Seperti semua maklum, melahirkan cahaya mata bukanlah perkara mudah walaupun ianya membahagiakan pasangan berkahwin dan juga keluarga mereka. Bagi yang berpengalaman mungkin ianya menjadi sedikit mudah kerana mereka pernah mengalami perkara tersebut. Namun ianya berlainan bagi wanita yang tidak pernah bersalin. Semakin waktu bersalin menghampiri semakin mereka akan berasa gentar dan gemuruh.

Persediaan mental merupakan perkara yang harus dilakukan oleh para ibu. Mental yang kuat mampu mempengaruhi proses bersalin anda. Antara yang mereka boleh lakukan adalah dengan sering bertanya kepada yang lebih arif contohnya seperti doktor atau rakan rakan yang pernah bersalin sebelumnya. Para ibu juga harus belajar untuk menenangkan diri mereka. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk belajar bertenang antaranya dengan mengamalkan yoga atau terapi minda.

Persediaan fizikal juga penting terutamanya untuk ketika mereka sedang berada dalam proses melahirkan bayi. Fizikal yang sihat akan membantu ibu untuk melahirkan bayi mereka tanpa sebarang komplikasi. Antara perkara terpenting dalam menjamin keadaan fizikal yang optimum sehingga tiba ke waktu bersalin adalah dengan mempunyai tidur yang cukup. Ini adalah bagi untuk mendapatkan rehat yang mencukupi. Senaman ringan juga boleh dilakukan dan ianya amat digalakkan. Senaman ringan yang bersesuaian dengan kemampuan dan usia kandungan dapat dilakukan oleh para ibu dan ianya boleh dipelajari melalui pelbagai platform antaranya Youtube ataupun Facebook. Urutan juga digalakkan untuk dilakukan dan ini boleh dilakukan dengan adanya bantuan para suami. Selain itu, permakanan juga harus diambil berat oleh para ibu kerana ianya memainkan peranan penting dalam menentukan keadaan fizikal para ibu.