Walau apa pun keadaan puting payudara anda, perkara paling penting untuk semua bakal ibu atau ibu fahami adalah menyusukan bayi tentang breastfeed dan bukannya nipplefeed.

Maka keadaan puting susu bukanlah penghalang untuk proses penyusuan selagi si manja dapat memasukkan sebahagian besar payudara ke dalam mulut mereka.

Jika mulut dan gusi boleh menempel pada areola – penyusuan boleh berjalan seperti biasa.

Apa yang membezakan adalah sesetengah bayi mungkin dapat menghisap susu badan tanpa sebarang masalah.

Namun, ada juga yang memerlukan bantuan dan masa untuk membolehkan mereka menyusu sebaiknya.

5 cara bantu menyusukan bayi
Andai puncanya kerana keadaan puting susu anda, usah bimbang, ada cara yang boleh membantu.

#1. Rangsang puting payudara

Sesetengah puting rata boleh menonjol dengan lebih banyak jika diberikan sedikit rangsangan dan memberikan fokus kepada lekapan yang diperlukan untuk menyusukan bayi.

Sebelum penyusuan, cuba berikan rangsangan menggunakan jari dengan menggentel puting susu dan melakukan cubitan perlahan sekitar areola.

Melakukan tekapan sejuk untuk beberapa minit juga adalah kaedah untuk membuatkan puting menonjol keluar.

#2. Elakkan payudara bengkak

Puting boleh menjadi rata apabila payudara membengkak atau penuh susu. Dalam keadaan ini, flat nipple lebih mudah ‘hilang’.

Melakukan urutan tangan atau menggunakan mesin pengepam susu boleh membantu mengurangkan bengkak payudara agar bayi mudah melekap pada puting susu.

#3. Pam susu

Sebelum menyusu, anda boleh menggunakan pam susu untuk menarik keluar puting (walaupun payudara tidak bengkak).

#4. Membentuk payudara

Anda boleh melakukan tekanan menggunakan jari di belakang puting dengan membuat bentuk ‘V’ atau ‘C’.

Tujuannya adalah untuk membantu bayi melekap lebih dalam pada puting payudara dan boleh menyusu dengan baik.

#5. Nipple shield

Jika cara di atas tidak berjaya, mungkin anda boleh gunakan nipple shield.

Ia direka untuk membantu ibu menyusukan bayi yang sukar melekap dengan memberikan ruang yang lebih lembut dan mengekalkan lekapan semasa penyusuan.

Ada sesetengah ibu hanya perlu menggunakan alat ini untuk tempoh sementara kerana penggunaan kerap telah membantu membentuk puting susu.

Tetapi ada juga yang memakai nipple shield untuk waktu lebih lama.

Proses penyusuan sukar dilakukan
Sekiranya anda telah mencuba pelbagai cara, tetapi masih tidak berjaya, anda masih perlu menyusukan bayi, kan?

Cara terbaik, lakukan pengepaman eksklusif untuk bayi setiap kali tiba waktu penyusuan. Sekurang-kurangnya bayi masih memperolehi nutrisi daripada susu ibu walaupun menerusi botol susu.

Anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada pakar penyusuan untuk mengatasi masalah ini. Paling penting, jangan berputus asa ya, wahai ibu sekalian!

CC:hellodoktor