Sudah menjadi kebiasaan ibu hamil untuk makan jeruk atau apa-apa yang masam untuk menghilangkan rasa loya. Rasa loya ini juga disebut sebagai mabuk hamil yang normal bagi ibu hamil.

Rasa loya tersebut berpunca daripada perubahan paras hormon estrogen dan progesteron yang berlaku di awal kehamilan. Perubahan tersebut akan menyebabkan deria bau dan rasa seseorang wanita hamil menjadi lebih sensitif.

Walaubagaimanapun, doktor menyarankan ibu hamil untuk mengelakkan pengambilan makanan yang masam secara berlebihan. Ia mungkin tidak mengganggu pertumbuhan fizikal kandungan di dalam rahim tetapi amalan pengambilan makanan masam secara berlebihan boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan ibu kerana dibimbangi ibu hamil tidak mengambil makanan yang seimbang.

JANGAN MENGAMBIL JERUK YANG DIPERAM DI DALAM ASID

Pengambilan jeruk yang diperam di dalam asid amat tidak digalakkan lebih lagi diambil ketika perut kosong kerana ianya boleh menghakis dan melukakan perut. Sebaliknya, ibu hamil perlu mengambil buah-buahan yang rasanya semula jadi masam.

Pengambilan buah-buahan masam lebih baik berbanding jeruk yang diperam dengan bahan pengawet kerana ianya mengandungi banyak kalori dan mengandungi bahan pengawet. Tetapi ibu hamil tetap perlu ambil buah-buahan masam tersebut dalam kuantiti yang sederhana dan jangan berlebihan.

Ibu hamil boleh mengambil air asam jawa, limau nipis, atau lemon sebagai pengganti jeruk. Pengambilan makanan yang masam haruslah dilakukan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap jika ia terbukti membantu mengurangkan loya. Ibu hamil juga perlu minum air halia hangat dan mengurangkan atau mengelakkan terus pengambilan makanan bergoreng dan bersantan bagi mengurangkan rasa loya.