Bunyinya macam kelakar, tapi hanya ibu-ibu menyusu yang faham betapa stresnya apabila bayi hanya mahu menyusu pada sebelah payudara saja.
Mana tidaknya, sebelah payudara akan berasa ringan, manakala sebelah lagi akan berasa terlalu penuh. Sampai leaking dan ada kalanya bengkak. Kalau berterusan, ia tentu akan menyukarkan urusan harian dan boleh menjadi punca mastitis.
Jika anda mengalaminya, cuba semak 5 perkara ini.
5 SEBAB BAYI HANYA MAHU MENYUSU DI SEBELAH PAYUDARA
Berikut adalah antara punca bayi lebih gemar menyusu di sebelah payudara saja.
1. Masalah Untuk Melekap Dengan Betul
Jika ini kali pertama anda menyusu, anda mungkin mengalami masalah puting tenggelam.
Bayi baru lahir terutamanya masih belajar untuk mendapatkan lekapan yang betul (good latch). Maka secara semulajadinya mereka akan memilih payudara yang lebih mudah dihisap.
Seperkara lagi, bayi juga lebih susah menghisap puting pada payudara yang terlalu penuh dan bengkak.
2. Lebih Serasi Dengan Aliran Susu
Payudara yang lebih digemari oleh bayi mungkin memiliki susu yang lebih laju atau perlahan, sesuai dengan kecenderungan bayi mengikut umur tertentu.
Jika bayi masih kecil, mereka mungkin sukar meminum daripada payudara yang beraliran terlalu laju, dan begitulah pula sebaliknya.
3. Baru Lepas ‘Cucuk’
Jika bayi tiba-tiba tidak mahu menyusu pada sebelah bahagian payudara, mungkin faktor yang menjadi punca kepada masalah ini bukanlah payudara itu, tetapi disebabkan oleh keselesaan posisi semasa menyusu.
Kadangkala, bayi berasa tidak selesa untuk dipegang pada sebelah bahagian selepas melalui vaksinasi atau imunisasi. Atau ada kalanya mungkin juga bayi terkena jangkitan pada sebelah telinganya.
4. Kebiasaan Ibu
Selain faktor di atas, tabiat bayi ini mungkin berpunca daripada kebiasaan ibu. Misalnya, jika ibu merasa paling selesa menggendong bayi dengan tangan kiri, maka bayi cenderung untuk lebih banyak menyusu pada sisi tersebut.
Mungkin juga ibu cepat lenguh apabila menyusukan pada bahagian kanan, maka secara tidak sengaja, ibu sendiri telah memendekkan sesi penyusuan pada sisi tersebut.
5. Masalah Kesihatan Ibu
Memang ada kes di mana bayi tidak mahu menyusu pada satu bahagian payudara disebabkan kanser. Ini kerana, kanser payudara boleh menjejaskan penghasilan susu.
Walaubagaimanapun, kes seperti ini adalah begitu terpencil. Tapi, jika anda mengesyaki sebarang ketulan yang luarbiasa dan mempunyai sejarah kanser dalam keluarga, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
JANGAN RISAU, IA ADALAH NORMAL
Selagi bayi anda mendapat cukup susu dan aktif seperti biasa, anda tidak perlu begitu risau tentang hal ini.
Namun, ibu pasti berasa tidak selesa kerana berasa kurang seimbang pada payudara. Jika bayi masih tidak mahu menyusu di sebelah lagi payudara, pastikan anda mengepam atau memerah susu pada payudara tersebut untuk memastikan produksi susu tidak menjadi semakin perlahan atau terus terhenti.
Untuk memujuk bayi, cuba tawarkan payudara yang ‘kurang digemari’ ketika bayi berasa lapar atau masih mengantuk. Variasikan juga posisi menyusu yang berbeza untuk membantu bayi berasa lebih selesa.
CC:siraplimau
No comment yet, add your voice below!