Terdapat banyak penyelidikan mengenai kesan suara seorang ibu kepada anak yang dikandung dalam rahim. Apabila seorang ibu membaca dengan kuat, suaranya mempunyai kesan menenangkan pada bayi yang belum lahir atau bayi yang baru lahir. Kajian juga turut mendapati, hal ini turut menurunkan kadar jantung bayi.

Intonasi dalam suara telah dibuktikan dapat membentuk pembelajaran auditori bagi bayi walaupun masih dalam rahim. Menjadi keutamaan bagi bayi untuk kenal suara ibu mereka. Malah, suara bukan setakat mempengaruhi pembangunan sistem pendengaran bayi, lebih menarik lagi, ia juga memberi kesan kepada perkembangan sosial dan emosi mereka.

Walaupun tiada dalil dalam Islam yang menyuruh ibu hamil mengamalkan mana-mana surah dalam Al-Quran, tetapi tidak salah sekiranya ibu hamil membaca surah-surah dalam al-Quran dengan harapan agar Allah swt mengurniakan kesihatan, kebaikan, kemudahan serta rahmat Allah buat ibu dan anak yang dikandungnya. Antara surah-surah dalam al-Quran yang boleh diamalkan oleh ibu hamil adalah:

1. SURAH AL-FATIHAH

Surah Al-Fatihah merupakan surah pertama dalam Al-Quran seperti mana maksudnya iaitu pembukaan. Antara fadilat mengamalkan surah Al-Fatihah adalah menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan.

2. SURAH MARYAM

Surah Maryam memang terkenal dan sinonim buat ibu hamil. Antara kisah yang terdapat dalam surah ini adalah ketika Maryam r.a melahirkan Nabi Isa a.s di tengah padang pasir secara sendirian. Surah ini elok diamalkan untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.

3. SURAH LUQMAN

Surah Luqman mengisahkan tentang nasihat-nasihat seorang bapa kepada anaknya. Antara fadilat amalkan surah ini adalah untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.

4. SURAH YUSUF

Surah Yusuf pula menceritakan kisah hidup Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf a.s terkenal dengan ketampanan wajah. Harapannya, dengan mengamalkan surah ini, anda dapat memperoleh anak yang bukan setakat cantik rupa tetapi juga cantik akhlak seperti Nabi Yusuf a.s.

5. SURAH YAASIN

Antara fadilat membaca Surah Yaasin adalah untuk mempermudahkan urusan. Itulah sebabnya kita selalu baca surah Yaasin buat orang yang sedang nazak dan mereka yang akan sedang menduduki peperiksaan. Tujuannya agar urusan mereka dipermudahkan dan diberi ketenangan hati. Begitu juga buat ibu yang mengandung. Antara tujuannya adalah untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.

6. SURAH AT-TAUBAH

Turunnya Surah At-Taubah kerana menceritakan tentang kaum musyrik yang mengingkari janji dan isi yang paling tersohor dalam Surah At-Taubah ialah mengenai perang Tabuk. Dinamakan At-Taubah kerana taubatnya 3 orang yang tidak ikut dalam perang Tabuk, padahal dalam sejarah peperangan, mereka selalu mengikuti perang melawan musuh-musuh Allah SWT. Oleh itu, dengan mengamalkan surah ini, diharapkan agar kita sentiasa mengingati Allah SWT dan sentiasa bertaubat kepadaNya. Mudah-mudahan ibu hamil dan bayi dalam kandungan dapat membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat. 

7. SURAH AN-NAHL

Antara intipati Surah An-Nahl adalah berkenaan dengan lebah seperti mana nama surah ini yang bermaksud lebah. Terlalu banyak hikmah yang kitab oleh pelajari daripada seekor lebah. Surah ini diamalkan oleh ibu hamil untuk melahirkan anak yang berdisiplin. Malah, ayat 78 Surah An-Nahl sangat elok diamalkan ketika hendak bersalin agar proses kelahiran bayi sentiasa dipermudahkan.