CARA ATASI PUTING MELECET BAGI PENYUSUAN BAYI

Ada beberapa cara yang boleh ibu lakukan bagi mengatasi puting melecet. Perkara ini tidak boleh dibiarkan atau dipandang remeh kerana jika dibiarkan luka akan menjadi lebih teruk dan menyebabkan masalah lain seperti nanah dan jangkitan yang akan menyebabkan si ibu lebih merana.

Perkara ini jika dibiarkan boleh mendatangkan trauma kepada si ibu dan juga bayi. Ambil tahu perkara ini supaya ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan anak di kemudian hari.

Jadi si ayah atau suami juga perlu ambil perhatian jika berlakunya puting melecet keoada isteri. Antara perkara yang boleh dilakukan untuk merawat puting melecet termasuklah:

#1. Titiskan susu badan

Jika puting anda mula merekah, cuba sapukan sedikit susu ibu yang diperah ke atasnya selepas menyusu. Titiskan susu badan ke atas puting luka setiap kali sebelum dan selepas menyusukan bayi.

Menurut ibu-ibu yang pernah mencubanya, ia amat membantu jika ibu alami puting melecet. Susu ibu mengandungi zat yang dapat bantu sembuhkan luka dan melawan jangkitan.

#2. Elak guna sabun

Elak guna sabun atau lotion pada bahagian puting semasa mandi. Cukup basuh puting dengan air biasa. Ini kerana sabun biasanya mempunyai beberapa kandungan yang boleh menyebabkan berlakunya radang lebih teruk pada kulit.

Jika kulit sedang mengalami radang ada sabun yang boleh membuatkan keadaan kulit menjadi lebih kering dan menyebabkan luka lebih sukar untuk pulih dan sembuh.

Jadi cuba elakkan gunakan sebarang sabun pada kulit puting yang luka atau melecet. Cukup sekadar cuci atau lap dengan air suam saja.

#3. Sapu krim untuk puting melecet

Gunakan krim untuk puting melecet. Ada pelbagai jenis krim di pasaran yang selamat untuk bayi dan anda malah tidak perlu dibasuh terlebih dan boleh terus menyusukan bayi jika krim disapu.

Terdapat banyak krim di pasaran yang anda boleh pilih dan cuba. Gunalah krim yang sesuai untuk keperluan anda.

#4. Tukar pad payudara

Tukar pad payudara2 pada setiap susuan dan jika boleh, gunakan pad tanpa alas plastik. Pad penyusuan pakai buang adalah lebih elok. Tetapi pastikan ia tanpa alas plastik kerana ia sedikit keras dan boleh menyebabkan iritasi lebih teruk pada kulit puting anda.

#5. Gunakan bra kain kapas

Kain kapas lebih mudah menyerap peluh dan ia sangat sesuai untuk pelbagai jenis kulit kerana kelembutan dan jarang menyebabkan iritasi.

#6. Jangan berhenti susukan bayi

Teruskan menyusukan bayi anda selama yang mereka mahu. Penyusuan dalam tempoh masa pendek untuk “merehatkan” puting anda tidak akan mengurangkan sakit puting dan boleh menjejaskan bekalan susu anda.

Memang sakit, namun ia sebenarnya adalah salah satu cara untuk membuatkan luka pada puting anda cepat baik.

#7. Elak menggunakan pelindung puting

Elakkan daripada menggunakan pelindung puting iaitu sarung puting yang kadangkala keras dan menimbulkan ketidakselesaan. Ini tidak akan meningkatkan pelekapan bayi anda pada payudara

Namun, jika puting luka tiada tanda-tanda penyembuhan dalam tempoh dua hari, segera dapatkan rawatan doktor. Semoga maklumat ini dapat membantu anda.

CC:theAsianparent

SEBAB-SEBAB PUTING LUKA DAN MELECET

Pernah tak anda mengalami puting melecet, luka dan bernanah? Apa yang anda buat bagi hilangkan rasa sakit itu? Sebenarnya, hampir 80% hingga 90% ibu menyusu mengalami luka, melecet hingga berdarah. Ada juga yang sampai terjadi mastitis.

Antara punca puting luka dan melecet:

1.Posisi lekapan yang salah

Sebab utama puting luka adalah posisi lekapan ketika menyusu yang salah. Hal ini kerana, selama dua ke empat hari selepas bersalin, puting ibu biasanya terasa ngeri kerana masih dalam proses menyesuaikan diri dengan hisapan mulut bayi1.

Sekiranya mulut bayi berada dalam posisi yang tepat pada payudara, rasa ngeri itu dapat dikurangkan setelah susu ibu semakin lancar keluar dan rasa kurang selesa itu hilang dalam satu ke dua hari.

Namun ia akan jadi sebaliknya jika bayi tidak boleh memasukkan bahagian areola payudara secara penuh ke dalam mulut ketika menyusu. Ini akan menyebabkan lidah dan lelangit bayi jadi punca puting lecet, luka sekaligus berdarah.

2. Jangkitan kuman pada kulit puting

Jangkitan kuman pada kulit puting yang membuatkan ia seolah terbakar. Infeksi ini juga boleh ada dalam mulut bayi. Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan jangkitan juga pada bayi anda.

Jadi jika anda perasan sebarang perkara aneh pada puting payudara, seeloknya cubalah teliti bagi mengelakkan berlakunya keadaan yang menyebabkan anda kesakitan dan rasa tidak selesa.

3. Infeksi pada saluran susu

Jangkitan pada saluran susu juga boleh berlaku. Jangkitan itu akan menyebabkan puting anda membengkak dan akhirnya melecet. Ibu yang pernah mengalaminya berkongsi dan ia dikatakan amat menyakitkan hingga boleh buat si ibu demam.

4. Payudara melepuh

Payudara melepuh seperti warna putih di hujung puting. Payudara melepuh juga boleh terjadi jadi sekiranya anda rasa payudara anda seakan kering, segeralah sapukan krim yang sesuai dan selamat.

5. Raynaud syndrome

Keadaan apabila puting berubah jadi putih setelah menyusu dan sakit ketika haid. Sekiranya anda rasa anda alami masalah ini ketika haid, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubatan yang sesuai bagi mengelak ia semakin teruk dan menyebabkan anda rasa sakit berterusan.

CC:theAsianparent

MITOS POPULAR TENTANG PENYUSUAN SUSU IBU

Setiap wanita pasti memasang impian untuk menyusukan bayi dengan susu badan. Ketika bayi sedang berada dalam kandungan lagi, ahli keluarga dan rakan-rakan anda mungkin akan memberikan nasihat berkenaan penyusuan susu ibu kepada anda.

Akan tetapi, tidak semua daripada nasihat itu adalah berguna dan ada kalanya agak mengelirukan terutamanya buat ibu baharu.

Jadi, anda sebagai seorang ibu perlu faham mengenai pelbagai fakta dan mitos berkenaan penyusuan badan.

Mitos berkenaan penyusuan susu ibu
Buat bakal ibu di luar sana, pastikan anda ambil tahu perkara-perkara ini terlebih dahulu sebelum menyusukan bayi anda dengan susu badan, ya?

Mitos #1. Bayi secara semula jadi tahu bagaimana untuk menyusu badan

Fakta: Setiap bayi akan lahir dengan refleks yang membantu mereka untuk proses menyusu badan seperti refleks menghisap (suck reflexes) dan refleks mencari (rooting reflexes).

Kedua-dua refleks ini sangat membantu untuk bayi mencari puting susu ibu dan menghisapnya. Pun begitu, proses penyusuan badan kadangkala tidak berjaya.

Ini kerana proses ini perlu dipelajari secara berperingkat oleh kedua-dua bayi dan ibu. Selain itu, ubatan yang diambil semasa melahirkan bayi juga sedikit sebanyak akan menjejaskan refleks bayi ini. Jadi, hanya gunakan ubatan seperti ini apabila perlu sahaja!

Mitos #2. Penyusuan susu ibu adalah menyakitkan

Fakta: Sebenarnya, proses ini sangat jarang mendatangkan rasa sakit kepada ibu. Apa yang membuatkan proses itu menyakitkan adalah puting sensitif ekoran peningkatan kadar hormon selepas melahirkan bayi.

Untuk pengetahuan anda, puting sensitif adalah normal namun rasa sakit padanya semasa menyusu badan adalah tidak normal. Antara punca kesakitan pada puting adalah teknik dan posisi menyusu badan yang tidak betul.

Jadi, sila berunding dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Mitos #3. Penyusuan susu ibu akan terganggu jika puting anda tidak sempurna

Fakta: Hakikatnya, setiap wanita akan lahir dengan saiz dan bentuk puting yang berbeza-beza. Oleh itu, tiada istilah puting “sempurna” untuk membolehkan proses menyusu badan menjadi lancar.

Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa setiap bayi adalah berlainan. Saiz dan bentuk mulut mereka sudah pasti adalah tersendiri, begitu juga dengan lidah dan bibir mereka.

Sebenarnya, kejayaan proses menyusu badan tidak bergantung kepada faktor anatomi sahaja sebaliknya kerjasama antara ibu dan bayi itu sendiri.

Mitos #4. Anda tidak boleh menyusu badan selepas mengambil suntikan vaksin

Fakta: Ini juga tidak benar kerana ia tidak akan memberi kesan sekiranya bayi anda sihat. Malahan sebenarnya, bayi anda juga mungkin akan menerima manfaat daripada vaksin si ibu.

Pun begitu, anda perlu berhati-hati jika anak anda mempunyai sistem imunisasi yang lemah.

Dalam kes sebegini, anda yang menerima vaksin yang mengandungi virus lemah seperti polio, campak, beguk atau rubella perlu elak daripada menyusukan bayi dengan susu badan.

Konklusi
Sebenarnya, terdapat banyak lagi fakta dan mitos berkenaan penyusuan badan yang bakal ibu di luar sana perlu tahu.

Jadi, sentiasa berhubung dengan doktor anda untuk sentiasa mendapatkan nasihat dan rawatan lanjutan, jika perlu.

CC:hellodoktor

5 TANDA SUSU IBU KURANG

Amat merisaukan apabila ibu tidak tahu sama ada susu yang diberikan ke[ada anak itu sama ada cukup atau tidak.
Apabila kekurangan susu boleh memberikan kesan buruk samaada pada ibu atau bayi yang disusukan
Oleh hal itu terdapat beberapa tanda yang jelas untuk mengetahui susu ibu berkurangan

1. Berat baby menurun atau tidak ideal

Berat bayi lazimnya meningkat 100-200g seminggu untuk 1 bulan pertama kelahiran, pada bulan seterusnya sehingga 1 tahun berat bayi meningkat antara 85-104g
Berat bayi perlu meningkat sebanyak 600g dari lahir hingga dia berusia 1 bulan
Sekiranya berat bayi kurang dari ini, mommies perlu tingkatkan penyusuan susu ibu 🙂

2. Bayi kurang membuang air kecil kurang daripada 6 kali sehari

Air kencing bayi berwarna kuning jernih adalah tanda bayi mendapat cukup susu
Sekiranya lampin ditukar kerap, lebih daripada 6 kali adalah normal, namun sekiranya kurang daripada 6 kali sehari, itu tandanya bayi mommies kurang minum susu

3. Bayi tidur tak lena dan kerap terjaga

Bayi yang tak cukup susu akan tidur tak lena dan sangat kerap terjaga
Bayi kelihatan tidak sihat, dan tona otot yang kurang baik
Bayi yang tidak cukup susu, kulitnya agak kering dan kurang anjal. Mulutnya juga agak kering

4. Baby kerap menangis dan minta disusukan kerap

Baby menyusu sekejap-sekejap, adakalanya tidak sampai 20 minit pada satu sesi, dan menangis lagi untuk disusukan
Sekiranya payudara tidak lembut selepas 20 minit penyusuan, periksa teknik lekapan
Baby mengempeng terlalu lama, dan kerap merengek kerana tidak cukup susu
Baby menyusu berlarutan sehingga lebih dari 30 minit, dan payudara telah lembut namun bayi masih kelihatan tidak puas menyusu

5. Hasil mengepam yang sedikit

Hasil pam yang sedikit dan tidak cukup untuk bayi. Penghasilan susu ibu tidak meningkat selepas lebih sebulan kelahiran adalah tanda-tanda susu ibu kurang dan tidak cukup untuk si manja
Baby mommies alami 5 tanda-tanda di atas?

Jom tingkatkan susu badan supaya si manja dapat susu yang mencukupi dan membesar dengan sihat dan gembira.

CC:mommanutrition

9 FAKTA & AUTA BERKAITAN PENYUSUAN BADAN

Sama ada anda hamil atau sedang melalui proses penyusuan, pastinya anda pernah mendengar beberapa kepercayaan berkaitan ibu menyusu badan.

Adakah ia benar atau sekadar mitos?

9 fakta atau auta berkaitan ibu menyusu badan

 

1 Pelbagai rasa

Apa yang ibu makan, itulah juga yang akan dimakan si kecil nanti. Ini bermakna jika anda suka makan sayur bayam, kemungkinan bayi anda juga akan menyukainya, benarkah?

Kepercayaan ini dikatakan benar.

Ini kerana seperti ketika mengandung, bayi akan dapat merasa makanan yang dimakan ibunya melalui cecair amniotik (ketuban), maka keadaan yang sama turut berlaku ketika proses penyusuan.

Malahan ada kajian mengatakan ibu menyusu badan dan tidak cerewet dalam soal pemakanan akan turut dapat menjadikan si kecil sebagai kanak-kanak yang tidak memilih makan.

2 Proses penyusuan berpanjangan punca anak lebih manja

Sudah tentu ia adalah perkara yang tidak benar.

Mana mungkin anak anda menjadi manja semata-mata kerana susu badan yang diberikan? Malahan tempoh penyusuan adalah hak mutlak dan pilihan ibu.

Anak akan menjadi manja apabila segala kehendak yang tidak berpatutan dipenuhi semata-mata kerana tidak mahu mereka terus menangis atau merengek.

Memberikan anak susu badan yang secukupnya adalah 1 kaedah bagi memenuhi keperluan nutrisi untuk perkembangannya.

3 Sentuhan kulit ke kulit tingkatkan bekalan susu

Ia mungkin kedengaran pelik.

Tetapi jika ibu menyusu badan dapat mewujudkan hubungan fizikal kulit ke kulit dengan si kecil semasa proses penyusuan, tindakan anda itu boleh meningkatkan penghasilan susu.

Apabila kontak terus kulit ke kulit dilakukan dengan bayi, ia dapat merangsang pelepasan oksitosin (hormon ketenangan, kasih sayang), yang penting untuk penyusuan.

Malahan ia juga dikatakan dapat mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Benda baik, tidak salah untuk dicuba, bukan?

4 Minum banyak air kekalkan penghasilan susu

Kalau masa berpantang ikut petua orang lama, ibu-ibu tidak digalakkan untuk minum air dengan banyak. Kononnya kerana bimbang akan bentan, buncit atau rahim kembang.

Tetapi bagi ibu menyusu badan pula perlu minum air dengan banyak untuk kekalkan penghasilan susu. Eh, masa berpantang tidak menyusukan anak ke?

Kedua-duanya adalah 1 mitos yang tidak tepat.

Sudah tentu pengambilan air minuman yang banyak tidak akan meningkatkan penghasilan susu.

Tetapi ia bergantung kepada faktor biologi seperti tisu kelenjar mencukupi, tahap normal hormon dan faktor kesihatan.

Namun, ibu yang menyusu perlu mengambil air yang secukupnya bagi mengelakkan masalah dehidrasi dalam badan.

5 Kubis atasi masalah bengkak susu

Eh, biar betul kubis boleh atasi masalah bengkak susu? Ya! Kedengaran seperti mustahil, tetapi petua orang lama ini sangat berkesan untuk mengatasi dan mengurangkan masalah bengkak susu.

Bengkak susu adalah 1 masalah biasa dan paling kerap dialami oleh ibu menyusu badan. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Tetapi bagaimana ia berfungsi?

Umumnya, daun kubis yang diletakkan pada payudara akan memberikan kesan kepada cecair interstisial payudara.

Ia tidak memberi kesan pada sel penghasilan susu tetapi sangat membantu dalam mengurangkan pembengkakan payudara.

Malahan, daun ajaib ini berguna untuk sebarang masalah bengkak di seluruh bahagian badan, sama ada sakit gigi hinggalah kaki yang terseliuh.

Tetapi bagi ibu yang mengalami masalah bengkak susu, disarankan untuk mengaplikasikan petua ini sekali atau dua kali sehari dan tidak diletakkan secara berterusan.

6 Bersenam buat susu badan masam

Adakah ini alasan untuk ibu yang menyusukan si kecil untuk tidak bersenam? Tetapi masam yang bagaimana, adakah seperti jeruk?

Hakikatnya, susu badan anda tidak akan ‘rosak’ atau menjadi masam untuk diberikan kepada bayi selepas anda melakukan senaman.

Sememangnya tahap asid laktik meningkat selepas melakukan aktiviti intensiti, malahan ia akan kekal dalam badan sehingga hampir 90 minit.

Keadaan ini yang mungkin menyebabkan rasa susu berubah – sehingga ada yang mengatakan rasanya masam.

Namun jika anda melakukan senaman intensiti ringan atau sederhana, tahap asid laktik tidak akan mengalami peningkatan.

Walau apa pun, susu badan yang mengandungi asid laktik masih bernutrisi.

Yang lebih penting, si kecil yang diberikan susu selepas ibu bersenam, tampaknya seperti tidak kisah dengan sedikit perubahan rasa itu.

Jadi tiada alasan untuk ibu tidak bersenam!

7 Bawang putih galakkan bayi untuk menyusu

Ada sesetengah bayi yang kurang menyusu badan, pastinya keadaan itu akan membuatkan hati ibu runsing, bukan?

Untuk menggalakkan bayi menyusu dengan lebih baik, ada cadangan bagi ibu menyusu badan mengambil makanan berunsurkan bawang putih.

Ada kajian yang menyokong fakta ini dengan mengatakan ibu yang menyusukan bayi selepas 2 jam memakan bawang putih akan membuatkan si manja menyusu dengan lebih kuat dan lebih banyak.

8 Susu jadi masam kerana stres

Ia adalah 1 mitos yang tidak benar. Tekanan dan kemarahan adalah 1 perkara normal yang sukar dielakkan. Ia langsung tidak mempunyai kaitan terhadap perubahan rasa susu.

Tekanan yang dirasai hanya mungkin akan menjejaskan penghasilan susu tetapi bukan rasanya.

9 Ibu tak sihat? Jangan menyusu!

1 kepercayaan yang tidak harus diikuti. Malahan, jika anda mempunyai selesema, demam atau sebarang jangkitan virus ringan, teruskan menyusu.

Ini kerana susu tersebut dapat memberikan perlindungan kepada bayi dalam melawan kesakitan.

Antibodi yang terkandung di dalamnya membantu meningkatkan sistem imun bayi dalam melawan jangkitan dan penyakit.

Namun, pastikan anda sentiasa mencuci tangan, elakkan daripada batuk mahupun bersin berdekatan bayi serta elakkan daripada mencium si kecil dalam masa beberapa hari, okay?

Semak dan kaji
Bukan semua kepercayaan orang dahulu mengenai ibu menyusu badan tidak betul dan salah. Ada sesetengahnya memberikan kebaikan kepada proses penyusuan.

Namun sebelum anda mempercayai apa yang dikatakan, sebaiknya lakukan semakan atau bertanyakan kepada pakar terlebih dahulu.

CC:hellodoktor

 

6 MAKANAN BERKHASIAT UNTUK IBU MENYUSU INI AKAN BUAT BAYI LEBIH PINTAR!

Sebarang makanan untuk ibu menyusui adalah amat penting, terutama dalam tempoh dua hingga tiga minggu terawal. Inilah waktunya tubuh anda mula menghasilkan susu ibu, dan anda perlu mengamalkan pengambilan vitamin untuk ibu menyusu.

Hal ini kerana, bagi menghasilkan susu badan, tubuh anda memerlukan banyak tenaga.

6 Makanan Untuk Ibu Menyusui – Buat Bayi Lebih Cerdik

#1 Protein
Bayi yang sedang membesar memerlukan banyak protein, jadi anda perlu untuk membekalkan banyak protein dalam diet anda. Ini bagi memenuhi keperluan si manja anda.

Protein adalah penting untuk perkembangan, dan pembaikan sel. Jumlah purata protein yang ibu penyusuan perlukan setiap hari ialah 54g, tetapi sesetengah ibu mungkin perlukan 67g sehari, atau mungkin juga lebih.

Sumber protein termasuklah:

Daging
Telur
Tenusu
Sayur kacang, kekacang dan produk soya
Vitamin untuk ibu menyusu

#2 Folat
Folat ialah jenis vitamin B yang penting untuk tumbesaran dan perkembangan sihat bayi anda. Secara purata, ibu yang menyusukan bayi memerlukan 450μg folat sehari, tetapi anda mungkin perlu 500μg setiap hari, atau lebih. Sumber folat termasuklah:

Sayuran berdaun hijau
Bijirin penuh
Kacang pis dan kekacang
Avokado
Ekstrak yis

#3 Iodin
Iodin ialah mineral penting untuk penghasilan hormon tiroid untuk memastikan perkembangan otak dan sistem saraf. Ibu yang menyusukan bayi memerlukan 190μg iodin setiap hari, tetapi sesetengahnya perlu mengambil 270μg setiap hari.

Sumber baik iodin termasuklah:

Makanan laut
Susu
Sayuran

#4 Zink
Zink adalah penting untuk perkembangan sistem imun bayi. Ibu yang menyusukan bayi perlu 10mg zink setiap hari, tetapi sesetengah ibu memerlukan 12mg zink sehari, atau mungkin lebih. Sumber zink termasuklah:

Bijirin gandum penuh
Susu
Makanan laut
Sayur kacang, kekacang, dan produk soya

#5 Vitamin A
Vitamin A adalah penting untuk perkembangan normal anak dan membantu untuk melawan jangkitan. Ibu yang menyusukan bayi memerlukan purata 800μg vitamin A setiap hari, tetapi sesetengah ibu mungkin memerlukan sehingga 1,100μg setiap hari, atau lebih.

Sumber baik vitamin A termasuklah:

Susu
Keju
Telur
Spesies ikan berlemak
Sayuran berwarna oren-kekuningan
Buah-buahan seperti labu, mangga, aprikot
Sayuran seperti lobak merah, bayam, dan brokoli

#6 Vitamin B6
Vitamin B6 membantu proses metabolisma dan pembentukan sel darah merah. Ibu yang menyusukan bayi memerlukan purata 1.7mg sehari vitamin B6, tetapi anda juga mungkin perlu 2mg setiap hari atau lebih.

Sumber baik vitamin B6 termasuklah:

Daging organ dan otot
Ayam itik
Ikan
Bijirin penuh
Kubis Brussels
Kacang pis hijau
Sayur kacang
Kekal hidrat
Penyusuan boleh membuatkan ibu berasa amat dahaga. Jadi, anda perlu minum sekurang-kurangnya 700ml air setiap hari untuk menggantikan cecair yang hilang dari penyusuan.

Kekal mendapatkan cecair yang sihat seperti air kosong, susu, jus, dan mengelakkan alkohol. Minuman berkafein (teh, kopi, dan kola) boleh diambil, tetapi perlu dihadkan pengambilannya.

CC:hellodoktor

FAHAMI SEBAB MENGAPA SI IBU TAK DAPAT MENYUSUKAN ANAKNYA

Sebelum anda menyalahkan diri sendiri ataupun menghukum ibu-ibu lain di luar sana yang “gagal” menyusukan bayi secara eksklusif, semak dulu 4 faktor utama mengapa sesetengah wanita tidak boleh atau tidak sepatutnya memberikan penyusuan susu ibu kepada anak.

Antara faktor tersebut termasuklah:

1. Bekalan susu ibu rendah
Bekalan susu rendah boleh disebabkan keadaan kesihatan yang dialami ibu . Akan tetapi, jika keadaan kesihatan itu mendapat rawatan yang betul, sesetengahnya boleh pulih seperti sedia kala, dan penghasilan bekalan susu badan mencukupi.

Walau bagaimanapun, terdapat isu kesihatan yang tidak berupaya dipulihkan, contohnya seperti:

Hipoplasia payudara: Tisu kelenjar untuk menghasilkan susu pada payudara tidak mencukupi .
Sindrom ovari polisistik (PCOS): PCOS berkaitan dengan hormon .
Hipotiroidisme: Kelenjar tiroid kurang aktif lalu fungsi badan menjadi perlahan .
Pernah menjalani pembedahan payudara: Prosedur seperti mastektomi yang memotong saluran susu serta saraf pada payudara .
Rawatan terapi radiasi: Terapi kanser payudara yang boleh merosakkan tisu yang menghasilkan susu .

2. Pengambilan ubat-ubatan tertentu
Walaupun kebanyakan ubat sesuai diambil oleh ibu yang ingin menyusu badan, namun masih ada juga ubat-ubatan yang tidak sesuai . Bagi ubat-ubatan preskripsi tertentu, ia berisiko mendatangkan bahaya kepada bayi, bahkan, ada sesetengah ubat turut boleh mengakibatkan penurunan bekalan susu .

Beberapa jenis ubat yang tidak sesuai untuk ibu menyusukan bayi adalah ubat kemoterapi , ubat antiretroviral, iodin radioaktif, beberapa ubat penenang, ubat sawan serta ubat yang cenderung mewujudkan rasa mengantuk dan menekan pernafasan .

Ubat kemoterapi berbahaya bagi bayi yang menyusu kerana ia boleh mengganggu pembahagian sel normal dan sihat di dalam tubuh mereka . Selain itu, ubat yang boleh mengurangkan bekalan susu ibu pula termasuklah ubat selesema dan sinus dengan pseudoephedrine serta sesetengah pil kontraseptif hormon yang mengandungi estrogen .

3. Menghidap penyakit berjangkit
Kebanyakan penyakit berjangkit boleh dirawat tanpa menjejaskan penyusuan eksklusif atau membahayakan bayi . Pun begitu, terdapat beberapa penyakit berjangkit yang boleh menular kepada bayi melalui susu badan, contohnya seperti HIV.

Yang lebih membimbangkan adalah risiko penularannya jauh lebih tinggi berbanding manfaat penyusuan susu ibu itu sendiri  .

4. Mengalami tekanan persekitaran
Jangan terkejut jika tekanan berlebihan juga boleh jadi punca kemerosotan bekalan susu ibu! Ini khususnya terjadi pada beberapa minggu pertama selepas bersalin.

Tidak mendapat tidur yang mencukupi, kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan jadual bayi serta peningkatan kadar hormon tertentu seperti kortisol boleh mengurangkan bekalan susu badan secara dramatik.

CC:hellodoktor

BAYI SUSAH NAK MENYUSU SEBAB MASALAH PUTING RATA? IBU CUBA CARA INI BAGI NIPPLE TIMBUL

Walau apa pun keadaan puting payudara anda, perkara paling penting untuk semua bakal ibu atau ibu fahami adalah menyusukan bayi tentang breastfeed dan bukannya nipplefeed.

Maka keadaan puting susu bukanlah penghalang untuk proses penyusuan selagi si manja dapat memasukkan sebahagian besar payudara ke dalam mulut mereka.

Jika mulut dan gusi boleh menempel pada areola – penyusuan boleh berjalan seperti biasa.

Apa yang membezakan adalah sesetengah bayi mungkin dapat menghisap susu badan tanpa sebarang masalah.

Namun, ada juga yang memerlukan bantuan dan masa untuk membolehkan mereka menyusu sebaiknya.

5 cara bantu menyusukan bayi
Andai puncanya kerana keadaan puting susu anda, usah bimbang, ada cara yang boleh membantu.

#1. Rangsang puting payudara

Sesetengah puting rata boleh menonjol dengan lebih banyak jika diberikan sedikit rangsangan dan memberikan fokus kepada lekapan yang diperlukan untuk menyusukan bayi.

Sebelum penyusuan, cuba berikan rangsangan menggunakan jari dengan menggentel puting susu dan melakukan cubitan perlahan sekitar areola.

Melakukan tekapan sejuk untuk beberapa minit juga adalah kaedah untuk membuatkan puting menonjol keluar.

#2. Elakkan payudara bengkak

Puting boleh menjadi rata apabila payudara membengkak atau penuh susu. Dalam keadaan ini, flat nipple lebih mudah ‘hilang’.

Melakukan urutan tangan atau menggunakan mesin pengepam susu boleh membantu mengurangkan bengkak payudara agar bayi mudah melekap pada puting susu.

#3. Pam susu

Sebelum menyusu, anda boleh menggunakan pam susu untuk menarik keluar puting (walaupun payudara tidak bengkak).

#4. Membentuk payudara

Anda boleh melakukan tekanan menggunakan jari di belakang puting dengan membuat bentuk ‘V’ atau ‘C’.

Tujuannya adalah untuk membantu bayi melekap lebih dalam pada puting payudara dan boleh menyusu dengan baik.

#5. Nipple shield

Jika cara di atas tidak berjaya, mungkin anda boleh gunakan nipple shield.

Ia direka untuk membantu ibu menyusukan bayi yang sukar melekap dengan memberikan ruang yang lebih lembut dan mengekalkan lekapan semasa penyusuan.

Ada sesetengah ibu hanya perlu menggunakan alat ini untuk tempoh sementara kerana penggunaan kerap telah membantu membentuk puting susu.

Tetapi ada juga yang memakai nipple shield untuk waktu lebih lama.

Proses penyusuan sukar dilakukan
Sekiranya anda telah mencuba pelbagai cara, tetapi masih tidak berjaya, anda masih perlu menyusukan bayi, kan?

Cara terbaik, lakukan pengepaman eksklusif untuk bayi setiap kali tiba waktu penyusuan. Sekurang-kurangnya bayi masih memperolehi nutrisi daripada susu ibu walaupun menerusi botol susu.

Anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada pakar penyusuan untuk mengatasi masalah ini. Paling penting, jangan berputus asa ya, wahai ibu sekalian!

CC:hellodoktor

SUSU SUSAH KELUAR SEBAB PUTING TERSUMBAT? INI CARA ATASINYA

Gejala dan simptom saluran susu tersumbat
Apabila puting tersumbat, bahagian sekitar payudara akan keras dan menyakitkan. Ada kemungkinan untuk timbul kemerahan dan rasa hangat serta lembut apabila disentuh.

Ketika melakukan proses penyusuan anak pada bahagian yang tersumbat, si manja mungkin akan merengek dan terganggu kerana susu yang diperolehi adalah lambat dan dalam jumlah yang sedikit.

7 cara atasi saluran susu tersumbat
Proses penyusuan anak pasti akan terjejas jika masalah ini berlaku. Malahan tanpa rawatan, penyumbatan yang terjadi pada saluran susu boleh mengakibatkan jangkitan atau keadaan yang lebih kronik.

Jadi berikut adalah 7 langkah yang boleh anda cuba untuk melancarkan kembali aliran susu badan:

1.Mengosongkan payudara
Semasa menyusukan bayi, beri mereka bahagian payudara yang bermasalah terlebih dahulu. Jika ia terlalu menyakitkan, mungkin anda boleh berikan bahagian yang tidak terkesan.

Pastikan si manja menghisap dan mengosongkan susu pada payudara – caranya dengan tidak terlalu cepat menarik lekapan puting daripada mereka.

Jika bayi anda mungkin tidak dapat mengosongkan susu dengan baik, anda boleh mengepam susu sehingga kosong.

2.Longgarkan bra
Masalah penyumbatan pada saluran susu boleh disebabkan oleh tekanan luaran seperti pakaian atau coli yang ketat.

Jadi pastikan buah dada anda tidak terpenyek di sebalik bra yang dipakai. Mungkin buat sementara ini elakkan daripada memakai bra berdawai (underwire bra).

3.Menukar posisi
Mungkin teknik lekapan dan penyusuan terganggu disebabkan posisi yang tidak selesa kepada si kecil.

Menukar posisi penyusuan pastinya antara cara yang dapat membantu anda mengatasi masalah ini serta membolehkan setiap saluran susu dirangsang secara seimbang.

4.Mampatan panas
Untuk mengurangkan masalah saluran susu tersumbat, anda boleh cuba meletakkan kain yang direndam dengan air panas ke atas payudara yang terjejas. Amalkan cara ini sebelum proses menyusu dilakukan.

Taktik lain yang boleh dicuba adalah dengan mandi di bawah aliran air hangat dan membiarkan air terkena pada bahagian yang bermasalah.

5.Urutan
Mengurut payudara dengan saluran tersumbat sebelum dan semasa menyusu dapat membantu melancarkan aliran susu.

Anda juga boleh lakukan gerakan memusing (putaran) pada benjolan di payudara.

6.Bantuan si manja
Bergantung kepada tempat benjolan tersebut, anda turut boleh mengharapkan ‘urutan’ daripada dagu bayi ketika menyusu bagi mengurut dan mengurangkan benjolan itu.

7.Pemeriksaan doktor
Sekiranya benjolan semakin membesar dan berlanjutan beberapa hari sehingga menimbulkan ketidakselesaan, pertimbangkan untuk melakukan pemeriksaan dengan doktor.

Penyusuan seperti biasa
Jika anda terfikir untuk menghentikan sementara proses penyusuan anak disebabkan saluran puting susu tersumbat, ia bukanlah 1 idea yang baik.

Ini kerana walau apa pun, anda masih perlu untuk menyelesaikan masalah saluran tersumbat itu dan menyusu adalah 1 cara yang dapat membantu.

CC:hellodoktor

TERLUPA SUSUKAN ANAK GUNA PAYUDARA KANAN ATAU KIRI? GUNA 7 TIPS INI SEBAGAI PERINGATAN!

Menjadi seorang ibu merupakan perkara yang sukar. Kadangkala, kita jadi terlalu penat melayan kerenah anak setiap hari. Sudahlah letih, anak terjaga pula pada waktu malam minta disusukan. Tapi, terlupa pula payudara sebelah mana yang telah digunakan untuk menyusukan anak!

Jangan risau, perkara ini sebenarnya lazim berlaku kepada kaum ibu. Selalunya, ibu yang menyusukan anak pada sebelah kanan atau kiri pada satu-satu masa akan nampak perbezaan dari segi saiz payudara.

Ikuti 7 tip terbaik untuk ingat sebelah manakah yang anda gunakan pada kali terakhir menyusukan anak anda. Selepas ini, tak adalah terlupa lagi!

1. Gunakan pengikat rambut selepas menyusukan bayi.
Cara ini merupakan cara yang paling mudah, murah dan efektif. Letakkan getah rambut pada pergelangan tangan anda usai menyusukan anak.

Jika anak menyusu pada sebelah kanan, sarungkan pengikat rambut pada pergelangan tangan kanan anda. Dengan cara ini, anda tahu sebelah mana yang telah digunakan dan sebelah mana yang belum!

2. Gunakan klip untuk peringatan.
Kadangkala, penggunaan pengikat rambut tidak efektif kerana ibu masih berkemungkinan untuk menyusukan anak pada bahagian yang salah.

Jika penggunaan pengikat rambut tidak membantu, cuba gunakan klip atau pin dan sangkutkannya pada baju dalam.

Setelah habis menyusukan anak, letakkan pin atau klip sebagai penanda. Walau bagaimanapun, ibu mungkin tidak selesa menggunakan pin atau klip. Sebagai pengganti, cuba gunakan riben.

3. Simpan diari menyusukan bayi.
Untuk ibu yang suka melakukan aktiviti journaling untuk kekal tersusun setiap hari, anda boleh cuba menyimpan diari menyusu.

Catatkan waktu terakhir anak menyusu, tempoh masa susuan dan juga sebelah mana yang anda gunakan untuk susukan anak pada kali terakhir.

Dengan menggunakan diari yang sama, anda juga boleh catatkan perkembangan anak, tuliskan tarikh-tarikh penting dan simpan gambar kenang-kenangan.

4. Pakai cincin istimewa
Jika anda merupakan seorang yang gemar bergaya, cuba gunakan cincin sebagai satu cara peringatan.

Sama seperti penggunaan pengikat rambut dan pin, pakai cincin tersebut pada sebelah yang sama anda gunakan ketika menyusukan anak.

Dengan cara ini, anda tidak akan mudah terlupa sebelah manakah anda menyusukan anak sebentar tadi.

5. Tinggalkan pelekat pada tempat menyusu anak
Anda ada tempat istimewa yang anda selalu gunakan untuk menyusukan anak? Selepas ini, cuba tinggalkan nota berdekatan kawasan tersebut.

Selain nota, anda juga boleh gunakan bantal peluk atau selimut bayi dan tinggalkannya pada sebelah kanan atau kiri kerusi untuk mengingatkan anda!

6. Gunakan bantal kesayangan anda
Anda mempunyai bantal istimewa yang digunakan untuk bersandar ketika menyusukan anak? Cuba gunakannya sebagai penanda untuk mengingatkan anda pada masa hadapan.

Sama seperti penggunaan getah rambut, klip dan cincin, ibu juga boleh gunakan bantal ini sebagai satu cara untuk ingat sebelah mana yang telah digunakan untuk menyusukan anak.

7. Cara terbaik, gunakan aplikasi menyusukan bayi!
Jika semua cara di atas tidak berkesan, pasti ada jalan penyelesaian menggunakan kawan baik manusia iaitu teknologi.

Cuba cari aplikasi menyusukan anak pada telefon pintar anda, pasti anda terkejut melihat betapa banyaknya pilihan yang ada.

Malah, aplikasi ini juga selalunya dilengkapi pelbagai kemudahan lain yang boleh memudahkan hidup ibu yang menyusukan anak.

Kesimpulan
Memilih untuk menyusukan anak merupakan keputusan yang terbaik untuk ibu dan anak.

Susu ibu mempunyai pelbagai khasiat yang lengkap untuk bayi anda. Malah, pemberian susu ibu juga dapat membantu anak kekal sihat dan menjauhkannya daripada penyakit.

Jika anda mempunyai masalah ketika menyusukan bayi, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.

Doktor boleh membantu anda dari segi kesihatan bayi dan juga memberikan nasihat berkenaan cara menyusukan bayi yang terbaik. Tetapi, ibu-ibu janganlah pula malu untuk minta nasihat doktor. Mereka sentiasa ada untuk membantu.

CC:hellodoktor