Assalamualaikum dan selamat pagi Mummies!

Cuaca pagi hari ini macam elok saja kan? Mendung dan berangin kadang-kadang. smile

Malam tadi bayi Mummies tidur pukul berapa? lewat atau lambat?

Mummies pernah terfikir tak, sebenarnya ada cara untuk bayi tidur sendiri tanpa kita perlu dodoi atau beri apa yang mereka mahu sebelum masuk tidur?

Haaa, kongsian kalini adalah tentang cara melatih bayi untuk tidur sendiri.

Selamat membaca Mummies!

___________________________________

PROSES TUMBESARAN BAYI

Proses tumbesaran adalah antara fasa penting dalam kehidupan seorang bayi. Ia memerlukan persekitaran yang sesuai untuk mereka membesar secara semula jadi.

Namun apabila bercakap mengenai waktu tidur, sesetengah ibu bapa khususnya mereka yang baru pertama kali melangkah ke alam keibubapaan, berdepan dengan masalah bayi yang sukar tidur.

Pelbagai cara sudah dicuba, tetapi si manja sukar untuk tidur tanpa disusukan atau didodoi sebelum tertidur.

Ia pastinya menjadi satu masalah kerana si kecil tidak mempunyai peluang untuk belajar cara menenangkan diri sehingga tertidur.

Seperti proses pembelajaran yang lain, sebagai contoh merangkak. Jika Mummies sentiasa mendukung bayi, si manja tidak berpeluang untuk belajar merangkak.

Ini kerana hampir kebanyakan masa bayi tidak berada di lantai untuk membolehkan dia memahami cara melakukannya.

Sama jugalah keadaannya dengan tidur, sekiranya si kecil sudah terbiasa didodoi dan disusukan sehingga terlelap, mana mungkin dia mengetahui cara menenangkan dirinya.

7 CARA MELATIH BAYI UNTUK TIDUR SENDIRI

1: BAWA MASUK BILIK AWAL WAKTU

Perkara paling utama dalam melatih bayi tidur sendiri adalah dengan membawa si manja untuk masuk ke bilik tidur lebih awal daripada waktu tidur.

Kaedah ini seolah-olah memberitahu si kecil bahawa sudah tiba masa untuk mereka tidur.

Ha, jika Mummies mengamalkan cara tidurkan bayi ini, ia secara tidak langsung dapat membantu membiasakan si kecil dengan rutin tidur awal.

Sebaiknya ketika di dalam bilik tidur, elakkan sebarang rangsangan yang membuatkan si kecil cergas seperti bunyi daripada televisyen yang kuat.

2: RUTIN SEJAK KECIL

Mummies pasti pernah mendengar rungutan sesetengah ibu bapa yang anak mereka sukar tidur awal.

Ini adalah disebabkan oleh kebiasaan sejak kecil untuk tidur lambat. Haa.. jangan terkejut jika pukul 12 tengah malam pun ada si kecil yang masih diusung berjalan di uptown.

Jadi untuk mengelakkan situasi seperti itu, Mummies harus menyedari kepentingan mendidik waktu tidur kepada anak sedari usia bayi lagi.

Lebih-lebih lagi bayi memerlukan masa tidur yang lebih lama berbanding individu dewasa.

Cara tidurkan bayi terbaik adalah dengan melatih mereka melelapkan mata pada waktu yang sama setiap hari.

Elakkan daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh merangsang kecergasan dan kecerdasan mereka sebelum tidur.

3: RUTIN TIDUR YANG SANGAT KONSISTEN

2 hingga 3 jam sebelum waktu tidur, anda amat disarankan untuk melakukan aktiviti yang tenang dan boleh merangsang otak si kecil untuk tidur.

Antara aktiviti yang boleh Mummies lakukan seperti memperdengarkan alunan zikir, bercerita, menyanyi atau sebarang perkara lain yang bersesuaian.

Sebolehnya lakukan aktiviti yang sama setiap kali tiba waktu tidur.

Hindari aktiviti melibatkan gajet seperti televisyen atau gajet. Ia tidak membantu merangsang si manja untuk tidur, sebaliknya lebih menjadikan mereka cergas.

4: ELAKKAN GANGGUAN KETIKA MENGANTUK

Biasanya apabila melihat bayi kelihatan mengantuk, apa yang anda lakukan? Membiarkannya atau mengusik mereka agar tidak tidur?

Jika Mummies  membiarkannya, ia adalah antara cara tidurkan bayi yang betul.

Apabila si manja tampak mulai lali dan hampir melelapkan mata, elakkan daripada terus bermain dengan mereka.

Jika boleh, sebaik sahaja mereka kelihatan letih, bawalah si kecil ke dalam bilik yang sunyi dan tenang.

Ini merupakan antara kaedah yang boleh dilakukan dalam melatih bayi tidur sendiri tanpa dipengaruhi oleh ibu bapa.

5: KURANGKAN TABIAT MENYUSU HINGGA TIDUR

Mendukung atau menyusukan bayi sehingga tertidur merupakan antara perkara yang sering dilakukan kebanyakan ibu bapa.

Jangan bimbang, ia tiada salahnya.

Tetapi jika dilakukan secara berterusan, si kecil mungkin tidak dapat belajar untuk tidur dengan sendirinya.

Jadi jika boleh, apabila bayi kelihatan hampir melelapkan mata atau keletihan, letakkan si manja di atas tilam untuk membolehkan dia menenangkan dirinya sebelum tertidur.

6: SEDIAKAN RUANG TIDUR YANG SELESA

Jika kita sebagai individu dewasa juga mahukan ruangan selesa untuk tidur, begitu jugalah keadaannya dengan si kecil.

Siapa yang boleh tidur dalam keadaan panas dan tidak selesa?

Sediakanlah ruangan tidur yang selesa dan tenang.

Hindari pencahayaan yang terlalu terang atau terlalu sejuk. Elakkan juga daripada memenuhi ruangan tidur si kecil dengan terlalu banyak barang mainan.

7: JADIKAN WAKTU TIDUR SEBAGAI PERKARA PENTING

Mesti ada yang bertanya kenapa waktu tidur si manja penting, bukan?

Ia bukan sahaja waktu untuk melelapkan mata, bahkan ia juga adalah waktu untuk tumbesaran otak si manja.

Bukan sekadar itu, waktu tidur si manja juga adalah waktu untuk ibu berehat.

Jika bayi sukar tidur, ia boleh menyebabkan wujudkan tekanan kepada ibu. Haaa…timbul masalah lain pula.

Cc: hellodoktor.com

https://hellodoktor.com/keibubapaan/bayi/penjagaan-bayi/7-tip-melatih-bayi-tidur-sendiri/

Written by Suraya Mothercare & Beauty

More From This Category

0 Comments

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *