Menjadi seorang ibu merupakan perkara yang sukar. Kadangkala, kita jadi terlalu penat melayan kerenah anak setiap hari. Sudahlah letih, anak terjaga pula pada waktu malam minta disusukan. Tapi, terlupa pula payudara sebelah mana yang telah digunakan untuk menyusukan anak!

Jangan risau, perkara ini sebenarnya lazim berlaku kepada kaum ibu. Selalunya, ibu yang menyusukan anak pada sebelah kanan atau kiri pada satu-satu masa akan nampak perbezaan dari segi saiz payudara.

Ikuti 7 tip terbaik untuk ingat sebelah manakah yang anda gunakan pada kali terakhir menyusukan anak anda. Selepas ini, tak adalah terlupa lagi!

1. Gunakan pengikat rambut selepas menyusukan bayi.
Cara ini merupakan cara yang paling mudah, murah dan efektif. Letakkan getah rambut pada pergelangan tangan anda usai menyusukan anak.

Jika anak menyusu pada sebelah kanan, sarungkan pengikat rambut pada pergelangan tangan kanan anda. Dengan cara ini, anda tahu sebelah mana yang telah digunakan dan sebelah mana yang belum!

2. Gunakan klip untuk peringatan.
Kadangkala, penggunaan pengikat rambut tidak efektif kerana ibu masih berkemungkinan untuk menyusukan anak pada bahagian yang salah.

Jika penggunaan pengikat rambut tidak membantu, cuba gunakan klip atau pin dan sangkutkannya pada baju dalam.

Setelah habis menyusukan anak, letakkan pin atau klip sebagai penanda. Walau bagaimanapun, ibu mungkin tidak selesa menggunakan pin atau klip. Sebagai pengganti, cuba gunakan riben.

3. Simpan diari menyusukan bayi.
Untuk ibu yang suka melakukan aktiviti journaling untuk kekal tersusun setiap hari, anda boleh cuba menyimpan diari menyusu.

Catatkan waktu terakhir anak menyusu, tempoh masa susuan dan juga sebelah mana yang anda gunakan untuk susukan anak pada kali terakhir.

Dengan menggunakan diari yang sama, anda juga boleh catatkan perkembangan anak, tuliskan tarikh-tarikh penting dan simpan gambar kenang-kenangan.

4. Pakai cincin istimewa
Jika anda merupakan seorang yang gemar bergaya, cuba gunakan cincin sebagai satu cara peringatan.

Sama seperti penggunaan pengikat rambut dan pin, pakai cincin tersebut pada sebelah yang sama anda gunakan ketika menyusukan anak.

Dengan cara ini, anda tidak akan mudah terlupa sebelah manakah anda menyusukan anak sebentar tadi.

5. Tinggalkan pelekat pada tempat menyusu anak
Anda ada tempat istimewa yang anda selalu gunakan untuk menyusukan anak? Selepas ini, cuba tinggalkan nota berdekatan kawasan tersebut.

Selain nota, anda juga boleh gunakan bantal peluk atau selimut bayi dan tinggalkannya pada sebelah kanan atau kiri kerusi untuk mengingatkan anda!

6. Gunakan bantal kesayangan anda
Anda mempunyai bantal istimewa yang digunakan untuk bersandar ketika menyusukan anak? Cuba gunakannya sebagai penanda untuk mengingatkan anda pada masa hadapan.

Sama seperti penggunaan getah rambut, klip dan cincin, ibu juga boleh gunakan bantal ini sebagai satu cara untuk ingat sebelah mana yang telah digunakan untuk menyusukan anak.

7. Cara terbaik, gunakan aplikasi menyusukan bayi!
Jika semua cara di atas tidak berkesan, pasti ada jalan penyelesaian menggunakan kawan baik manusia iaitu teknologi.

Cuba cari aplikasi menyusukan anak pada telefon pintar anda, pasti anda terkejut melihat betapa banyaknya pilihan yang ada.

Malah, aplikasi ini juga selalunya dilengkapi pelbagai kemudahan lain yang boleh memudahkan hidup ibu yang menyusukan anak.

Kesimpulan
Memilih untuk menyusukan anak merupakan keputusan yang terbaik untuk ibu dan anak.

Susu ibu mempunyai pelbagai khasiat yang lengkap untuk bayi anda. Malah, pemberian susu ibu juga dapat membantu anak kekal sihat dan menjauhkannya daripada penyakit.

Jika anda mempunyai masalah ketika menyusukan bayi, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.

Doktor boleh membantu anda dari segi kesihatan bayi dan juga memberikan nasihat berkenaan cara menyusukan bayi yang terbaik. Tetapi, ibu-ibu janganlah pula malu untuk minta nasihat doktor. Mereka sentiasa ada untuk membantu.

CC:hellodoktor