Skip to content

PUNCA ANAK SEMBELIT!

 Assalamualaikum dan selamat pagi Mummies!

Masalah sembelit ni kan memang biasa terjadi kepada sesiapa pun baik orang dewasa mahupun anak kecil.

Kalau orang dewasa ni sembelit, bolehla cari ikhtiar apa- apa sendiri, minum teh hijau ke apa kan.

Cuba kalau anak kecil kita, kesian kan? 

Menangis anak kita stress pelaburan tak berjalan dengan lancar.

Namun, masalah anak sembelit adalah perkara biasa terutamanya ketika dalam proses latihan tandas sekitar usia 2 hingga 3 tahun.

Jom baca lebih lanjut dalam perkongsian tentang punca anak sembelit dari Hello Doktor ini.

___________________________

PUNCA ANAK SEMBELIT

1: Tahan Keinginan Membuang

Si kecil mungkin mengabaikan keinginan untuk membuang air besar kerana takut ke tandas atau tidak mahu berhenti daripada bermain.

Ada juga kanak-kanak yang menahan diri kerana tidak selesa menggunakan tandas awam.

Pergerakan usus yang menyakitkan disebabkan najis yang besar dan keras turut boleh menjadi punca anak menahan diri daripada berak.

2: Masalah Latihan Tandas

Latihan tandas yang dimulakan terlalu awal juga boleh menyebabkan anak memberontak, sekali gus tidak mahu membuang air besar.

3: Diet Pemakanan

Kurang pengambilan makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayuran serta pengambilan cecair harian yang sedikit boleh menyebabkan sembelit.

Antara tempoh paling biasa untuk anak berdepan sembelit apabila memulakan pengambilan makanan pejal.

4: Perubahan Rutin Harian

Sebarang perubahan dalam rutian harian seperti melancong, cuaca panas atau tekanan – boleh mempengaruhi fungsi usus.

Anak juga cenderung mengalami sembelit apabila pertama kali memulakan sesi persekolahan.

5: Ubatan

Sesetengah ubat antidepresan dan ubat-ubatan lain turut boleh mengakibatkan sembelit.

6: Alahan Produk Tenusu

Alahan kepada susu lembu atau terlalu banyak memakan produk tenusu – keju dan susu lembu – turut boleh menyumbang kepada sembelit.

7: Sejarah Keluarga

Sejarah keluarga dengan sembelit juga meningkatkan risiko anak untuk mengalaminya. Ini mungkin disebabkan faktor genetik atau persekitaran yang sama.

8: Keadaan Perubatan

Dalam kes jarang berlaku, sembelit terjadi berpunca daripada kecacatan anatomi, masalah sistem metabolik atau pencernaan mahupun masalah kesihatan lain.

___________________________

LANGKAH PENCEGAHAN

1: Tawarkan Makanan Berserat Tinggi

Sediakan makanan kaya serat untuk membantu tubuh membentuk tekstur najis lebih lembut, seperti sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin.

Mulakan penambahan beberapa gram serat sehari secara beransur-ansur untuk mengelakkan perut kembung dan berangin.

2: Galakkan Pengambilan Air

Sarankan anak untuk mengambil cecair secukupnya, terutamanya air.

Wujudkan sesi penyusuan badan lebih kerap untuk bayi yang menyusu. Bagi bayi yang minum susu formula, berikan air tambahan antara setiap sesi penyusuan.

3: Tingkatkan Aktiviti Anak

Aktiviti fizikal dapat merangsang dan membantu fungsi usus normal untuk mendorong pergerakan makanan bagi pencernaan.

Galakkan anak untuk bermain di luar rumah berbanding hanya menonton televisyen dan aktiviti yang kurang pergerakan.

4: Wujudkan Rutin Tandas

Tentukan masa ke tandas untuk anak selepas makan secara berkala.

Jika perlu, sediakan pemijak kaki (footstool) untuk membolehkan anak berasa selesa semasa menggunakan tandas.

5: Ajar Anak Tidak Menahan Buang Air Besar

Sentiasa ingatkan anak untuk ke tandas apabila melihat mereka terlalu leka bermain.

Jika mereka kerap mengabaikan keinginan ke tandas, ia meningkatkan risiko si kecil mengalami sembelit

6: Beri Sokongan

Berikan ganjaran atas usaha anak apabila mereka cuba membuang air besar.

Antara ganjaran yang boleh diberikan seperti pelekat, buku khas atau permainan yang hanya dapat dimainkan selepas atau semasa (jika ada) membuang air besar.

___________________________

TANDA ANAK SEMBELIT

  • Membuang air besar kurang daripada 3x seminggu
  • Najis keras, kering dan sukar dikeluarkan
  • Mengalami kesakitan semasa membuang air besar
  • Sakit perut
  • Terdapat tompokan cecair atau najis pada seluar dalam anak
  • Terdapat darah pada najis
  • Tidak berasa lapar
  • Menunjukkan tanda cuba menahan berak seperti mengetap gigi, menyilang kaki, memegang punggung atau wajah berubah kemerahan

Cc: hellodoktor.com

https://hellodoktor.com/keibubapaan/kesihatan-anak/masalah-penghadaman/anak-sembelit-punca/

 

 

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *