Mengidam adalah satu perkara biasa semasa mengandung, namun bagaimana jika anda tiba-tiba sukakan makanan pedas ketika hamil? Adakah terdapat kesan kepada kandungan?

Ya, makanan pedas yang diambil semasa mengandung adalah selamat sama ada untuk ibu atau kandungan. Cuma ia mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan, terutamanya jika anda tidak biasa dengannya.

Pakar perubatan bersetuju, makanan yang pedas adalah selamat diambil ketika sedang hamil, bahkan ia mungkin membantu bayi mengembangkan deria untuk sesetengah rempah.

Walaupun kebanyakan hidangan makanan pedas dan berempah adalah selamat untuk dimakan ketika mengandung, namun anda dinasihatkan untuk mengelakkan hidangan daging yang tidak masak sepenuhnya serta makanan laut mentah. Ikan yang tinggi kandungan merkuri juga harus dihindari kerana ia berisiko menyebabkan kecacatan kelahiran. Manakala berkaitan jumlahnya pula, anda dinasihatkan untuk tidak mengambilnya secara berlebihan. Elakkan juga membeli masakan panas dari luar.

Berikut merupakan antara 4 kesan pengambilan makanan yang berempah dan pedas:

1. MABUK PAGI

Mabuk pagi seperti loya dan muntah adalah satu perkara biasa yang dilalui oleh wanita yang sedang hamil. Ini khususnya pada peringkat awal kehamilan yang disebabkan oleh perubahan tahap hormon. Walau bagaimanapun, masalah tersebut mungkin boleh menjadi lebih teruk dan kronik kesan daripada pengambilan makanan yang pedas. Jadi mungkin untuk trimester pertama anda boleh mengehadkan pengambilannya atau mengelakkan makanan pedas dan berempah untuk sementara waktu.

2. ALAHAN

Pengambilan makanan berlada seperti cili boleh menyebabkan simptom alahan kepada sesetengah ibu yang mengandung. Sekiranya anda pernah mengalami simptom alahan tersebut sebelum hamil, mengambilnya ketika mengandung bukanlah satu pilihan yang bijak. Walaupun makanan pedas bukanlah satu jenis makanan yang perlu dihindari sepanjang berbadan dua, namun terdapat sebab mengapa anda mungkin perlu mengelakkannya. Ini disebabkan kepekaan makanan (food sensitivity). Ketika trimester ketiga, sesetengah jenis makanan boleh meningkatkan tahap kepekaan seperti makanan pedas, minuman berkarbonat dan sesetengah makanan biasa yang menyukarkan proses pencernaan.

3. KERENGSAAN RAHIM

Makanan pedas walaupun selamat untuk dimakan ketika mengandung, namun pengambilan rempah yang berlebihan atau sistem pencernaan yang sensitif boleh memberikan kesan kepada wanita hamil. Bagi sesetengah wanita, masakan pedas boleh menyebabkan kerengsaan pada rahim atau usus. Simptom utama berkaitan kerengsaan rahim adalah masalah kekejangan tidak terkawal pada otot rahim atau pada bahagian abdomen bawah. Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan kontraksi pada serviks. Jika kandungan anda berusia kurang daripada 37 minggu dan mengalami simptom ini, anda perlu mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera. Sekiranya ibu hamil menyedari mengalami keasidan, kembung atau kekejangan apabila makan makanan pedas, elakkan daripada terus mengambilnya.

4. PEDIH ULU HATI

Risiko untuk mengalami masalah pedih ulu hati atau masalah pencernaan lain adalah tinggi semasa mengandung. Makanan yang pedas akan meningkatkan asid refluks dan boleh menjadi pencetus kepada masalah pedih ulu hati, terutamanya pada lewat tempoh kehamilan. Seandainya anda masih ingin mengambil makanan pedas ketika hamil, pastikan anda menyediakan segelas susu bagi mengurangkan pedih ulu hati. Madu juga boleh mencegah risiko ini.