Skip to content

SAKIT BELAKANG BADAN SELEPAS BERSALIN/KETIKA MENYUSU JANGAN DIBIARKAN, IBU CUBA TIPS INI!

Kehadiran cahaya mata mengubah kehidupan ibu sepenuhnya. Tidak hanya rutin harian, malah dalam aspek kesihatan tubuh badan juga. Ramai ibu mengadu sakit belakang badan selepas bersalin sehingga kadang-kadang rasa tulang belakang seperti dipatah-patahkan.

Jika ia berlaku pada anda ketika ini, jangan risau kerana ia adalah perkara normal. Ada beberapa penyebab sakit belakang badan ini berlaku dan ibu hendaklah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah ini daripada berlarutan.

Sakit belakang badan selepas bersalin dan ketika menyusukan bayi

Jika anda sedang mengandung atau menyusukan anak, masalah sakit belakang badan merupakan perkara normal dan sering terjadi. Berikut beberapa punca sakit belakang yang ramai tidak sedar:

#1. Hormon relaxin dilepaskan ketika hamil

Ketika berbadan dua, hormon yang dikenali sebagai relaxin akan dilepaskan. Hormon tersebut melegakan sendi dan ligamen di bahagian pinggang pelvis supaya ada lebihan ruang untuk melahirkan anak.

Relaxin juga memberi kesan pada semua sendi lain dalam badan, mengakibatkan ketidakstabilan dan menjejaskan postur tubuh anda.

Ia juga mengakibatkan pendedahan yang mudah terhadap penjajaran tidak seimbang pada sendi, keradangan dan kecederaan.

Bukan itu sahaja, wanita yang pernah mengalami sakit belakang sebelum atau selepas kehamilan lebih cenderung mengalami sakit belakang selepas bersalin. 

#2. Berat badan bayi yang bertambah

Apabila bayi semakin meningkat usia, beratnya bertambah dan boleh menyebabkan ramai ibu mengalami sakit belakang.

Berat berlebihan menyebabkan otot perlu bekerja lebih kuat dan meningkatkan tekanan pada sendi. Menguruskan bayi boleh memberikan tekanan kepada belakang tubuh.

Asalnya, anda mungkin mengangkat atau mendukung bayi seberat 3 hingga 4kg. Apabila bayi mencecah usia setahun, beratnya dianggarkan 8kg.

Kemudian, beratnya meningkat 11 – 13kg. Jadi, kesemua berat ini menambah tekanan kepada belakang tubuh ibu!

#3. Salah gaya dan posisi ketika menyusu badan

Kebiasaannya para ibu tidak menyedari yang sebenarnya mereka sendiri menjadikan masalah sakit belakang lebih teruk dengan mengabaikan posisi menyusu yang betul.

Seandainya tersalah posisi, ini boleh mengakibatkan tekanan kepada leher dan otot bahagian atas belakang badan sewaktu kita menunduk.

#4. Kesan suntikan epidural

Menurut Dr Aminudin Mohamed, Pakar dari Jabatan Ortopedik, Hospital Columbia Asia, Setapak kebanyakan ibu akan kerap berasa sakit belakang selepas pengambilan epidural ketika bersalin adalah disebabkan oleh prosedur epidural tersebut sahaja.

Namun biasanya sakit ini hanyalah terjadi untuk sementara waktu.

Cara mengatasi masalah sakit belakang atau sakit pinggang selepas bersalin dan semasa menyusukan bayi

 

  • Banyakkan berehat dan baring

Selepas bersalin, pastikan badan mendapat rehat yang cukup. Jika ada masa terluang, baringkan badan supaya tulang belakang tidak terbeban dan dapat rehat. 

Ini sekaligus dapat mengelakkan ibu daripada masalah sakit pinggang lepas bersalin.

  • Dapatkan urutan dan bertungku semasa dalam pantang

Untuk ibu yang bersalin secara normal, anda boleh lah dapatkan khidmat urut dan bertungku untuk lancarkan pengaliran darah dan lembutkan urat. Memang selesa sangat rasa lepas urut dan tungku kan?

Bertungku juga penting bagi membantu kelancaran darah dalam tubuh.

  • Elakkan membongkok semasa menyusu baby

Memandangkan tempoh untuk sekali penyusuan biasanya mengambil masa lebih 15 minit, ibu hendaklah menjaga posisi ketika menyusu.

Elakkan membongkokkan tubuh ke arah bayi untuk menyusu. Sebaliknya, angkat bayi kepada anda. Boleh juga guna bantal atau nursing pillow untuk menyokong bayi semasa menyusu.

Bukan itu sahaja, jika anda menyusu sambil baring, letakkan bantal peluk di bahagian belakang badan. Barulah selesa sedikit.

  • Elakkan angkat berat dan berdiri terlalu lama

Selepas bersalin, ibu dinasihatkan untuk tidak terlalu rajin dan aktif menguruskan rumah. Jangan sesekali mengangkat barangan yang berat.

Jika perlu, minta pertolongan orang yang ada di sekeliling bagi mengelakkan masalah sakit pinggang atau sakit belakang selepas bersalin.

  • Buat senaman ringan dan cuba bertenang

Lengkungan pelvis: Baring terlentang dengan bengkokkan lutut anda. Tarik nafas panjang dan tekan belakang anda ke lantai sambil melentur pelvis anda sedikit. Tahan selama 10 saat. Ulang semula kira-kira 5 minit.

Tekanan atau stress boleh menyebabkan ketegangan kepada otot dan ini menyebabkan sakit bahu, leher dan juga belakang.

Ibu juga boleh mencari jalan untuk relakskan badan seperti mandi air suam, tidur dan bertenang ketika menyusu.

  • Pakai bengkung yang sesuai

Pemakaian bengkung yang kemas dan selesa juga membantu mengurangkan sakit pinggang selepas bersalin. Pemakaian bengkung buat badan terasa lebih kemas dan menjaga postur badan.

  • Pastikan anda mendapat keperluan nutrien mencukupi

Pengambilan kalsium harian yang disyorkan bagi ibu-ibu menyusu adalah 1300 mg sehari. Nutrien ini amat penting untuk pembinaan tulang yang kuat.

Sumber kalsium boleh diperoleh daripada produk tenusu seperti keju dan yogurt, ikan, sayur-sayuran hijau, kekacang serta bijiran.

Perlu mengambil satu hingga tiga sajian sehari dan makan secara sederhana.

  • Kekalkan berat badan yang ideal

Selain itu, para ibu yang menghidap sakit tulang belakang juga perlu menjaga berat tubuh badan agar berada pada tahap optimum. Kesemua faktor ini dapat memastikan kesembuhan segera dan mengelakkan masalah daripada berulang.

Jika anda mengalami kesakitan yang kuat tanpa henti atau makin teruk, berhubunglah dengan pakar penjagaan kesihatan anda. Kebas juga adalah tanda yang tidak baik. Jumpa pakar penjagaan kesihatan dengan segera.

Semoga bermanfaat!

CC:theasianparent

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment