan kesejukan.

  • Lap muka

Basahkan sehelai tuala muka lalu sapukan pada muka bayi dengan perlahan.

  • Menukar lampin atau mandi

Pergerakan ketika menukar lampin biasanya boleh membuat bayi terjaga. Ini kerana perubahan suhu membuatkan bayi bangun seketika. Jika bayi masih tidak mahu bangun, cuba untuk memandikannya. Apabila bayi sudah bangun, ibu peru segera menyusukannya.

  • Menitiskan susu pada mulut bayi

Setiap bayi yang baru lahir dikurniakan dengan rooting reflex iaitu refleks yang ada pada bayi untuk mencari puting susu apabila disuakan kepadanya. Namun begitu, jika bayinya terlalu mengantuk dan tidak mahu bangun ibu perlu menitiskan beberapa titis susu ke dalam mulutnya. Bau dan rasa susu dapat merangsang bayi untuk terus bangun dan menyusu.

  • Bawa bayi ke tempat yang kurang pencahayaan

Bayi yang baru lahir amat sensitif terhadap cahaya. Cahaya yang terlalu terang menyebabkan bayi gemar untuk menutup matanya agar lebih selesa. Oleh itu, ibu perlu mencuba untuk mengelakkan bayi duduk di tempat yang terang sama ada pada waktu siang atau malam.

Kredit Gambar : Laman Free Malaysia Today

NON-INVASIVE PRENATAL TESTING (NIPT), PENTING ATAU TIDAK?

NON-INVASIVE PRENATAL TESTING (NIPT), PENTING ATAU TIDAK?

Kelainan Genetik (Genetic Abnormalities) boleh berlaku apabila terdapat masalah pada gen atau DNA janin yang sedang membesar. Ini boleh menyebabkan gangguan genetik seperti Down Syndrome, Patau Syndrome, Edward Syndrome dan lain-lain. Down Syndrome adalah gangguan genetik yang paling biasa di kalangan bayi yang baru lahir, dengan kadar 1/660 kelahiran hidup di Malaysia.

Non-Invasive Prenatal Testing (NiPT) adalah satu ujian yang meneliti beberapa kelainan genetik yang paling biasa boleh mempengaruhi kesihatan dan perkembangan bayi. Ini dilakukan melalui sampel darah ibu mengandung kerana mengandungi DNA daripada ibu dan bayi. Sel dari plasenta (DNA janin bebas-sel) yang biasanya sama dengan bayi, masuk ke aliran darah ibu semasa kehamilan dan DNA janin bebas-sel ini diekstrak dari darah yang dikumpulkan untuk analisis dengan lebih lanjut.

NiPT menawarkan banyak kelebihan berbanding pemeriksaan dan ujian konvensional tetapi tidak terhad kepada:

  • NiPT mengesan keadaan yang tidak dapat diuji dalam ujian konvensional yang lain.
  • Saringan NiPT untuk Down Syndrome dengan kadar ketepatan lebih tinggi dari 99%, berbanding dengan saringan konvensional yang hanya menyediakan hingga 95%.
  • NiPT tidak menimbulkan risiko pada janin kerana darah diambil dari ibu tidak seperti prosedur seperti Amniocentesis dan Chorionic Villus Sampling (CVS), yang masing-masing mempunyai risiko keguguran hingga 1% dan 2%.

Ibu mengandung dalam kumpulan berisiko tinggi biasanya akan ditawarkan untuk melakukan NiPT oleh doktor mereka. Walau bagaimanapun, American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) mengesyorkan agar semua wanita hamil, tanpa mengira risiko harus ditawarkan semua ujian pranatal yang ada.

NiPT boleh dilakukan seawal 10 minggu kehamilan dan pada bila-bila masa sebelum bayi dilahirkan. Doktor akan menerima keputusan ujian dalam masa 10 – 14 hari.

Kredit gambar: Laman web quantumdxs