KAEDAH MENJAGA LUKA EPISIOTOMI UNTUK MENGELAKKAN JANGKITAN

Episiotomi adalah pembedahan guntingan yang dibuat di antara faraj dan dubur (perineum). Ia digunakan untuk membesarkan faraj sebelum bersalin. Selepas bayi dilahirkan, jahitan digunakan untuk menutup insisi dan juga memperbaiki semua koyakan.

Merawat jahitan episiotomi semasa pemulihan selepas bersalin akan mengurangkan risiko jangkitan dan dapat membantu mengurangkan kesakitan. Menurut Dr Ivan Lee Kick Kit, KPJ Seremban Specialist Hospital, bagi menjalankan episiotomi, suntikan bius lokal akan diberikan. Hanya ketika kecemasan episiotomi, bius lokal tidak akan akan diberi. Proses menjaga luka dan menggalakkan penyembuhan luka episiotomi adalah tidak terlalu rumit.

Beberapa langkah di bawah boleh dilakukan oleh para ibu:

  • Tuala wanita harus ditukar setiap 2 hingga 4 jam
  • Kawasan perineum hendaklah dicuci sehingga benar-benar bersih setiap kali selepas membuang air
  • Kawasan episiotomi perlu sentiasa kering dan bersih
  • Larutan antiseptik yang dibekalkan hendaklah disapu pada tempat jahitan 2 hingga 3 kali sehari
  • Amalan pemakanan seimbang dan berkhasiat boleh menggalakkan proses penyembuhan luka

Info tambahan:

Sitz bath boleh dilakukan oleh para ibu dengan merendam bahagian faraj ke dalam larutan air suam yang dicampurkan dengan garam bagi membantu proses penyembuhan luka. Ia dapat mengurangkan ketidakselesaan dan kesakitan pada luka jahitan. Selain itu, ia juga dapat membantu menggalakkan proses penyembuhan dan membersihkan kawasan perineum.

Kredit gambar: Laman web mice-group.com