Sememangnya bergelar seorang ibu bapa merupakan impian semua pasangan yang telah mendirikan rumah tangga. Namun sejak tercetusnya pandemik COVID-19, ianya mendatangkan kegusaran di kalangan ibu hamil tentang risiko jangkitan ke atas mereka.

  • Amalkan Langkah Pencegahan Yang Disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Antara langkah pencegahannya adalah :

  1. Basuh tangan dengan kerap
  2. Elakkan daripada menyentuh mata, hidung, dan mulut
  3. Jaga jarak dengan orang lain
  4. Gunakan bahagian dalam siku / tisu ketika batuk atau bersin
  5. Dapatkan rawatan dengan segera jika mengalami demam, batuk atau sesak nafas. Hubungi klinik atau hospital dan ikut nasihat perubatan
  • Dapatkan Tidur dan Rehat Yang Mencukupi

Rehat sangat penting bagi ibu hamil kerana badan sedang membentuk satu sistem sokongan untuk bayi di dalam kandungan. Ibu hamil akan berasa cepat letih kerana perubahan yang berlaku pada tubuh. Hanya berikan diri anda waktu untuk membiasakan diri dengan perubahan tersebut.

  • Kawal Emosi dan Elakkan Daripada Berfikiran Berlebihan

Ianya normal bagi ibu hamil untuk beremosi kerana perubahan hormon dalam badan. Bagaimanapun, ibu hamil perlu cuba untuk mengawal emosi dengan meluahkan perkara yang menganggu fikiran kepada pasangan. Pasangan juga perlu mencuba sebaik mungkin untuk menenangkan mereka.

Elakkan juga daripada membaca perkongsian yang tidak mempunyai sumber sahih seperti di Facebook atau group Whatsapp. Hanya ikuti informasi dan berita daripada sumber sahih seperti berita, surat khabar, ataupun laman sosial rasmi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Jalani Pemeriksaan Mengikut Tarikh Temujanji

Selagi tiada arahan sekatan pergerakan keluar, anda harus mendapatkan pemeriksaan bayi di dalam kandungan bagi mengelakkan kompilasi serta memastikan kandungan membesar dengan baik.

  • Kawal Pertambahan Berat Badan

Pertambahan berat perlu seiring denga tumbesaran kandungan. Ibu hamil disarankan untuk mengambil lebih 300 kalori sehari untuk memenuhi keperluan diri dan kandungan. Penuhi diet anda dengan makanan berkhasiat seperti buah, sayur, susu rendah lemak, telur, keju, dan bijirin.

Anda juga perlu mendapatkan saranan doktor terlebih dahulu tentang nutrisi yang terbaik dan diperlukan kandungan. Elakkan mengambil terlalu banyak makanan yang diproses kerana mempunyai banyak perisa tambahan dan menjadi salah satu punca berat badan naik berlebihan.

  • Mengambil Makanan Tambahan Mengikut Saranan Pakar

Ibu hamil disarankan mengambil makanan tambahan bagi membantu perkembangan kandungan. Menurut pakar dietetik Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, ibu hamil harus memberi tumpuan ketika trimester pertama kerana pembentukan sel dan perkembangan organ berlaku dengan cepat.