Assalamualaikum dan selamat pagi Mummies!
Mummies pernah terfikir tak, posisi tidur yang mana adalah berbahaya bagi bayi bawah satu tahun?
Bayi suka tidur meniarap bukanlah perkara asing, bahkan ia boleh dikatakan menjadi posisi kegemaran buat si kecil semasa melelapkan mata. Tetapi malangnya ada risiko yang boleh terjadi jika anda membiarkan bayi tidur meniarap.
Teruskan pembacaan Mummies untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Selamat membaca Mummies!
_________________________________
BAYI TIDUR MENIARAP TIDAK SELAMAT?
Jawapan paling tepat, ya! Ia adalah tidak selamat untuk bayi tidur dalam posisi meniarap sebelum mencecah usia setahun.
Kenapa? Ini kerana posisi tersebut meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) – yang merupakan antara punca utama kematian bayi pada tahun pertama kehidupan mereka.
Walaupun terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada SIDS, tetapi bayi yang tidur secara meniarap boleh menjadi punca utama.
Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan persekitaran tidur si manja selamat dan mengelakkan daripada membiarkan bayi tidur meniarap.
POSISI TERBAIK BAGI BAYI 1 TAHUN KE BAWAH
- Secara menelentang
- Dalam bilik berkongsi
- Pada permukaan tempat tidur rata dan padat
- Dalam bassinet atau katil bayi tanpa ‘objek lembut’ di sekelilingnya
‘Objek lembut’ adalah melibatkan item seperti bantal dan selimut kepada stuffed animal – di mana semua berisiko menyebabkan bayi sesak nafas. Ini bermakna, selain kain cadar yang dipasang, katil bayi atau buaiyan bayi perlulah kosong.
Keadaan seperti ini haruslah sentiasa dipastikan tidak kira untuk tidur siang atau semasa menidurkan mereka pada waktu malam.
Di samping itu, ada penyelidik turut menyatakan apabila membiarkan bayi tidur meniarap, ia meningkatkan peluang untuk mereka menyedut nafas mereka yang telah dihembus.
Risiko untuk terjadinya situasi tersebut semakin meningkat apabila bayi tidur pada permukaan lembut, bersama stuffed animal atau terdapat bantal berhampiran muka mereka.
Apabila bayi menyedut semula nafas yang dihembus, ia akan menurunkan paras oksigen dalam badan dan meningkatkan tahap karbon dioksida.
Sekiranya anda masih mementingkan keselesaan mereka, salah satu cara terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan membedung si kecil. Tindakan ini memberikan mereka keselesaan dan kekal selamat semasa tidur.
MASA YANG SESUAI BAGI BAYI TIDUR MENIARAP
Biasanya selepas si manja berusia setahun, risiko terdedah kepada SIDS akan menurun secara mendadak pada bayi yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Ia menjadi masa sesuai untuk membiarkan si manja tidur meniarap atau mengiring.
Pasti akan ada yang bertanya kenapa penting untuk menunggu si manja mencapai tahap usia tertentu, betul tak?
Ini kerana apabila bayi semakin membesar dan dapat bergerak sendiri, mereka mempunyai kekuatan mencukupi untuk menggulingkan diri kembali ke posisi yang selamat.
Pun begitu, sememangnya terdapat bayi yang mula mengembangkan beberapa kemahiran mobiliti lebih awal.
Sebagai contoh, sekitar usia 4 bulan – ada bayi yang mula berguling dari sisi ke sisi dan daripada meniarap ke terlentang. Dan menjelang usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah boleh berguling ke kedua-dua arah.
_________________________________
KESIMPULAN
Jadi Mummies dah faham kan, posisi terbaik adalah secara menelentang bagi bayi.
Haaa, jadi Mummies harus berhati-hati dalam membiarkan bayi tidur tanpa pengawasan ibubapa atau penjaga. Takut-takut ada yang kurang ilmu, mereka alihkan posisi bayi menjadi mengiring atau dalam posisi meniarap yang berbahaya bagi bayi bawah satu tahun!
Walaupun bayi suka tidur meniarap, tetapi biarlah posisi ini hanya ketika berpelukan dengan anda – ibu dan ayahnya. Pastikan mereka sentiasa diletakkan atau ditidurkan secara menelentang.
Percayalah, fasa ini tidak lama. Pejam-celik-pejam-celik, si kecil akan semakin membesar dan anda tidak perlu lagi risau mengenai keadaan ini.
Cc: hellodoktor.com
https://hellodoktor.com/keibubapaan/bayi/tahun-pertama-bayi/bayi-tidur-meniarap-bahaya/
No comment yet, add your voice below!