Ramai yang mempunyai pendapat berbeza mengenai pemakaian stokin semasa berpantang. Menurut kajian saintifik, pertama sekali, tujuannya adalah untuk mengelakkan kaki daripada menyentuh secara langsung ke lantai dan boleh menyebabkan badan menjadi sejuk. Maklumlah, badan kita yang belum sembuh sepenuhnya perlu mengekalkan suhu badan yang optimum. Seeloknya pakai setiap masa terutama sekali apabila kita perlu berjalan sekeliling rumah. Ianya juga bagi menyesuaikan tubuh badan kita kepada suhu optimum.

Bagaimana pula ketika sedang tidur atau sekadar baring di atas katil sambil menyusu? Pakai stokin ketika berpantang dapat mengelakkan urat kaki kita daripada bersimpul dan lagi satu untuk elak angin memasuki badan kita. Sebahagian ibu akan mula berasa tak bermaya, pening-pening lalat dan sebagainya. Ini yang dinamakan sebagai masuk angin. Bagi mengeluarkan angin, ibu terpaksa melakukan sesi urutan bersama bidan yang pakar. Masuk angin boleh menyumbang kepada kesakitan anggota tubuh badan dan hal ini tidak boleh dipandang remeh bagi mengelak sebarang komplikasi di kemudian hari.

Pemakaian stokin juga dapat membantu dalam mengelak ibu daripada terkena komplikasi yang dinamakan sebagai trombosis. Ianya bermaksud pembentukan darah beku di dalam saluran darah, yang menghalang aliran darah melalui sistem peredaran darah. Apabila saluran darah cedera (seperti proses melahirkan anak), badan kita menggunakan platelet dan fibrin bagi membentuk darah beku untuk menghentikan kehilangan darah. Dengan memakai stokin, sedikit sebanyak kita dapat juga mengelak daripada terkenanya trombosis ini.