Aktiviti mengurut bayi sudah menjadi tradisi turun temurun kerana kelebihannya terhadap tahap kesihatan bayi serta cara untuk membina hubungan antara ibu bapa dan si manja. Mengurut bayi terbukti dapat menenangkannya supaya mudah tidur dan melancarkan sistem penghadaman.

Bilakah Bayi Boleh Diurut?

Asalkan anak sudah cukup bulan dan sihat, tiada masalah untuk anda mulakan urutan pada bayi. Bayi pramatang tidak digalakkan untuk diurut sehingga keadaan bayi sudah benar-benar stabil.

Mulakan dengan anggota badan yang kurang sensitif seperti tapak kaki sebelum beralih ke bahagian peha, perut, dan lain-lain.

5 Tips Mengurut Bayi

1. Pilih Minyak Yang Sesuai

Minyak semulajadi seperti minyak zaitun mampu membekalkan nutrisi terbaik pada kulit halus bayi. Sesudu minyak sudah mencukupi untuk urutan seluruh badan bayi. Elakkan minyak beraroma sehingga bayi berumur sekurang-kurangnya tiga bulan.

Aroma yang ada pada minyak dikhuatiri mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kulit lembut bayi. Losyen bayi juga boleh digunakan sebagai alternatif kepada minyak untuk tujuan mengurut.

2. Guna Urutan Lembut

Walaupun mengurut bayi ada teknik dan caranya yang tersendiri, namun memadai untuk para ibu bapa mengurut dengan perlahan dan lembut. Urutan tiga kali pada tempat yang sama sehingga merangkumi semua bahagian bayi sudah mencukupi.

Bahagian kaki merupakan tempat paling kurang sensitif untuk bayi. Tapi, sesetengah pakar berpendapat refleksologi kaki saja boleh memacu kesihatan pada tubuh bayi seluruhnya. Oleh itu, kawasan tersebut adalah yang paling sesuai untuk memulakan urutan jika ibu masih teragak-agak dan ‘takut’ mengurut bahagian badan bayi yang masih ‘fragile’.

3. Tetapkan Waktu Rutin

Bayi lebih mudah menerima urutan sekiranya dilakukan pada waktu yang sama setiap hari. Rutin harian ini juga dapat membantu bayi mengagak dan mengatur waktu tidur mereka dengan lebih baik.

2 waktu yang paling sesuai untuk mengurut bayi adalah:

  • Sebelum tidur malam (sebelum menyusu) untuk melancarkan sistem penghadaman dan memudahkan bayi tenang untuk tidur.
  • Selepas mandi kerana ketika itu bayi berada pada keadaan paling selesa.

4. Berhenti Mengurut Jika Bayi Mula Memberi ‘Isyarat’

Agak sukar untuk mengagak bila kita sudah cukup memberi urutan padanya. Apabila sudah biasa kita sudah boleh membaca gerak gerinya.

Bayi memberi isyarat apabila dia mula hilang tumpuan, nampak kurang selesa, dan mula membengkokkan badan. Ia mungkin petanda bayi menerima rangsangan lebih dari perlu (overstimule), bosan, letih, atau ada keperluan lain. Hentikan sesi mengurut dan cuba lagi pada sesi seterusnya.

5. Bedung Juga Membantu

Kaedah membedung baik untuk bayi kerana dapat mewujudkan suasana selamat dan mengekalkan kehangatan pada tubuh bayi.

Bayi juga dapat dihindarkan daripada terkejut akibat terlebih rangsangan dari persekitarannya. Dengan cara ini, sesi mengurut dapat dilakukan dengan lebih lancar dan bayi lebih mudah menerimanya.

CC: Pantang Plus