Pengambilan diet yang seimbang sangat penting dalam kehidupan seharian terutamanya ketika anda sedang hamil. Terdapat beberapa jenis makanan yang tidak disarankan oleh pakar nutrisi untuk dimakan termasuklah makanan laut. Secara amnya, makanan laut adalah sihat dan selamat untuk dimakan. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui.

Ibu hamil perlu mengambil sekurang-kurangnya 200-350 gram ikan dalam masa seminggu. Ikan dan makanan laut merupakan makanan yang penting kerana kaya dengan protein, zat besi dan omega-3s. Ibu hamil yang tidak mempunyai apa-apa komplikasi kesihatan perlu mengambil sekurang-kurangnya 27 mg zat besi setiap hari untuk mengelakkan anemia. Selain itu, ibu mengandung juga perlu mengambil 71 gram protein setiap hari untuk memastikan tumbesaran bayi yang sihat. Ikan juga kaya dengan asid lemak omega-3 yang penting untuk otak dan sistem saraf bayi anda. Selain itu juga, asid lemak ini mampu membantu mengelakkan bayi pramatang, bayi kurang berat ketika lahir serta mengurangkan risiko praeklampsia.

  • IKAN YANG MEMPUNYAI MERKURI

Merkuri merupakan bahan toksik yang boleh ditemui dalam beberapa jenis ikan seperti ikan kembung. Ibu hamil yang makan ikan mengandungi kadar merkuri yang tinggi berisiko merosakkan otak bayi dan tumbesaran mereka. Ikan tuna mempunyai amaun merkuri yang sedikit berbanding ikan yang lain dan selamat untuk dimakan oleh ibu yang hamil. Namun langkah pencegahan harus dibuat dan pengambilan ikan yang mempunyai kandungan merkuri tidak disyorkan untuk dimakan oleh ibu hamil

  • MAKANAN LAUT YANG DISALAI

Makanan laut yang disalai tidak seharusnya ada dalam diet ibu hamil kerana boleh meningkatkan risiko listeria. Lebih selamat jika anda makan makanan laut dalam tin. Namun harus diingatkan bahawa makanan laut dalam tin tersebut perlu dipastikan untuk dimasak dengan secukupnya sebelum dimakan oleh ibu hamil.

  • IKAN YANG TERCEMAR

Ikan yang tercemar akibat persekitaran habitat mereka mempunyai kandungan polychlorinated biphenyls (PCBs) yang tinggi. Anda perlu memeriksa dan memastikan ikan sungai atau tasik seperti ikan pike dan ikan salmon yang ingin dimakan bebas daripada persekitaran yang tercemar sebelum membeli dan memakannya.

  • MAKANAN LAUT YANG MEMPUNYAI CENGKERANG

Makanan laut yang mempunyai cengkerang seharusnya dielakkan untuk menjamin kesihatan anda. Kebanyakan penyakit yang berpunca daripada makanan laut datang daripada cengkerang yang tidak dimasak sepenuhnya seperti tiram, kerang dan lala. Meskipun sudah dimasak sepenuhnya, ibu hamil masih disarankan untuk tidak makan makanan laut jenis ini.

Meskipun ikan dan kebanyakan makanan laut mempunyai banyak nutrien untuk tumbesaran dan perkembangan otak bayi, makanan jenis ini juga mempunyai banyak kandungan merkuri yang boleh menyebabkan kerosakan otak dan polychlorinated biphenyls (PCBs) yang boleh merosakkan tumbesaran dan perkembangan bayi anda. Pun begitu, ibu hamil masih perlu makan ikan dan makanan laut namun perlu dipastikan terlebih dahulu sumber dan cara memasaknya demi menjamin kehidupan anda dan bayi yang lebih sihat.