Umumnya, banyak faktor boleh mencetuskan keguguran yang terjadi dan ada kalanya puncanya tidak dapat dikenal pasti.

Pun begitu, ada yang mempercayai pengambilan beberapa jenis makanan boleh menjadi punca keguguran di awal kehamilan. Ini antaranya:

1. NANAS

Buah ini mengandungi bromelain – yang melembutkan serviks dan memulakan kontraksi bersalin sebelum masanya – kesannya boleh berlaku keguguran. Namun keadaan ini hanya boleh berlaku jika buah nanas diambil dalam jumlah banyak yang boleh menyebabkan pendarahan.

2. LIDAH BUAYA

Lidah buaya atau aloe vera mengandungi antrakuinon – sejenis julap yang boleh menyebabkan pengecutan rahim dan pendarahan pelvis. Keadaan itu sekali gus menjadi punca keguguran.

3. KETAM

Ketam kaya dengan sumber kalsium tetapi dalam masa sama ia juga mengandungi paras kolesterol yang tinggi. Ia boleh menyebabkan rahim mengecut dan mengakibatkan pendarahan dalaman serta keguguran.

4. HATI HAIWAN

Hati haiwan kaya dengan vitamin A. Namun pengambilan dalam jumlah yang tinggi oleh wanita mengandung boleh menggalakkan pengumpulan retinal secara perlahan-lahan dan boleh menjejaskan kesihatan bayi.

5. BUAH KELOR ATAU MUNGGAI

Ibu mengandung perlu berhati-hati semasa memakan buah kelor walaupun ia kaya zat besi, kalium dan vitamin. Ini kerana ia terdiri daripada alpha-sitosterol yang boleh memudaratkan kehamilan.

6. BETIK

Betik muda mempunyai komponen yang bertindak sebagai julap dan boleh mengakibatkan kelahiran pramatang. Buah betik juga kaya dengan enzim yang boleh menyebabkan pengecutan rahim sehingga mengakibatkan keguguran.

7. HERBA

Ini bukan herba seperti dalam ubat gugur kandungan di kedai ubat Cina. Herba yang dimaksudkan adalah rempah penambah rasa dalam makanan. Rempah seperti fenugreek, asafoetida, bawang putih, angelica dan pudina sebaiknya dielakkan semasa kehamilan. Ini kerana, ia boleh merangsang rahim dan mengakibatkan kontraksi, kelahiran pramatang dan keguguran. Ia juga mengakibatkan penipisan darah dan pendarahan semasa kehamilan.

8. KENTANG BERPUCUK

Kentang yang sudah tumbuh pucuknya tidak boleh dimakan oleh ibu hamil kerana mengandungi solanin – boleh menghalang pertumbuhan janin.

9. KAFEIN

Makanan atau minuman dengan kandungan kafein tinggi boleh meresap ke dalam susu ibu dan menjejaskan bayi. Jadi elakkan!

10. TAUGEH MENTAH

Pucuk mentah seperti taugeh, alfalfa, lobak dan taugeh mengandungi salmonella dan ia tidak boleh dimakan secara mentah.

11. SAYURAN YANG TIDAK DIBASUH & DIKUPAS KULITNYA

Sayuran mentah atau tidak dibasuh mempunyai toxoplasma gondii – parasit yang menyebabkan toxoplasmosis. Jika ia menjangkiti wanita hamil, ia boleh menularkannya kepada bayi dalam kandungan.

12. IKAN TINGGI KANDUNGAN MERKURI

Elakkan pengambilan ikan yang mengandungi kandungan merkuri tinggi seperti tenggiri dan tuna mata besar. Kandungan merkuri yang tinggi boleh menjejaskan perkembangan otak dan sistem saraf bayi.

13. PRODUK TENUSU MENTAH

Sebarang produk susu tidak dipasteurisasi mempunyai bakteria pembawa penyakit seperti Listeria monocytogenes, yang boleh membahayakan kehamilan.