Semasa mengandung, ada kalanya anda perlu menempuh perjalanan jauh seperti balik kampung, urusan kerja ke luar bandar atau menemani suami ‘outstation’ yang mungkin mengambil masa lebih daripada lima jam.

Tidak seperti perjalanan biasa, perjalanan jarak jauh semasa mengandung memerlukan persiapan khusus untuk perkembangan janin dalam rahim tetap selamat. Jom kita semak 8 tips penting buat ibu mengandung sebelum menempuh perjalanan jauh.

1. MEMILIH WAKTU TERBAIK

Waktu terbaik untuk ibu hamil merancang perjalanan jauh adalah pada fasa kedua kehamilan antara 14-28 minggu, hal ini kerana risiko keguguran dan kelahiran pra-matang adalah lebih rendah. Sekiranya ibu dan bayi dalam kandungan sihat maka anda dibenarkan sehingga 36 minggu untuk menempuh perjalanan jauh. Kebanyakan masalah kandungan berlaku pada fasa pertama dan fasa ketiga kehamilan.

2. RANCANG PERJALANAN

Sila bertemu dengan doktor dan berbincang mengenai rancangan perjalanan jauh anda sebelum memulakan perjalanan.Pastikan ibu tidak memandu seorang diri, sebaiknya ajaklah sekurang-kurangnya seorang teman seperti suami, sahabat atau ahli keluarga sendiri yang menemani sepanjang perjalanan.

 

3. SEDIAKAN MAKANAN

Hindari perjalanan jauh dengan perut yang kosong, apa lagi jika ibu kerap mengalami morning sickness dan anemia, sediakan makanan ringan seperti biskut atau roti dan juga air putih secukupnya untuk mencegah rasa mual.Sediakan juga beg plastik jika ibu ingin muntah, hal ini biasa terjadi semasa berada di trimester pertama.

 

4. SEDIAKAN DOKUMEN PENTING

Pastikan buku pink/merah klinik kerajaan atau kad rawatan susulan kehamilan swasta dikemaskini dan dibawa kemana-mana anda berada, hatta nak membeli belah pun WAJIB bawa buku tersebut ibarat sepertimembawa kad pengenalan anda. Ini amat penting sekiranya berlaku kes kecemasan.

 

5. SEDIAKAN UBAT UBATAN

Siapkan ubat-ubatan, vitamin kehamilan dan kit kecemasan di dalam beg anda sebagai persiapan sepanjang tempoh perjalanan.Sediakan kelengkapan yang membuat ibu merasa selesa contohnya seperti jaket dan bantal.

6. UTAMAKAN KESELAMATAN PERJALANAN

Perjalanan yang paling selamat adalah wajar diutamakan. Sebagai contoh perjalanan menggunakan lebuhraya adalah lebih selamat berbanding jalan biasa walaupun ianya lebih jauh sedikit berbanding jalan biasa.

7. DAPATKAN PERLINDUNGAN INSURANS

Para ibu hamil boleh meminta klinik kesihatan yang menjaga anda untuk memaklumkan kepada klinik kesihatan di kampong/destinasi yang dituju berkenaan kepulangan/ketibaan anda kesana serta dapatkan perlindungan takaful/insurans(jika ada) buat ibu hamil sekiranya berlaku kes kecemasan di sepanjang percutian.

8. SEDIAKAN KELENGKAPAN BERSALIN

Jika umur kandungan 28 minggu dan ke atas. Siapkan juga satu beg kecil perkakas ibu dan bayi selepas bersalin. Ini bagi menangani risiko kelahiran bayi samada cukup bulan atau pra matang sekiranya berlaku selepas menempuh perjalanan jauh.

 

 

 

CC:mamapride