ADAKAH BAYI KERAP SEDU PETANDA NAK BESAR?
Assalamualaikum dan selamat petang semua!
Harini Suraya Mothercare nak share tentang punca bayi kerap sedu dan cara untuk hilangkannya.
Mencari cara untuk menghilangkan sedu bayi mommies? Tetapi adakah mommies tahu mengapa bayi sedu? Fahami perkongsian kali ini, ada penjelasannya.
_________________________
MENGAPA BAYI SEDU?
Masalah sedu pada bayi baru lahir selalunya berpunca daripada terlalu banyak memberi bayi susu, menghisap terlalu cepat atau menelan terlalu banyak udara – punca perut bayi kembung.
Apabila perut ada angin, ia akan menolak diafragma yang akan menyebabkan kekejangan dan terjadinya sedu!
Kadangkala bayi boleh mengalami sedu akibat perubahan mendadak dalam suhu perut. Eh, bagaimana pula tu?
Sebagai contoh, mommies memberi bayi susu sejuk, beberapa minit kemudian diberi bubur panas. Gabungan ini sebenarnya boleh menyebabkan sedu pada bayi tau mommies!
1. Gastroesophageal reflux puncanya
Selain punca yang disebabkan oleh penyusuan atau pemakanan, dalam sesetengah kes, sedu yang berterusan pada bayi boleh disebabkan oleh faktor lain.
Puncanya ialah penyakit gastroesophageal, juga dikenali sebagai GER (gastroesophageal reflux).
Apabila bayi mengalami refluks, beberapa makanan tercerna dan cecair berasid dari perut akan mengalir kembali ke esofagus, menyebabkan sensasi rasa terbakar dan ketidakselesaan.
Oleh sebab esofagus melalui diafragma, ia boleh menyebabkan kerengsaan dan menyebabkan bayi mommies lebih kerap sedu.
Selain sedu, bayi yang mengalami GER juga akan mengalami gejala lain seperti:
- Bayi lebih kerap menangis dan lebih mudah meragam
- Bayi melengkungkan badan secara berlebihan semasa atau selepas menyusu
- Bayi lebih kerap terjeluak
- Batuk
Jika mommies melihat beberapa simptom di atas dan mengesyaki bayi mommies tersedu akibat refluks ini, berjumpalah pakar pediatrik untuk pemeriksaan. Berita baiknya ialah keadaan ini boleh dirawat.
2. Tempoh masa sedu
Bayi yang baru lahir mungkin mengalami sedu beberapa kali sehari yang boleh berlanjutan selama 10 minit atau lebih.
Secara umum, selagi anak mommies aktif, gembira dan tidak kelihatan selesa, tiada apa yang perlu dirisaukan.
Mommies boleh membiarkan sedu hilang dengan sendirinya. Jika keadaan itu berterusan dan bayi mommies berdepan kesukaran bawalah mereka berjumpa doktor dengan segera tau!
_________________________
BOLEHKAH MOMMIES BARINGKAN BAYI YANG TENGAH SEDU?
Walaupun mommies tahu kenapa bayi mengalami sedu, sudah tentu perasaan risau itu masih ada kan? Malah, persoalan yang mungkin timbul: adakah boleh untuk baringkan bayi yang sedang tersedu?
Dalam kebanyakan kes, yang terbaik adalah baringkan bayi tersedu dalam posisi tidur menelentang.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, jika bayi tersedu kerana GER, mereka mungkin mempunyai kecenderungan untuk terjeluak atau muntah. Dalam keadaan ini, adalah lebih baik untuk memastikan mereka tegak.
Jika mommies mempunyai sebarang kebimbangan, dapatkan nasihat doktor tau!
_________________________
CARA UNTUK HILANGKAN SEDU BAYI
Mommies sudah tahu punca sedu boleh terjadi kan? Sekarang mari kita lihat apakah cara yang boleh dilakukan untuk meredakannya.
Petua untuk hilangkan sedu bayi menyusu badan
Jika bayi mommies diberi susu ibu secara eksklusif, ingat petua ini untuk mencegah sedu:
- Sendawakan bayi apabila bertukar dari satu payudara ke sebelah yang lain.
- Jika penyebabnya adalah bayi mommies menelan terlalu banyak udara, mommies mungkin boleh memeriksa lekapan puting bayi. Pastikan bibir bayi mommies melekap di sekeliling areola, bukan hanya puting.
CARA HILANGKAN SEDU BAYI MENYUSU BOTOL
Berikut ialah kaedah untuk membantu menghilangkan sedu pada bayi yang diberi susu botol:
Mommies perlu berehat sebentar semasa menyusu untuk membiarkan bayi sendawa dan meneruskan penyusuan selepas berehat antara 5-10 minit.
Cuba betulkan semula kedudukan botol untuk mengelakkan bayi menelan udara yang berlebihan.
Mengapa bayi sedu: Petua lain
Sama ada menyusu badan atau botol, petua berikut boleh membantu menghentikan sedu bayi:
Dudukkan bayi tegak selama 20-30 minit selepas setiap penyusuan.
Jika punca sedu tidak dapat ditentukan, gosokkan belakang bayi atau melakukan henjutan (rocking) lembut boleh membantu.
_________________________
PERKARA YANG KITA PERLU ELAKKAN
Terdapat beberapa perkara yang harus dielakkan sepenuhnya apabila cuba meredakan sedu bayi mommies, seperti:
- Jangan sekali-kali mengejutkan atau menakutkan bayi untuk menghilangkan sedu.
- Jangan letak kain basah di dahi bayi, ini juga tidak akan membantu.
- Menahan nafas adalah satu cara yang mommies tidak boleh cuba pada bayi – ia berbahaya!
- Satu cara ialah dengan menarik lidah bayi dan menekan pada ubun-ubun atau fontanelle anterior (bahagian lembut kepala bayi, tetapi ini boleh mencederakan mereka).
Mengapa bayi sedu: Apa yang perlu dirisaukan?
Masalah sedu yang dialami oleh si manja adalah perkara biasa. Malah, ini boleh berlaku semasa bayi masih dalam kandungan lagi.
Walau bagaimanapun, jika sedu kerap berlaku dan menyebabkan bayi mommies tidak selesa dan mudah meragam, mommies harus membawa bayi berjumpa doktor. Malah, ia boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain.
Mommies juga disarankan berjumpa dengan doktor jika sedu mengakibatkan tidur bayi si manja terganggu atau jika ia berterusan terjadi selepas ulang tahun kelahiran bayi pertama.
Haa mommies dah tahu kan punca-punca bayi sedu dan cara untuk hilangkannya? Semoga bermanfaat!
cc: hellodoktor
https://hellodoktor.com/keibubapaan/bayi/penjagaan-bayi/kenapa-bayi-sedu/
No comment yet, add your voice below!