BAYI TIDAK MAHU MENYUSU BADAN

Bayi tidak mahu menyusu badan? Adakah ibu-ibu sedang merasakan perkara sebegini? Berbagai perasaan yang ibu mula rasakan. Ada yang mula panik dan risau dan tidak kurang juga ada yang mula merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Manakan tidak, tidak ke si ibu berasa hairan bila anaknya elok sahaja menyusu badan. Tetapi lama kelamaan, anak mula menolak puting untuk menyusu badan. Pastilah si ibu berasa takut bila anda tidak mahu menyusu badan secara tiba-tiba kerana takutkan anak berasa lapar atau ada perkara yang anak cuba sampaikan tetapi ibu tidak mengetahui mengapa agaknya dengan anak mereka.

Daripada si ibu berteka teki, lebih baiklah jika ibu mengetahui punca sebenar kenapa bayi tidak mahu menyusu badan. Mungkin juga ibu mempunyai sangkaan yang ibu sendiri yang bermasalah sampaikan anak tidak mahu menyusu badan.

Jangan khuatir para ibu, ini antara punca-puncanya.

PUNCA BAYI TIDAK MAHU MENYUSU BADAN

Bayi yang tidak mahu menyusu badan seringkali dikaitkan dengan breast-feeding strike atau dalam erti kata lain mogok. Mungkin bayi ada beberapa perkara yang mereka ingin beritahu, jadi inilah caranya untuk anak anda memberitahu anda.

1. BAYI BERASA TIDAK SELESA ATAU SAKIT

Kalau bila bayi menyusu badan dan dia mula tolak, besar kemungkinan anak anda sedang nak tumbuh gigi atau mungkin selsema. Perkara-perkara ini menyebabkan ketidakselesaan mula berlaku. Dengan ini bayi akan menjadi tidak selesa ketika hendak menyusu badan.

2. BAGI BANYAK SUSU FORMULA

Apabila si ibu terlalu banyak beri susu formula, anak akan berasa kenyang dengan susu formula. Sampaikan anak anda langsung tidak mahu menyusu badan. Lagi satu, kalau anda terlalu memberikan anak anda puting bayi atau pacifier pun anak anda akan lagilah tidak mahu menyusu badan dan tidak mahu terima susu ibu.

3. PERUBAHAN PADA BAU DAN RASA

Anak anda boleh mengesan perubahan tau jika rasa susu badan ibu berubah ataupun dari segi bau badan ibu. Jika si ibu memakan makanan yang berbeza, atau sedang datang haid, atau sedang mengambil ubat. Ia akan menyebabkan bayi tidak mahu menyusu badan. Bau juga boleh mempengaruhi bayi. Perubahan pada bau si ibu seperti bau minyak wangi, bau sabun badan atau deodoran yang berlainan pun boleh buatkan bayi tidak mahu menyusu badan.

4. HIDUNG TERSUMBAT

Jika bayi mengalami demam selsema atau hidung berair yang menyebabkan bayi mendapat hidung tersumbat, alamatnya memang susahlah anak anda nak menyusu sebab sukar nak bernafas.

5. STRESS ATAU GANGGUAN

Bayi pun boleh mendapat stress sebenarnya. Apatah lagi apabila melibatkan ibu jika ibu berjauhan dengannya begitu lama, atau lambat beri susu. Jika tempat anda menyusu mempunyai banyak gangguan seperti bunyi bising, ia turut boleh mengganggu bayi.

Adakah ia sesuatu yang normal?

Ibu-ibu, bayi tidak mahu menyusu badan ini sememangnya normal dan biasa berlaku dalam kalangan bayi. Mudah untuk si ibu berasa risau atau menyangkakan bahawa si anak sudah mahu bercerai susu dengan ibu. Ini perlulah ibu-ibu semak terlebih dahulu punca. Jangan terus buat sangkaan sahaja.

Malah, disebabkan takut anak berasa lapar, terus ibu-ibu berikan botol susu tanpa henti kerana menyangkakan yang anak tidak mahu susu badan terus.

Harus diingatkan kepada ibu-ibu bahawa bayi tidak mahu menyusu badan ini atau breast-feeding strike adalah merupakan satu perkara yang bersifat sementara. Anak anda masih boleh menyusu badan jika anda lakukan beberapa perkara ini.

Apa yang si ibu patut lakukan jika bayi enggan menyusu?

1. PAM SUSU BADAN

Jika anak anda tidak mahu menyusu dengan menggunakan badan, anda masih boleh memberikan anak anda susu badan dengan cara lain seperti memberi anak minum dengan menggunakan sudu atau botol.

2. TUKAR POSISI ATAU BERSIHKAN HIDUNG BAYI

Kalau anak anda tidak selesa semasa menyusu badan, anda boleh tukar posisi anak anda menyusu. Selain itu, jika hidung bayi anda tersumbat, anda boleh bersihkan hidung anak terlebih dahulu.

3. JANGAN BERPUTUS ASA

Anak anda tidak mahukan susu badan? Jangan putus asa, berikan susu badan pada masa anak anda tenang atau waktu anak anda sudah mula mengantuk.

4. HILANGKAN GANGGUAN

Beri anak menyusu badan di tempat yang tidak mempunyai gangguan.

5. FOKUS PADA IBU

Adakah ibu mengambil ubat atau apa sahaja yang menyebabkan bayi hilang minat untuk menyusu badan? Jika ya, ibu kena fokus pada diri ibu dulu. Jika bayi anda masih enggan menyusu pada waktu yang lama, atau lampin anak anda tidak basah seperti selalu, anda boleh berjumpa doktor.

TANDA-TANDA JANGKITAN TALI PUSAT PADA BAYI BARU LAHIR

Jangkitan tali pusat terjadi di pusat dan kulit di sekelilingnya pada bayi yang baru lahir. Jangkitan ini disebabkan oleh kuman-kuman disekeliling tali pusat dan boleh berlaku sebelum atau selepas tali pusat tertanggal. Ibu bapa perlu mengetahui tanda-tanda jangkitan tali pusat kerana jangkitan ini boleh memasuki salur darah bayi dan menyebabkan komplikasi yang lebih teruk seperti jangkitan kuman dalam darah (sepsis).

1. TANDA- TANDA

  • Kulit sekeliling pusat menjadi merah. 
  • Pusat berbau busuk. 
  • Pusat bernanah. 

2. TINDAKAN IBU BAPA

  • Basuh pusat dengan air bersih dan keringkan dengan menggunakan kapas atau kain bersih. 
  • Sapukan swab alkohol (boleh dibeli daripada farmasi) dua kali sehari untuk mengeringkan pusat. 
  • Pastikan lampin anak tidak terkena atas pusat.

3. RUJUKAN KEPADA DOKTOR PERLU APABILA

  • Bayi demam. 
  • Kulit sekeliling pusat bayi merah. 
  • Bayi enggan menyusu, kelihatan tidak bermaya, dan muntah-muntah. 

4. RAWATAN

Ubat antibiotik mungkin perlu diberi jika kawasan kulit di sekeliling pusat kelihatan merah.

KEBAIKAN MANDIAN HERBA SELEPAS BERSALIN

Berdasarkan amalan berpantang masyarakat Melayu, wanita selepas bersalin tidak digalakkan untuk mandi secara kerap. Malah, air mandian juga tidak boleh terlalu sejuk kerana dibimbangi boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya.

Oleh sebab itulah, anda yang mengamalkan pantang tradisional Melayu, digalakkan untuk mandi menggunakan air mandian herba pada waktu pagi. Dalam pada itu, had masa mandian adalah sekitar 10 hingga 15 minit.

Mandian herba ibu bersalin ini merupakan rebusan daripada bahan-bahan rempah ratus dan daun-daun herba terpilih yang mudah didapati seperti daun lengkuas, daun mengkudu, daun pandan, daun sirih, daun halia, daun inai, daun kunyit, daun limau purut, serai, limau purut dan juga sedikit campuran halba dan kulit kayu manis.

Semua campuran ini boleh dimasukkan ke dalam periuk atau dibunjut dan diikat di dalam secebis kain. Anda juga boleh mengisinya ke dalam kantung kain yang dijahit kemas. Daun-daun dan herba-herba semula jadi ini mampu memberi impak kesegaran dan pemulihan kepada ibu berpantang. Mari kita ketahui kebaikan mandian herba kepada ibu lepas bersalin ataupun wanita-wanita biasa.

1. MENYEGARKAN BADAN

Mandian herba berfungsi sebagai aromaterapi. Ia mampu memberi ketenangan dan kesegaran kepada anda yang sudah pasti masih dalam keadaan lemah dan lesu kerana tenaga banyak dihabiskan semasa proses kelahiran. Mandian ini secara tidak langsung turut menjadi membantu and menghilangkan tekanan akibat kurang tidur kerana menjaga bayi di waktu malam.

2. MENGELAK DAN MEMBUANG ANGIN

Penggunaan daun dan herba sebagai ramuan mandian herba mampu menyahkan angin di dalam badan.

3. MELANCARKAN PENGALIRAN DARAH DAN MELANCARKAN SUSU IBU

Amalan mandi air rebusan herba ini dilakukan selepas proses berurut dan bertuam seluruh badan. Secara tidak langsung amalan ini merupakan penutup kepada proses untuk melancarkan pengaliran darah ibu-ibu berpantang melalui resapan air ke setiap liang roma. Apabila darah lancar, anda memperoleh kesegaran daripada mandian itu. Pada masa yang sama hormon oksitosin meningkat dan sekaligus pengeluaran susu ibu menjadi lancar.

4. MENGATASI BAU BADAN

Sesetengah ibu hamil mengalami bau badan yang agak kurang menyenangkan akibat perubahan hormon. Kadang-kadang ia akan berpanjangan selepas kelahiran disebabkan halangan pemasangan kipas atau penyaman udara ketika proses berpantang. Mandian herba mampu memberikan aroma wangi yang segar daripada bau-bauan semula jadi daripada daun dan herba terpilih.

5. MERINGANKAN KETEGANGAN URAT SARAF DAN OTOT BADAN

Sememangnya otot-otot dan urat-urat dalam tubuh badan anda mengalami ketegangan. Ia harus dipulihkan sepanjang tempoh berpantang. Dengan mengamalkan mandian herba, ia mampu mengembalikan tenaga dan meringankan  ketegangan urat yang dialami.

CARA PENJAGAAN TALI PUSAT BAYI BARU LAHIR

Tali pusat bayi memainkan peranan yang sangat penting sewaktu bayi di dalam kandungan. Tali pusat mula terbentuk pada usia janin lebih kurang 5 minggu. Tali pusat ini bersambung dengan ‘placenta’ atau uri dan menyalurkan darah yang kaya dengan nutrisi dan oksigen yang diperlukan oleh janin untuk terus hidup dan berkembang di dalam rahim si ibu.

Darah yang telah ternyah-oksigen daripada bayi juga ‘dikembalikan’ kepada uri melalui tali pusat. Jadi tali pusat bolehlah dianggap seperti ‘talian hayat’ bagi bayi.

Setelah bayi dilahirkan, tali pusat yang bersambung dengan uri akan disepit menggunakan ‘cord clamp’ bagi mengelakkan darah daripada uri terus disalurkan kepada bayi.

Jika tidak, ada kemungkinan terlalu banyak darah akan tersalur ke dalam sistem peredaran darah bayi yang boleh membawa pelbagai komplikasi. Tali pusat kemudiannya digunting supaya terpisah daripada uri. Bayi tidak merasa sakit sewaktu tali pusat ini digunting kerana tiada sistem saraf atau deria rasa pada tali pusat.

1. SENTIASA BERSIH

Bersihkan bahagian pusat setiap kali selepas mandi atau menukar lampin. Dengan cara ini, anda akan membantu mengeringkan bahagian dasarnya dan mempercepatkan proses tali pusat luruh.

2. KAPAS BERSIH

Sentiasa menggunakan kapas yang bersih dan dibasahkan sedikit dengan air bersih atau cecair dibekalkan hospital/klinik apabila hendak membersihkan kawasan sekeliling pusat bayi.

3. PASTIKAN KERING

Selepas membersihkan pusat, ambil sebiji lagi kapas dan sapu kering di bahagian sekeliling pusat yang dibersihkan tadi.

4. JANGAN TUTUP

Elakkan memakai lampin sehingga menutup bahagian pusat bayi yang belum luruh kerana ia akan menyebabkan pusat menjadi lembap dan meningkatkan risiko jangkitan kuman. Kawasan tersebut perlu sentiasa kering dan bersih sepanjang masa.

5. JANGAN RENDAM DALAM AIR

Oleh kerana tali pusat mengambil masa seminggu lebih untuk luruh maka sepanjang tempoh tersebut, anda mesti mengelakkan daripada memandikan bayi dengan cara merendam keseluruhan badannya di dalam air. Gunakan kaedah mengelap atau mengalirkan air sahaja supaya air tidak masuk ke dalam bahagian pusat bayi.

6. PASTIKAN PAMPERS DITUKAR SEGERA 

Pastikan pampers ditukar segera apabila lembab atau anak membuang air. Dikhuatiri najis akan terkena tali pusat dan mencemarkannya. Jangan tarik tali pusat bila tali pusat tu hampir tertanggal, boleh menyebabkan pendarahan pada tali pusat. Biarkan tali pusat jatuh sendiri. Jangan sapu minyak gamat atau apa jenis minyak sapu selain dibekalkan hospital. Jangan sapu bedak atau losyen di kawasan tali pusat. Bedak tidak membantu mengeringkan tali pusat.

7. TANDA JANGKITAN

Perhatikan tanda jangkitan pada tali pusat bayi seperti:

– Bayi demam tinggi
– Kemerahan
– Nanah keluar dari tali pusat
– Bengkak luar biasa sekitar tali pusat.
– Bau yang kurang enak pada tali pusat dan sekitar pusat.

Jangkitan pada tali pusat boleh membahayakan nyawa bayi jika lewat dirawat kerana kuman dikhuatiri akan menjangkit ke organ sekitar dan merebak hingga ke dalam salur darah. Segera ke klinik kesihatan terdekat jika terdapat tanda seperti tersebut bukannya upload dalam mana-mana group untuk bertanya-tanya.

KHASIAT MEMAKAI TAPEL, PARAM DAN PILIS KETIKA BERPANTANG

Tapel, param dan pilis adalah antara perawatan wajib yang akan dilakukan oleh wanita berpantang sejak turun-temurun. Walaupun cara penggunaan dan peknya telah dimodenkan, sehingga kini amalan penggunaannya masih tetap diamalkan. Ini kerana, ketiga-tiga amalan ini dapat memberi manfaat kesihatan yang amat baik bagi ibu yang baru melahirkan.

Antara kelebihan mengamalkan tapel, param dan pilis semasa berpantang ialah:

1. TAPEL

Tapel adalah sapuan yang dipakai pada perut sebelum mengenakan bengkung. Bahan yang selalu digunakan dalam ramuan tapel adalah tepung beras, kapur sirih, air limau nipis, kencur, dan kayu manis. Tapel selamat digunakan oleh ibu yang bersalin secara normal. Jika ibu menjalani pembedahan Caesarean, pastikan luka pada perut telah diyakini kering dan tidak bermasalah. Sekurang-kurangnya, tunggu 2 minggu dan dapatkan nasihat doktor sebelum memakainya.

Banyak kelebihan menggunakan tapel pada perut, antaranya:

  • Mengurangkan rasa sakit-sakit di perut serta memulihkan keadaan luaran perut akibat selulit / stretch mark
  • Membantu proses pembakaran lemak bawah kulit dan mengempiskan perut
  • Menghangatkan perut dan membuang ‘angin’ serta darah kotor yang berada di dalamnya
  • Menegangkan kulit perut yang menggeleber

2. PARAM

Param adalah sejenis rawatan sapuan pada seluruh badan, kecuali daerah payudara dan perut. Antara tujuan memakai param adalah untuk mengatasi pembengkakan yang dialami oleh ibu yang baru melahirkan. Ia boleh digunakan selepas mandi, sebanyak dua kali sehari selama 40 hari setelah melahirkan. Pada asasnya, param terdiri daripada beras yang direndam dan dicampur dengan bahan-bahan seperti kencur, sirih, halia, cendana, bawang putih, kunyit, kulit limau purut, dan beberapa jenis herba lagi.

Antara khasiat param adalah:

  • Membantu melancarkan peredaran darah
  • Mengelakkan ‘angin’ masuk ke dalam badan
  • Memberi kehangatan kepada tubuh
  • Memberikan kesegaran
  • Menjaga kecantikan luaran kulit

3. PILIS

Pilis pula adalah campuran herba yang khusus untuk disapukan pada dahi. Bahan asasnya adalah tepung beras yang dicampurkan dengan ramuan herba seperti kencur, kunyit, kenanga, daun pudina, halba, kapur sirih, air limau nipis dan sebagainya. Seperti param, pilis juga seeloknya digunakan selepas mandi, dua kali sehari, sehingga hari ke-40 berpantang.

Antara kebaikan memakai pilis untuk ibu berpantang adalah:

  • Meredakan pening kepala
  • Melancarkan peredaran darah
  • Menyegarkan mata dan memberi keselesaan pada ubun
  • Mengurangkan rasa pitam / ‘gelap mata’ / pandangan kabur. Ini biasanya dialami oleh wanita yang mengalami tekanan darah tinggi
  • Mengelak ‘angin’ yang boleh menyebabkan tekanan emosi

 CC: PantangPlus

 

MANFAAT LULUR KETIKA BERPANTANG

“Tadi Mak pesan kalau mandi guna lulur. Macam mana nak guna ya? Apa kebaikan lulur ni sebenarnya?”

Lulur atau skrub adalah bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama kulit-kulit mati akan turut tertanggal. Dengan tertanggalnya kulit-kulit mati yang kusam, kita akan berasa lebih segar dan terlihat lebih cerah. Lulur sebenarnya bukanlah terhad untuk wanita berpantang saja, tetapi boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Namun, ia cukup banyak manfaatnya bagi wanita bersalin.

Berikut adalah kebaikan lulur untuk wanita selepas bersalin:

1. MEMBERI KESEGARAN

Antara kebaikan lulur adalah membantu pori-pori kulit untuk mendapatkan rangsangan positif. Dengan ini, kulit dapat bernafas hingga ke lapisan kulit terdalam. Selepas bersalin, kita cenderung berasa letih, kusam, dan tidak selesa. Maka, melulur badan menjadikan badan terasa ringan dan lebih bertenaga. Selain wanita bersalin, lulur juga sesuai bagi wanita yang lasak dan sering mengendalikan kerja di luar pejabat. Lakukan lulur beberapa kali dalam sebulan agar kulit terasa lebih segar dan bermaya.

2. AWET MUDA

Seperti yang kita tahu, fungsi utama lulur adalah membantu pengelupasan kulit mati. Kulit baru yang lebih anjal dan sihat akan menjadikan penampilan kita tampak lebih awet muda. Maka, tidak hairanlah lulur ini telah diamalkan oleh golongan atasan sejak berzaman lamanya. Jadi, teruskanlah amalan berlulur ini walaupun selepas tamat tempoh berpantang nanti.

3. MENCERAHKAN KULIT

Sesetengah wanita mengalami banyak masalah kulit seperti ketiak hitam akibat perubahan hormon. Seiring dengan proses terhasilnya sel kulit yang baru, daki-daki akan menghilang dan khasiat bahan lulur yang digunakan juga akan diserap oleh tubuh. Secara tidak langsung, khasiat semulajadi daripada bahan-bahan tersebut membantu tubuh bertambah cerah dan mendapat tona yang sekata. Bahkan, tampak lebih berseri setiap hari.

4. MENJADIKAN OTOT BADAN LEBIH RELAKS

Kebaikan lulur yang seterusnya adalah terhadap psikologi – di mana aroma semulajadi yang digunakan mampu merangsang suasana yang tenang dan relaks. Dalam tempoh berpantang, mandi lulur dapat bertindak sebagai urutan dan gosokan lembut pada tubuh yang akan membuatkan otot badan menjadi lebih relaks.

5. KULIT LEBIH GEBU DAN MULUS

Akibat perubahan hormon, kulit wanita terasa kering, kasar dan kusam. Hal ini boleh berlarutan sehinggalah beberapa bulan selepas tempoh bersalin. Dengan mandi lulur, bahagian kulit yang tidak sihat boleh digantikan dengan kulit baru. Selepas berpantang juga, amalan mandi lulur ini sebaiknya diteruskan. Apabila dimakan usia, kulit akan mula kendur dan berkedut. Penggunaan lulur secara rutin setiap dua kali seminggu dapat menghindarkan masalah ini.

CC: PantangPlus

RISIKO MINUM AIR KOPI KETIKA MENGANDUNG

Hirup air kopi panas memang cukup nikmat dan memberikan kesan yang menenangkan. Tambah-tambah lagi di rumah anda memiliki pelbagai jenis jenama kopi yang enak dan sedap. Namun adakah bahaya minum kopi ketika mengandung?

Bayi dalam perut pun menendang tanda suka. Bahkan minum kopi membangkitkan semangat untuk bekerja dan menambah tenaga di waktu pagi dari mengantuk.

Menurut seorang doktor, Benny Johan, beliau mengatakan kandungan kafein yang terdapat dalam kopi boleh membahayakan kandungan sekiranya ibu minum kopi ketika mengandung dengan terlalu kerap.

“Kandungan kafein dalam kopi amat tinggi. Bahaya minum kopi ketika mengandung boleh membuatkan wanita hamil itu muntah dan mual dengan teruk. Oleh sebab itu, pakar akan meminta ibu yang suka minum kopi ketika mengandung agar mengurangkan pengambilannya kepada satu cawan kopi sehari atau menjarakkan pengambilan kopi seperti seminggu sekali.”

Menurut doktor ini lagi, pakar kesihatan tidak melarang ibu minum kopi ketika mengandung tetapi ia perlu dikurangkan saja, seperti dua sudu serbuk kopi setiap kali bancuhan dengan tambahan sedikit gula pemanis.

Walau bagaimanapun, teh dibolehkan kerana kandungan kafein dalam teh sedikit rendah berbanding kopi. Asalkan ia tidak berlebih-lebihan hingga menyebabkan penyakit lain wujud semasa anda sedang hamil.

1. Insomnia: Mula rasa tak boleh tidur. Ada saja benda yang berlegar-legar di fikiran.

2. Gangguan pencernaan: Kekadang bila banyak sangat minum kopi ketika mengandung, ia boleh ganggu sistem pencernaan, macam sembelit.

3. Tekanan darah tinggi: Bila minum kopi ketika mengandung, anda yang sebelum ini tak ada tekanan darah tinggi pun tiba-tiba boleh dapat penyakit ini. Tambahan pula tengah mengandung senang nak dapat darah tinggi. Jadi cubalah kontrol minum kopi. Ok?

4. Migrain: Bila minum kopi ketika mengandung terlalu banyak, ia menyebabkan anda migrain atau sakit kepala.

5. Anemia: Menyebabkan komplikasi sepanjang kehamilan, di mana, ibu hamil akan alami kurang zat besi.

6. Keguguran: Menurut kajian yang dilakukan oleh American Journal of Obstetric and Gynaecology mendapati bahawa wanita yang hamil mengambil 200mg atau lebih berisiko berdepan keguguran dua kali ganda berbanding dengan wanita hamil yang tidak mengambil kafein.

7. Kecacatan pada bayi: Banyak kajian menunjukkan bahaya minum kopi ketika mengandung secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan masalah kecacatan pada bayi yang dilahirkan, kelahiran pramatang dan risiko melahirkan anak yang mempunyai berat kurang 2.5kg.

Menurut penjelasan oleh Dr. Zubaidi, semua wanita mengandung sebenarnya tidak digalakkan minum air kopi ketika hamil. Namun ia dibenarkan jika diambil dalam kuantiti yang sederhana. Hal ini kerana kafein yang terdapat dalam air kopi boleh menjadi satu bahan perangsang dan diuretik (penyebab mudah rasa mahu kencing kerana pundi kencing cepat penuh).

Kesan sebegini boleh meningkatkan tekanan darah, kadar degupan jantung dan jika ibu kerap membuang air kecil, akhirnya berlaku kekurangan cecair dalam badan serta menyebabkan dehidrasi. Manakala kafein yang melintas masuk ke dalam uri boleh memberi kesan kepada corak tidur dan pergerakan bayi dalam rahim. Ini sekaligus menyebabkan janin akan terus terjaga.

Untuk pengetahuan ibu, air kopi bukanlah satu-satunya sumber kafein. Minuman lain seperti coklat, teh, soda dan beberapa ubat yang dibeli di farmasi bagi melegakan masalah sakit kepala juga mungkin mengandungi kafein. Walaupun masih belum ada kajian yang lebih sahih mengenai hal ini, saya lebih suka menasihati pesakit agar mengelakkan pengambilan kafein ketika mereka sedang mengandung.

CC: TheAsianParent.

TIPS SENDAWAKAN BAYI

Selalu kalau selepas menyusukan si manja, ibu ada cuba sendawakan bayi tak? Jika tidak, ini cara mudah sendawakan bayi yang boleh dicuba. Percayalah, pasti mereka takkan meragam.

Bahagian penting dalam sesi penyusuan adalah untuk membuatkan bayi sendawa. Ini kerana ia bantu menyingkirkan sebahagian udara yang cenderung tertelan oleh bayi semasa menyusu. Bayi yang tidak disendawakan dan menelan udara terlalu banyak sering kali akan terjeluak atau memuntahkan kembali susu. Mereka juga sering meragam disebabkan ketidakselesaan yang dialami kesan kembung perut dan berangin. Sebab itulah penting untuk ibu ayah mengetahui cara mudah sendawakan bayi.

Sendawa adalah penting untuk dilakukan kepada bayi tidak kira pada siang atau malam hari. Adakalanya si manja mungkin terlelap ketika penyusuan, namun itu bukan bermakna anda tidak perlu sendawakan mereka. Bayi yang sudah dibantu untuk bersendawa dikatakan akan mendapat tidur dengan lebih lena. Tidak dinafikan, apabila si kecil tertidur semasa menyusu, ibu akan berasa serba salah. Risau seandainya pergerakan ketika cuba menyendawakan bayi akan membuatkan mereka terjaga, betul tak?

Walau apa pun, ibu masih perlu mencuba cara sendawakan bayi selepas menyusu selama beberapa minit sebelum meletakkan mereka kembali ke tempat pembaringan. Jika tidak, akan ada kemungkinan untuk mereka terjaga kerana rasa sakit disebabkan gas yang terperangkap. Sememangnya ada bayi yang tidak bersendawa, tidak kira sama ada dengan sendiri atau melalui bantuan anda. Seandainya, si manja berada dalam kelompok yang perlu disendawakan, ada pelbagai cara mudah sendawakan bayi yang boleh anda cuba walaupun ketika mereka sedang tidur.

CARA MUDAH SENDAWAKAN BAYI SELEPAS MENYUSU

  • Lindungi pakaian anda dengan meletakkan kain sebagai pelapik antara pakaian dan mulut bayi
  • Pastikan anda sentiasa menyediakan bekalan untuk pakaian, napkin bayi dan bib sekiranya si manja terjeluak
  • Kebanyakan bayi dapat disendawakan melalui tepukan atau gosokan lembut. Namun ada juga si manja yang mungkin memerlukan sentuhan yang lebih kuat sedikit untuk bersendawa
  • Fokuskan pada bahagian kiri belakang badan, yang merupakan posisi perut si kecil

POSISI TERBAIK

1. DI BAHU

Sandarkan bayi pada bahu anda. Letakkan sebelah tangan pada bahagian punggung si kecil sebagai sokongan untuk tubuh mereka. Kemudian, lakukan tepukan atau gosok secara perlahan di bahagian belakang tubuh mereka dengan tapak tangan sebelah lagi.

2. BARINGKAN BAYI PADA PEHA

Baringkan bayi secara meniarap pada pangkuan paha anda – perut si manja berada di sebelah kaki, manakala bahagian kepalanya di bahagian kaki lain. Angkat sikit bahagian dada dan letakkan sebelah tangan anda untuk menyokong dan memegangnya dengan selamat. Dengan sebelah tangan yang lain, lakukan gosokan atau tepuk perlahan belakang badan bayi sehingga mereka bersendawa.

3. POSISI DUDUK

Pegang bayi seperti dalam kedudukan duduk di atas pangkuan paha anda. Bongkokkan tubuh bayi sedikit ke hadapan. Berikan sokongan pada kepada dan dada mereka menggunakan sebelah tangan anda. Sebelah tangan lain pula, berikan tepukan atau gosok secara perlahan belakang badan si manja.

 4. SAMBIL BERJALAN

Posisi ini hanya disarankan untuk dilakukan kepada bayi yang sudah mampu mengawal kepala mereka sendiri. Anda boleh mendukung bayi pada bahagian dada dan biarkan muka si manja menghadap ke luar. Pastikan sebelah tangan anda memberikan sokongan pada bahagian bawah badan mereka. Letakkan sebelah tangan lain pada bahagian bawah perutnya untuk memberikan tekanan ringan.

CARA MUDAH SENDAWAKAN BAYI TIDUR

 1. DISANDARKAN DI ATAS BAHU

Merupakan kedudukan yang paling mudah jika ingin membantu bayi mengeluarkan gas ketika tidur tanpa membangunkan mereka. Letakkan mereka di bahu dan pegang bahagian bawah badan dengan selesa semasa anda menepuk atau menggosok belakang badan si manja.

2. SANDARKAN PADA DADA

Sama seperti kedudukan di atas, cuma bezanya bayi berada pada bahagian dada anda. Posisi ini mungkin lebih selesa jika anda sedang duduk di atas sofa. Bayi akan membengkokkan kakinya seakan posisi katak – ia sekali gus membantu mengeluarkan lebih banyak gas. Jika perlu, gosokan secara perlahan bahagian belakang si manja.

3. DI PANGKUAN ANDA

Dengan perlahan-lahan, letakkan bayi seperti posisi berbaring di pangkuan anda untuk membuatnya bersendawa. Tetapi anda harus ketahui, dalam posisi ini, si manja mungkin akan lebih cenderung mengalami muntah susu.

4. PADA LENGAN

Cara ini mungkin janggal, khususnya bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa. Tetapi cara sendawakan bayi selepas menyusu ini adalah teknik terbaik untuk bayi baru lahir atau si manja yang bersaiz kecil kerana tubuh mereka dapat muat dengan sebaiknya pada lengan anda. Pastikan kepala bayi berada pada bahagian sudut siku. Tepuk atau gosok perlahan belakang badan si manja sehingga mereka mengeluarkan gas.

KEBAIKAN BERSAUNA

Sauna merupakan satu kaedah terapi yang wujud ribuan tahun dahulu dan masih lagi popular sehingga ke hari ini. Ia dikatakan dapat membantu ramai individu untuk berehat dan mencapai ketenangan, selain dipercayai dapat memberikan manfaat kesihatan. Tanpa mengira jenis sauna, atau tahap kelembapan, ia tetap memberikan kesan yang sama kepada badan. Apabila seseorang individu berada di dalam sauna, kadar degupan jantung akan meningkat dan saluran darah akan mengembang. Ini sekali gus akan meningkatkan peredaran darah, sama seperti jika anda melakukan senaman tahap rendah dan sederhana bergantung kepada tempoh sauna. Degupan jantung mungkin meningkat antara 100 hingga 150 denyut ketika menggunakan sauna. Ini dapat membawakan beberapa manfaat sauna.

Antara manfaat sauna adalah:

1. MENGURANGKAN KESAKITAN OTOT

Peningkatan peredaran darah mungkin dapat membantu mengurangkan kesakitan otot, memperbaiki pengerakan sendi dan mengurangkan sakit arthritis. Haba akan merangsang endorfin juga memberikan kesan baik kepada kesakitan, sekali gus membantu mempercepatkan proses penyembuhan semula jadi.

2. MENGURANGKAN TEKANAN DARAH

Sauna dapat membantu mengurangkan tekanan. Haba dari sauna akan merangsang pengeluaran endorfin – bahan kimia semula jadi yang membuatkan emosi anda menjadi lebih baik. Sebagaimana sauna dapat memperbaiki peredaran darah, dalam masa yang sama ia juga menggalakkan rasa tenang. Ini dapat memperbaiki rasa ketenangan dan kesejahteraan dalam diri.

3. MENYINGKIRKAN TOKSIN

Berpeluh dalam sauna membantu mengurangkan tahap plumbum, tembaga, zink, nikel, merkuri dan bahan kimia – toksin yang biasa diserap apabila badan berinteraksi dengan persekitaran di sekeliling.

4. MEMBERSIHKAN KULIT

Sauna dapat membersihkan kulit. Apabila badan berpeluh, kulit akan menjadi bersih dan sel kulit mati akan diganti – menjadikan kulit anda dapat berfungsi dengan baik. Sauna kering akan menjadikan kulit anda kering semasa menggunakan sauna. Bagi individu yang menghidapi psoriasis akan mendapati simptom itu berkurangan semasa dalam sauna. Tetapi bagi individu yang mengalami dermatitis atopik, mungkin akan mendapati ia bertambah teruk.

5. MENINGKATKAN PRESTASI KARDIOVASKULAR

Apabila suhu badan meningkat, kadar degupan jantung juga meningkat. Apabila badan cuba untuk menyejukkan, kadar degupan jantung akan menurun. Ia memberikan jantung senaman yang sihat. Sauna juga dikaitkan dengan dapat menjadikan kadar tekanan darah menurun dan meningkatkan fungsi jantung.

6. TIDUR LEBIH BAIK

Melakukan sauna dikatakan dapat menjadikan tidur anda lebih baik. Kajian menunjukkan penurunan endorfin, berkurangan secara perlahan selepas endorfin membantu memudahkan tidur anda.

7. MENGURANGKAN ASMA

Individu yang menghidapi asma mungkin akan merasakan beberapa simptom berkaitan asma berkurangan ketika dalam sauna. Sauna membantu menjadi saluran udara lebih terbuka, melegakan kahak dan mengurangkan tekanan.

8. MENGURANGKAN BERAT BADAN

Sauna juga dipercayai adalah sebagai satu cara untuk mengurangkan berat dengan usaha yang minimum. Ketika berada di dalam sauna, kadar degupan jantung akan meningkat. Kajian mengatakan, sesi sauna selama 20 minit di bawah suhu sekitar 76°C, dapat membakar lebih daripada 500 kalori. Metabolisme badan akan meningkat seperti melakukan senaman fizikal dan merupakan kaedah terbaik untuk mengekalkan berat badan.

KEPENTINGAN OMEGA 3 UNTUK IBU HAMIL

Omega 3 pada ibu hamil mempunyai banyak kebaikan untuk ibu dan janin. Berdasarkan hasil penyelidikan, dua jenis omega 3 yang mempunyai manfaat kesihatan yang hebat ialah EPA ( asid eicosapentaenoic ) dan DHA ( asid docosahexaenoic ). Kedua-duanya nampaknya mempunyai peranan masing-masing.

EPA dikenali untuk membantu meningkatkan sistem imun, bertindak balas terhadap keradangan, dan menyuburkan jantung. Selain itu, DHA juga terkandung di dalamnya dan boleh berguna untuk membantu sistem saraf pusat, otak, dan kesihatan mata. Kedua-duanya sememangnya penting untuk ibu semasa mengandung dan menyusu.

Selain ibu, omega 3 juga mempunyai banyak khasiat untuk bayi dan kanak-kanak, kerana mengandungi lemak DHA. Dalam badan kita, kebanyakan DHA terdapat dalam otak dan mata. Jadi jangan terkejut jika kajian telah membuktikan bahawa manfaat terbesar omega 3 adalah untuk perkembangan otak dan mata bayi.

Kajian lanjut juga membuktikan beberapa manfaat omega 3 yang lain. Ibu yang mempunyai tahap DHA yang tinggi dalam darah mereka akan mempunyai anak yang mempunyai kemahiran deria, kognitif dan motor yang lebih baik. Ini telah dibentangkan dalam Journal Of Pediatrics , dan penyelidikan telah dijalankan oleh Universiti Laval, Quebec. Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan omega 3 juga boleh membantu mengurangkan gejala kemurungan pada wanita yang mengalami kemurungan perinatal.

Bayi dengan pengambilan omega 3 yang mencukupi berkembang kira-kira 2 bulan lebih awal daripada bayi yang kekurangan omega 3. Mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada ujian kepekaan yang dijalankan pada usia 6 bulan, dan mempunyai kebolehan pembelajaran visual yang lebih baik apabila berumur 1-2 tahun.

Pengambilan Omega 3 sangat bagus untuk tumbesaran dan perkembangan bayi.

Pengambilan Omega 3 sangat bagus untuk tumbesaran dan perkembangan bayi dan juga kesihatan ibu hamil. Dr. Bruce Holub, Universiti Guelph, menjelaskan beberapa manfaat Omega 3 yang lain, iaitu:

  • Mengurangkan risiko kelahiran pramatang
  • Meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk belajar membaca
  • Mengurangkan risiko penyakit jantung di kemudian hari
  • Mengurangkan risiko pelbagai jenis alahan kulit

Ibu yang mengambil Omega 3 yang mencukupi mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami sindrom selepas bersalin atau baby blues iaitu turun naik dalam perubahan mood yang berlaku selepas bersalin. Selain itu, ibu juga akan lebih cepat pulih selepas bersalin.