“Tadi Mak pesan kalau mandi guna lulur. Macam mana nak guna ya? Apa kebaikan lulur ni sebenarnya?”

Lulur atau skrub adalah bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama kulit-kulit mati akan turut tertanggal. Dengan tertanggalnya kulit-kulit mati yang kusam, kita akan berasa lebih segar dan terlihat lebih cerah. Lulur sebenarnya bukanlah terhad untuk wanita berpantang saja, tetapi boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Namun, ia cukup banyak manfaatnya bagi wanita bersalin.

Berikut adalah kebaikan lulur untuk wanita selepas bersalin:

1. MEMBERI KESEGARAN

Antara kebaikan lulur adalah membantu pori-pori kulit untuk mendapatkan rangsangan positif. Dengan ini, kulit dapat bernafas hingga ke lapisan kulit terdalam. Selepas bersalin, kita cenderung berasa letih, kusam, dan tidak selesa. Maka, melulur badan menjadikan badan terasa ringan dan lebih bertenaga. Selain wanita bersalin, lulur juga sesuai bagi wanita yang lasak dan sering mengendalikan kerja di luar pejabat. Lakukan lulur beberapa kali dalam sebulan agar kulit terasa lebih segar dan bermaya.

2. AWET MUDA

Seperti yang kita tahu, fungsi utama lulur adalah membantu pengelupasan kulit mati. Kulit baru yang lebih anjal dan sihat akan menjadikan penampilan kita tampak lebih awet muda. Maka, tidak hairanlah lulur ini telah diamalkan oleh golongan atasan sejak berzaman lamanya. Jadi, teruskanlah amalan berlulur ini walaupun selepas tamat tempoh berpantang nanti.

3. MENCERAHKAN KULIT

Sesetengah wanita mengalami banyak masalah kulit seperti ketiak hitam akibat perubahan hormon. Seiring dengan proses terhasilnya sel kulit yang baru, daki-daki akan menghilang dan khasiat bahan lulur yang digunakan juga akan diserap oleh tubuh. Secara tidak langsung, khasiat semulajadi daripada bahan-bahan tersebut membantu tubuh bertambah cerah dan mendapat tona yang sekata. Bahkan, tampak lebih berseri setiap hari.

4. MENJADIKAN OTOT BADAN LEBIH RELAKS

Kebaikan lulur yang seterusnya adalah terhadap psikologi – di mana aroma semulajadi yang digunakan mampu merangsang suasana yang tenang dan relaks. Dalam tempoh berpantang, mandi lulur dapat bertindak sebagai urutan dan gosokan lembut pada tubuh yang akan membuatkan otot badan menjadi lebih relaks.

5. KULIT LEBIH GEBU DAN MULUS

Akibat perubahan hormon, kulit wanita terasa kering, kasar dan kusam. Hal ini boleh berlarutan sehinggalah beberapa bulan selepas tempoh bersalin. Dengan mandi lulur, bahagian kulit yang tidak sihat boleh digantikan dengan kulit baru. Selepas berpantang juga, amalan mandi lulur ini sebaiknya diteruskan. Apabila dimakan usia, kulit akan mula kendur dan berkedut. Penggunaan lulur secara rutin setiap dua kali seminggu dapat menghindarkan masalah ini.

CC: PantangPlus