Setiap ibu terutamanya akan merasai keperitan anak-anak mereka menahan kesakitan sembelit yang biasa dizahirkan melalui tangisan. Hati ibu bapa mana yang tidak luluh mendengar suara anak-anak mereka menangis kan?, Iya lah anak- anak masih bayi, belum mampu bertutur dan hanya tahu memberi tanda inginkan sesuatu melalui suara tangisan.

Oleh itu, mari kita menambah serba sedikit info mengenai bayi sembelit.

  • PENGAMBILAN SUSU

Kadang-kadang bayi mengalami sembelit atau kesukaran membuang air besar adalah disebabkan pengambilan susu terutama susu formula. Jarang kita dengar bayi yang meminum susu badan iaitu susu ibu mengalami masalah sembelit berbanding bayi yang meminum susu formula. Susu badan adalah susu yang paling baik untuk bayi dan bagus dalam membantu tumbesaran. Namun begitu, jika hanya mempunyai pilihan susu formula, kita boleh mencuba untuk mengurangkan 1 skop susu dalam bancuhan. Jika masih tidak sesuai, boleh merujuk kepada doktor atau pakar kesihatan untuk mendapatkan nasihat dan saranan.

  • MAKANAN TINGGI SERAT

Antara cadangan yang banyak membantu bayi mengatasi masalah sembelit adalah dengan memberikan makanan mempunyai kandungan serat yang tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Untuk anak-anak yang melebihi 6 bulan ke atas sudah boleh mula mengambil makanan yang sebegini untuk memudahkan najis menjadi lembut dan senang dikeluarkan.Ibu bapa disyorkan untuk menyediakan makanan yang berbentuk puri iaitu makanan yang diproses menjadi lembut seperti cecair, bagi memudahkan bayi menelan dan hadam.

Antara cadangan makanan yang tinggi serat:

1. Brokoli dan sayuran hijau

Sayur brokoli atau sayuran hijau mengandungi tinggi mineral, serat, folat, kalsium dan vitamin C. Pada bayi berusia antara 6-9 bulan, mereka sangat memerlukan komponen gizi seperti berikut. Ibu bapa boleh menyediakan puri brokoli. Untuk bayi 8 bulan ke atas, ibu-ibu boleh melenyekkan brokoli setelah dikukus atas direbus lalu dimasukkan ke dalam bubur. Selain itu, ibu-ibu juga boleh berikan anak makan seperti bentuk “pokok”. Kebiasaannya, najis bayi anda akan menjadi lebih lembut selepas makan brokoli.

2. Ubi keledek / Labu

Ubi keledek antara sayuran yang mengandungi beta karotin dan vitamin C. Gizi ini mampu menguatkan sistem imunisasi anak serta kandungan serat yang tinggi di dalamnya membantu sistem pencernaan. Ubi keledek yang direbus bersifat lembut dan mudah dilenyekkan untuk membentuk puri bagi memudahkan anak menelan.

3. Kacang Pis

Kacang pis mempunyai tinggi protein dan serat untuk membina sistem penghadaman yang sihat.Ibu-ibu jangan lupa untuk lenyekkan kacang pis terlebih dahulu sebelum berikan anak makan. Puri kacang pis ini sesuai untuk bayi seusia 7 bulan ke atas.

4. Puri buah-buahan

Antara buah-buahan yang sesuai untuk bayi sembelit seperti epal, prun, pear, pisang, betik dan sebagainya. Buah-buah mempunyai tinggi kandungan serat yang mampu menyihatkan sistem penghadaman usus bayi dan mengatasi masalah sembelit. Ibu-ibu boleh memotong buah menjadi potongan kiub kemudian dikisar bersama sedikit air sehingga berubah tekstur menjadi lembut dan mudah untuk bayi menelan.

  • AIR YANG MENCUKUPI

Jika bayi mengalami sembelit, antara penyebabnya adalah kerana bayi mengalami kekurangan pelawas dalam usus. Oleh sebab itu, pentingnya merawat bayi sembelit dengan berikan mereka minum air seperti susu atau air minuman biasa. Air yang mencukupi akan memudahkan makanan untuk dihadamkan dan mampu bergerak dalam usus dengan lancar. Air dan susu merupakan cecair yang paling sesuai untuk membantu bayi yang mengalami masalah sembelit.

Disamping itu, ibu bapa boleh mengamalkan kaedah rawatan seperti:

  • Membaringkan bayi dengan kaki berada di atas dan gerakkan kakinya seperti mengayuh basikal. Kelebihan melakukan seperti ini adalah ia dapat merangsang pergerakan najis dalam usus.
  • Setiap kali selepas memandikan bayi anda, sapukan minyak telon di perut, betis, belakang badan dan tapak kaki bayi. Kelebihan melakukan adalah dapat mengelakkan bayi kembung perut, sembelit dan cirit- birit.