Skip to content

TIPS JAGA ANAK HFMD, PERKONGSIAN OLEH DOKTOR!

KENALI ANAK MOMMIES YANG TERKENA HFMD!

Assalamualaikum dan selamat pagi semua!

Harini Suraya Mothercare nak share tentang cara-cara yang mommies boleh lakukan untuk menangani anak yang terkena HFMD.

Haa mommies tahu tak apa tu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)? Dalam artikel kali ini, mommies akan tahu tanda-tanda HFMD dan rawatan yang dikongsi oleh pakar tau!

_________________________

PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT

 

Tabiat si manja yang memasukkan segala-galanya ke dalam mulut boleh meningkatkan risiko penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Penyakit berjangkit ini sangat menular, tetapi masih ramai ibu bapa yang tidak memahami dengan jelas tanda-tanda HFMD dan langkah rawatan yang mommies boleh lakukan.

Untuk membantu ibu bapa lebih memahami HFMD, Ketua Jabatan Pediatrik di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Erwin Khoo berkongsi tiga fakta penting tentang HFMD ini bersama dengan garis panduan berguna yang boleh membantu dan diaplikasikan dalam amalan.

_________________________

FAHAMI TANDA HFMD

HFMD ialah contoh viral exanthem, iaitu ruam atau radang pada kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus.

Tanda-tanda biasa HFMD termasuk demam, luka dalam mulut, dan ruam yang cenderung muncul pada tangan, kaki, lutut, siku, dan punggung.

Menurut Dr Erwin, virus yang menyebabkan HFMD biasanya adalah virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71.

“Virus ini boleh ditemui dalam saluran pernafasan dan najis, serta dalam lepuh berair yang terbentuk pada tangan dan kaki,” katanya. Virus ini kekal berjangkit pada permukaan keras selama beberapa hari.”

Jelasnya, tempoh perpindahan biasanya berlangsung dari 3 hingga 7 hari dan boleh bertahan sehingga 2 minggu.

Keadaan ini memudahkan penularan HFMD antara orang yang bersentuhan rapat, apabila berkongsi peralatan atau mainan, atau apabila kebersihan tangan tidak betul, terutamanya selepas rutin menukar lampin.

HFMD sering dikaitkan dengan kanak-kanak kerana kebanyakan jangkitan berlaku pada kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Tetapi realitinya ialah ia juga boleh menjangkiti orang dewasa dan menghantar virus kepada orang lain.

_________________________

CARA MERAWAT HFMD DENGAN MENINGKATKAN AMALAN KEBERSIHAN

Untuk mengelakkan penularan HFMD, ibu bapa dan penjaga harus mengamalkan kebersihan tangan yang baik, terutamanya jika anak menghidap HFMD seperti:

  • Basuh tangan dengan kerap
  • Gunakan gel pembersih tangan (jika tiada sumber air tersedia)
  • Sentiasa bersihkan peralatan rumah dengan disinfektan (basmi kuman)
  • Elakkan berkongsi makanan atau peralatan
  • Jangan sentuh mata atau hidung

Anak yang dijangkiti harus berehat di rumah untuk mencegah penyebaran jangkitan.

Bagaimanapun, langkah ekstrem seperti mengasingkan anak bersendirian di dalam bilik adalah agak melampau dan tidak diperlukan kerana virus itu tidak merebak melalui udara seperti jangkitan saluran pernafasan lain.

_________________________

TIADA UBAT ATAU RAWATAN KHUSUS UNTUK MERAWAT HFMD

Dr Erwin menjelaskan lagi bahawa walaupun terdapat banyak virus berbeza yang menyebabkan HFMD, tiada rawatan atau ubat khusus untuk melegakan simptom. Terdapat hanya kaedah untuk melegakan gejala.

Beliau juga memberi amaran supaya tidak menggunakan beberapa rawatan biasa seperti mandi dalam larutan garam kasar atau berendam dalam air yang mengandungi enzim kerana ia boleh menyebabkan kerengsaan kulit.

KAEDAH RAWATAN DI RUMAH

Berikut ialah beberapa remedi rumah untuk HFMD yang boleh dicuba oleh ibu bapa:

  • Untuk mengurangkan simptom HFMD seperti demam, sakit, dan ulser mulut, mommies boleh memberi ubat paracetamol kepada anak atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs). Tetapi ingat untuk mendapatkan nasihat pakar pediatrik anak sebelum memberi anak mommies NSAIDs.
  • Beri anak-anak makanan yang mudah ditelan seperti sup dan bubur untuk menggantikan makanan pejal yang perlu dikunyah.
  • Beri anak air minuman atau jus kegemaran mereka untuk mengelakkan dehidrasi
  • Legakan ulser dengan kudapan sejuk seperti ais krim, yogurt dan agar-agar. Menggunakan ubat kumur tanpa alkohol dan gel mulut juga boleh membantu.
  • Mandi dengan kerap dan keringkan perlahan-lahan dengan tuala untuk mengelakkan lepuh pecah (jika ada). Elakkan sabun mandi dan penyental kasar yang boleh merengsakan kulit
  • Jika boleh, elakkan memasang penghawa dingin pada waktu malam. Malah, ulser mulut boleh menjadi semakin menyakitkan kerana kekurangan air liur akibat persekitaran yang lebih kering.
  • Jika panas, gunakan pelembap (humidifier) atau sediakan semangkuk air untuk memastikan udara sentiasa lembap.

Jika kesakitan menghalang anak daripada berehat, dapatkan nasihat doktor tentang menggunakan ubat penahan sakit walaupun anak mommies tidak demam.

_________________________

TERDAPAT RISIKO KOMPLIKASI JIKA MOMMIES MENGABAIKAN TANDA-TANDA HFMD

Dalam kebanyakan kes, remedi rumah yang mengandungi ubat-ubatan tanpa preskripsi sudah cukup untuk melegakan simptom seperti demam, ruam atau bintik merah pada tapak tangan atau kaki, mahupun ulser mulut.

Dr Erwin berkata, walaupun bintik tidak menyebabkan kegatalan, namun ulser dalam mulut boleh menyakitkan dan menyebabkan anak enggan makan atau minum.

“Penyakit itu, jika tidak dirawat, boleh menyebabkan dehidrasi dan dalam kes yang teruk, memerlukan rawatan perubatan,” katanya.

_________________________

BERI PERHATIAN KEPADA TANDA-TANDA HFMD YANG SERIUS!

Ibu bapa harus mengenali tanda-tanda dehidrasi teruk pada anak seperti kurang membuang air kecil, mulut kering, dan menangis tanpa air mata. Pastikan mommies membawa mereka untuk dapatkan rawatan perubatan segera.

Bawa anak mommies berjumpa doktor jika anak mengalami simptom seperti pernafasan cepat, kekeliruan, mengantuk, pening, kebas leher, sawan, demam lebih dari 3 hari, dan jika anak tidak mahu makan atau minum.

Dalam kes yang jarang berlaku, HFMD boleh menyebabkan meningitis virus. Sebaik-baiknya, ibu bapa perlu membawa anak mereka berjumpa doktor untuk mengelakkan komplikasi ini.

Jika mommies tidak pasti tentang tanda-tanda HFMD, dapatkan rawatan perubatan dengan segera tau!

Semoga bermanfaat!

cc: hellodoktor

https://hellodoktor.com/keibubapaan/kesihatan-anak/penyakit-berjangkit/tanda-tanda-hfmd/

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment