Dengan mengetahui kebaikan yang diperolehi ini mungkin dapat membantu anda yang sedang dilema untuk melakukan penyusuan badan atau memilih susu formula.

Tidak dinafikan lagi, susu ibu memberikan pemakanan optimum untuk bayi. Ia mempunyai jumlah nutrien yang tepat, mudah dicerna dan sedia ada.

American Academy of Pediatrics (AAP) mencadangkan agar penyusuan susu ibu secara eksklusif dilakukan selama 6 bulan.

Bahkan, proses penyusuan itu disaran diteruskan walaupun selepas pemberian makanan pejal sehinggalah bayi sekurang-kurangnya berusia setahun atau bersedia untuk bercerai susu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mengesyorkan agar penyusuan ini dilakukan sehingga bayi mencapai usia 2 tahun atau lebih lama kerana kebaikan penyusuan susu ibu buat si kecil.

Tempoh terbaik untuk memulakan penyusuan adalah seawal sejam selepas kelahiran bayi untuk manfaat yang terbesar.

Berikut 5 kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi:

1.BEKAL KHASIAT UNTUK BAYI

Susu ibu umumnya mengandungi semua keperluan bayi selama 6 bulan pertama kehidupan. Paling penting ia dalam jumlah yang tepat.

Pada hari-hari pertama selepas bersalin, payudara akan menghasilkan cecair pekat dan kekuningan yang dikenali sebagai kolostrum.

Ia tinggi protein, rendah gula dan mengandungi sebatian yang bermanfaat. Dalam bahasa ringkas, kolostrum adalah makanan luar biasa yang tidak dapat diganti dengan susu formula.

2.MENGANDUNGI ANTIBODI PENTING

Susu ibu kaya dengan antibodi yang membantu bayi melawan virus dan bakteria – ia amat penting untuk bulan-bulan pertama selepas dilahirkan.

Ini khususnya pada kolostrum, ia memberikan imunoglobulin A (lgA) dalam jumlah yang tinggi bersama beberapa antibodi lain.

Apabila ibu terdedah kepada virus atau bakteria, tubuh akan mula menghasilkan antibodi yang kemudiannya akan masuk ke dalam susu. Dari situlah terhasilnya sistem pertahanan untuk si manja!

3.MENGUTANGKAN RISIKO PENYAKIT

Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermakna bayi hanya diberikan susu badan sahaja. Ia dapat mengurangkan risiko bayi untuk jangkitan dan penyakit, termasuklah:

  • Jangkitan telinga tengah
  • Jangkitan saluran pernafasan
  • Selesema
  • Jangkitan usus
  • Kerosakan tisu usus
  • Sindrom kematian bayi mendadak (SIDS)
  • Penyakit alahan
  • Penyakit usus
  • Diabetes
  • Leukemia kanak-kanak

4.BERAT BADAN BAYI YANG SIHAT

Bayi yang diberi susu badan dikatakan lebih cenderung mempunyai berat seimbang, sekali gus mencegah masalah obesiti kanak-kanak.

Bayi yang menyusu biasanya akan mengatur kadar pengambilan susu sendiri.

Ini bermakna mereka hanya akan menyusu dan berhenti apabila kenyang. Keadaan ini sekali gus dapat mengembangkan pola pemakanan yang sihat.

5.MENJADIKAN ANAK LEBIH BIJAK

Dalam beberapa kajian menunjukkan perbezaan perkembangan otak antara bayi menyusu badan dan yang diberikan susu formula.

Bayi diberikan susu ibu mempunyai skor kecerdasan lebih tinggi dan kurang berkecenderungan untuk mengalami masalah tingkah laku atau pembelajaran pada masa hadapan.

Keadaan ini lebih ketara pada bayi pramatang yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk berdepan masalah perkembangan.

CC:hellodoktor