Skip to content

KENALI PUNCA-PUNCA BAYI HILANG SELERA MAKAN!

Hilang selera makan sering terjadi pada bayi dan selalunya dikaitkan dengan keadaan bayi yang kurang sihat. Walaubagaimanapun, bukan itu sahaja punca bayi hilang selera makan. Selera makan bayi boleh berubah dari hari ke hari dan bergantung kepada perkembangan tumbesaran mereka. Bayi hanya makan ketika mereka lapar tetapi bagi ibu bapa, keadaan ini boleh menyebabkan timbulnya kerisauan. Ibu bapa berfikir anak mereka tidak makan dengan cukup, dimana bayi kelihatan hilang selera makan.

Pada perkongsian kali ini, Suraya Mothercare akan kongsikan tanda-tanda dan punca bayi hilang selera makan.

Hilang selera makan boleh terjadi disebabkan pelbagai punca. Jika berlaku disebabkan keadaan bayi yang tidak sihat, perubahan tingkah laku ialah tanda yang pertama. Bayi yang mengalami hilang selera makan akan menunjukkan tanda-tanda berikut:

  • Kerap merengek
  • Muntah dengan kerap
  • Batuk
  • Air liur meleleh
  • Mengelak untuk makan makanan kegemaran

Apa Punca Bayi Hilang Selera Makan?

Masalah hilangnya selera makan yang sementara bagi bayi yang sedang membesar, sihat dan ceria adalah normal. Secara umumnya, kehilangan selera makan pada bayi boleh terjadi disebabkan proses pembesaran bayi dan tidak semestinya disebabkan masalah kesihatan atau semata-mata perubahan perasaan. Beberapa perubahan pembesaran yang boleh menyebabkan hilangnya selera makan termasuklah:

  • Tumbesaran dan Perkembangan Bayi

Kadar tumbesaran dan perkembangan bayi akan tinggi sehingga enam bulan, mula perlahan dari umur enam hingga 12 bulan dan semakin perlahan di antara umur 12 bulan hingga 18 bulan. Jadi, adalah normal untuk bayi yang berusia 16 bulan kurang makan berbanding kuantiti makanan yang diambil pada usia 12 bulan. Penurunan dalam pengambilan makanan juga boleh terjadi disebabkan bayi tidak memerlukan kalori yang banyak.

  • Bayi Tumbuh Gigi

Hilangnya selera makan yang sementara adalah normal bagi bayi yang baru tumbuh gigi, dan kebiasaannya masalah ini dapat diatasi dalam masa dua minggu. Bayi anda akan kurang makan disebabkan rasa sakit pada gusi yang mahu tumbuh gigi. Ketidakselesaan bayi bertambah apabila bayi makan makanan atau menyusu botol.

Tumbuh gigi boleh menyebabkan gusi sakit, membawa kepada gigi yang sangat sensitif. Walaupun tersentuh sikit boleh menyebabkan sakit. Jika bayi tidak mahu makan kerana sakit gigi tumbuh, ini mungkin akan mempengaruhi kesihatan bayi. Pastikan bayi minum cecair yang banyak dan cuba beri makanan yang mudah dikunyah seperti yugort, makanan solid yang lembut dan sebagainya untuk membantu anak anda makan.

  • Jangkitan Cacing

Punca lain yang sering terjadi ialah jangkitan cacing. Bayi dan kanak-kanak yang berusia 12 bulan hingga 36 bulan menghadapi risiko yang besar untuk serangan parasit usus dan cacing. Jangkitan cacing boleh mengakibatkan muntah, cirit-birit dan hilang selera makan. Penting bagi ibu bapa untuk rujuk pada pakar perubatan sekiranya anak anda menghidapi jangkitan cacing.

  • Anemia

Jika bayi mempunyai zat besi yang rendah atau anemia, mereka akan mengalami hilang selera makan. Secara amnya, bayi yang mengalami anaemia akan berasa lemah dan penat sepanjang masa. Dalam kes ini, bayi perlu dibawa berjumpa pediatrik kerana ia boleh menjejaskan perkembangan bayi. Tawarkan juga makanan yang kaya dengan zat besi.

  • Vaksinasi

Vaksinasi boleh mengakibatkan suhu badan bayi meningkat. Suhu badan, diikuti dengan sakit akibat cucuk, boleh membuatkan bayi kurang berasa lapar.

  • Sembelit

Jika bayi mengalami sembelit, mereka mungkin tidak berasa lapar. Berikan bayi makanan yang kaya dengan serat untuk membantu pergerakan usus bayi.

CC: YOUBABY

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *