Secara umumnya amalan berpantang sebenarnya tidak hanya menumpukan kepada sajian makanan serta minuman. Malahan amalan ini turut merangkumi hubungan seks, aktiviti harian seperti amalan mandi dan berurut. Pada kebiasaannya, hubungan seks tidak digalakkan dalam tempoh tersebut. Agama Islam contohnya mengharamkan hubungan seks bagi pasangan suami isteri sehingga isteri tersebut suci dan kering daripada darah nifas (darah yang keluar selepas melahirkan anak).
1.PERUBATAN
Dari segi perubatan pula, tempoh berpantang ini sebenarnya adalah tempoh rehat serta satu proses baik pulih tubuh badan seorang wanita bagi memastikan luka jahitan episiotomi atau jahitan pembedahan caesarean (pembedahan semasa melahirkan anak) yang telah dijalani akan sembuh sepenuhnya. Apabila darah nifas telah kering dan tubuh badan kembali sihat, pada ketika inilah mereka lebih bersedia dari segi fizikal dan mental untuk membahagikan masa bersama bayi dan suami. Selain itu, sesetengah wanita akan mengalami trauma semasa kelahiran bayinya. Jadi mereka memerlukan masa bagi memulihkan tenaga dan kebiasaannya agak lama bagi mengatasi trauma tersebut.
Dari segi kesihatan, darah nifas sebenarnya mengandungi bakteria (kuman) dan lendiran daripada lapisan dinding rahim. Keadaan anatomi salur kencing (uretra) dan salur dubur yang terletak berdekatan dengan salur faraj menyebabkan kemungkinan mudah dijangkiti kuman. Luka jahitan episiotomi juga mugkin boleh terbuka atau terkoyak jika berlaku hubungan seks pada peringkat awal. Pada kebiasaannya, luka episiotomi sembuh dalam masa dua hingga empat minggu selepas kelahiran. Ada juga beberapa kes yang mengalami masalah semasa proses penyembuhannya dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.
2.PEMAKANAN
Jika dilihat dari segi aspek pemakanan pula, mengikut kepercayaan senarai makanan yang tidak digalakkan termasuk sayur-sayuran yang diklasifikasikan sebagai sayuran ‘sejuk’ seperti kangkung, bayam, pucuk paku serta jenis ikan yang boleh menyebabkan masalah ‘gatal’ seperti ikan kembung, ikan tongkol dan ikan cencaru.
Ibu yang sedang berpantang juga tidak digalakkan mengambil makanan atau sajian yang pedas kerana dikhuatiri akan ‘disalurkan’ melalui susu ibu kepada bayi.
Kebanyakan wanita, khususnya orang Melayu juga kurang meminum air walaupun dari segi perubatan amalan ini ada kesan negatifnya. Komplikasi yang sering terjadi akibat amalan ini adalah masalah sembelit serta dehidrasi (kekurangan air). Penghasilan susu badan juga akan terjejas akibat kekurangan air dalam badan. Sebenarnya dari sudut perubatan moden, ibu-ibu yang berpantang adalah sangat-sangat digalakkan untuk meminum air masak atau air suam antara lapan hingga 12 cawan sehari berikutan kehilangan banyak bendalir dalam badan semasa proses kelahiran bayi, pengeluaran darah nifas dan juga penyediaan bagi penyusuan. Namun begitu, minuman berais atau bergas adalah tidak digalakkan dan perlu dielakkan.
3.PERUBAHAN MENTAL
Selain perubahan fizikal atau jasmani yang berlaku pada wanita, perubahan mental dan emosi juga berlaku. Wanita yang sedang hamil dan melahirkan anak mengalami tekanan jiwa yang berat kerana kedua-dua proses kehamilan dan kelahiran ini dianggap sebagai faktor yang menekan. Ada sesetengah wanita mengalami tekanan jiwa yang begitu kuat sehingga mereka mengalami kemurungan. Malah sesetengahnya pula mengalami jiwa yang terganggu (psychosis) selepas melahirkan anak.
Kehamilan dan kelahiran juga akan mengganggu hubungan seks. Perubahan fizikal isteri mungkin menyulitkan hubungan seks ataupun mengurangkan kelesaan. Selepas melahirkan anak pula, hubungan seks tidak digalakkan untuk sementara waktu.
Waktu puerperium atau waktu pantang yang biasanya selama 42 hari dianggap sebagai tempoh pemulihan daripada semua gejala kecederaan, tekanan jiwa dan mental serta pemulihan fungsi kewanitaan. Pada ketika ini juga rahim menguncup kepada saiz yang kecil seperti keadaan sediakala. Proses ini digelar involution.
Proses pemulihan boleh dipercepatkan dengan beberapa cara yang diamalkan oleh wanita sendiri dan kadang-kala ini boleh dipendekkan sehingga jangka waktu empat minggu, manakala sesetengahnya pula mengambil masa yang lebih lama sedikit iaitu lapan minggu.
CC:darlinghanie
No comment yet, add your voice below!