Buah avokado kaya dengan lemak baik, vitamin dan mineral lain yang memberikan kesan positif kepada kehamilan. Avokado selamat untuk dimasukkan ke dalam diet ibu kerana ia mengandungi jumlah nutrien utama tinggi – folat dan kalium, penting untuk pertumbuhan dan perkembangan janin.

Berikut antara beberapa manfaat buah avokado untuk anda dan juga bayi dalam kandungan:

1. DIPERKAYA DENGAN LEMAK SIHAT

Lemak sangat penting semasa hamil – kalori tambahan ini diperlukan untuk pertumbuhan janin dan lemak sihat adalah yang terbaik. Jadi antara khasiat avocado untuk ibu hamil adalah kandungan lemak mono tak tepu yang akan membantu meningkatkan pengambilan lemak sihat. Buah ini juga mengandungi asid lemak omega-3 dan omega-6 yang bermanfaat untuk anda dan janin.

2. MEMBANTU PENGHADAMAN ANTARA KHASIAT AVOKADO UNTUK IBU MENGANDUNG

Ketidakselesaan perut dan sembelit ketika hamil adalah perkara biasa. Kandungan serat dan magnesium yang tinggi dalam avokado dapat membantu mengatasi keadaan ini dengan melancarkan penghadaman dan memudahkan pergerakan usus.

3. CEGAH ANEMIA

Avokado boleh membantu mengatasi masalah kekurangan zat besi pada wanita hamil – berisiko menyebabkan anemia, kerana kandungan mineral ini yang tinggi.

4. ATASI MORNING SICKNESS

Mabuk pagi boleh menyebabkan anda mengalami keletihan dalam mengharungi trimester pertama. Berita baiknya, vitamin C dan B6 yang terdapat dalam avokado boleh mengurangkan gejala morning sickness dan membantu tubuh menyerap vitamin dalam buah-buahan dan sayuran dengan lebih baik.

5. KAYA ANTIOKSIDAN

Antioksidan adalah sebatian yang melindungi diri daripada kerosakan sel dan avokado merupakan buah tinggi antioksidan karotenoid lutein – sumber baik untuk perkembangan mata dan fungsi otak janin. Antioksidan juga terkandung dalam susu ibu dan jumlahnya dikaitkan dengan pengambilan nutrisi oleh ibu – makan lebih banyak avokado sepanjang kehamilan dan fasa penyusuan, maka tahap karotenoid dalam susu badan juga akan meningkat.

6. MELEGAKAN KEKEJANGAN KAKI

Kalium (dan kalsium) dapat meredakan kekejangan, isu biasa semasa kehamilan. Bagi mengatasi keadaan ini ambillah avokado yang mempunyai kandungan kalium lebih tinggi berbanding pisang dan ketidakselesaan pada kaki anda akan dapat diatasi.

7. MERANGSANG PERKEMBANGAN OTAK JANIN

Janin yang sedang membesar memerlukan lemak untuk mengembangkan otak serta sarafnya dengan cara sihat. Zat besi dalam avokado juga penting untuk bayi dalam kandungan bagi merangsang perkembangan otak, saraf dan sel darah merah yang betul.

8. RENDAHKAN RISIKO BERAT BADAN BERLEBIHAN

Avokado mengandungi serat makanan yang tinggi dan sekali gus dapat mengurangkan kemungkinan pertambahan berat badan tidak diingini. Kandungan serat yang tinggi, lemak sihat dan bernutrisi turut dapat mewujudkan rasa kenyang, membolehkan anda kekal bertenaga sepanjang hari sambil mengekalkan berat seimbang untuk anda dan bayi.

9. KURANGKAN RISIKO DIABETES KEHAMILAN

Sekali lagi khasiat buah avocado untuk ibu mengandung adalah sumber serat tinggi yang memberikan manfaat termasuklah mengurangkan risiko diabetes semasa mengandung.

10. BANTU KEKALKAN TAHAP TEKANAN DARAH SEIMBANG

Avokado adalah buah kaya magnesium dan kalium – nutrien penting untuk pengawalan tekanan darah yang sihat. Semasa mengandung, pengambilan makanan tinggi kalium dapat membantu mengurangkan risiko mendapat hipertensi semasa hamil.

11. MUDAH DIMASUKKAN DALAM DIET HARIAN

Perkara terakhir yang anda ingin lakukan adalah menghabiskan masa merancang diet sihat. Selain kaya khasiat untuk ibu mengandung, avokado juga pilihan yang terbaik kerana ia ‘serba boleh’ untuk ditambah ke dalam pelbagai makanan atau dijadikan hidangan snek sihat.