Memasuki tempoh kehamilan trimester kedua dan ketiga, merasai pergerakan bayi dalam kandungan adalah perkara biasa. Tetapi adakah ia situasi berbahaya jika bayi kurang gerak?
Terdapat pelbagai sebab yang boleh menyebabkan bayi dalam kandungan kurang melakukan pergerakan.
1. IBU HAMIL SANGAT AKTIF
Berada di luar dan bergerak sepanjang hari?
Dikatakan pergerakan lembut harian ibu cenderung menyebabkan bayi tertidur. Anda juga mungkin terlalu sibuk untuk menyedari bayi menendang.
2. BARU MELAKUKAN SEKS PUNCA BAYI KURANG GERAK
Ada bayi menjadi cukup aktif dan terdapat juga yang tertidur dengan irama kontraksi rahim yang berlaku ketika orgasma. Kedua-dua tindak balas adalah normal. Selagi doktor tidak melarang, hubungan seksual sepanjang tempoh kehamilan boleh dilakukan dan selamat!
3. SAIZ BAYI YANG KECIL
Sepanjang trimester kedua, pergerakan bayi boleh berubah. Mereka ada kalanya terlalu aktif dan ada masanya berhibernasi. Saiz bayi yang kecil juga boleh menyebabkan ibu kurang menyedari tentang pergerakan yang dilakukan. Ini terutamanya jika si kecil menghadap ke dalam – ke arah belakang badan ibu. Di samping itu, waktu paling aktif untuk bayi dalam kandungan adalah pada waktu malam – sewaktu anda sedang nyenyak tidur.
4. RUANG SEMAKIN BERKURANGAN MENYEBABKAN BAYI KURANG GERAK
Ketika pertama kali anda merasai tendangan kaki atau aksi akrobatik bayi, ruang di dalam rahim masih banyak. Namun menjelang trimester ketiga, situasi mula berubah, di mana bayi semakin membesar dan ruang dalam rahim akan menjadi semakin sempit. Jangan risau ruang masih ada, cuma tidak memungkinkan si manja melakukan aksi akrobatik.
5. BAYI DALAM KANDUNGAN SEDANG TIDUR
Pada tempoh kehamilan trimester ketiga, bukan sahaja intensiti pergerakan yang semakin berkurang bahkan kekerapannya juga akan menurun. Seperti si manja yang baru lahir, bayi dalam kandungan juga akan mengalami fasa tidur nyenyak. Biasanya bayi kurang gerak semasa ibu sedang aktif dan cenderung untuk beraksi apabila anda ingin melelapkan mata.
6. KEPALA BAYI SUDAH TURUN KE PELVIS
Dalam minggu-minggu terakhir kehamilan, anda akan lebih menyedari mengenai penurunan pergerakan bayi. Apabila mereka sudah ‘turun’, situasi itu akan menjadi lebih ketara. Ada kalanya apabila bayi menggerakkan kepala, anda mungkin akan berasa seperti ‘kejutan elektrik’ pada bahagian pelvis.
No comment yet, add your voice below!