Cara menyusu bayi dengan betul
Tiada cara yang betul atau salah dalam posisi penyusuan.
Paling penting adalah untuk ibu dan si manja mendapatkan posisi menyusukan bayi yang boleh membuatkan kalian berasa selesa.
Mengetahui beberapa posisi dan cara menyusu bayi dengan betul pasti dapat membantu ibu untuk melakukan penyusuan eksklusif lebih baik.
Tetapi apakah teknik penyusuan susu ibu yang boleh dicuba?
11 POSISI MENYUSUKAN BAYI
Setiap ibu akan mempunyai pilihan posisi menyusukan bayi yang tersendiri.
Sekiranya anda masih tidak pasti apakah posisi kegemaran, berikut antara 11 posisi dan teknik penyusuan susu ibu yang boleh dicuba:
1.LAID-BACK
Dikenali sebagai posisi santai atau biological nurturing.
Posisi ini akan mengaplikasikan refleks semula jadi si kecil, iaitu melibatkan kemampuannya untuk bergerak ke arah sumber makanannya – payudara ibu.
Ia bukan sahaja sesuai untuk bayi baru lahir, tetapi teknik penyusuan susu ibu ini juga boleh dicuba oleh bayi pada mana-mana peringkat usia.
Teknik ini sangat berguna untuk bayi yang tidak suka disentuh semasa menyusu, berdepan kesukaran untuk lekap pada payudara apabila didukung atau jika buah dada besar.
2.CRADLE HOLD
Merupakan posisi menyusukan bayi klasik yang sering dilakukan kebanyakan ibu.
Untuk teknik penyusuan ini, anda perlu duduk tegak dan bahagian atas bayi: kepala dan leher, dibaringkan pada lengan. Manakala badannya setentang dengan perut anda.
Penggunaan bantal atau kusyen pada bahagian belakang dan lengan amat digalakkan untuk memberikan sokongan serta keselesaan sepanjang tempoh penyusuan.
3.CROSS-CRADLE HOLD
Sekali imbas seakan sama seperti teknik penyusuan susu ibu cradle hold. Tetapi ia sedikit berbeza di mana badan bayi dibaringkan pada bahagian lengan sebelah lain.
Tujuannya adalah untuk memberikan sokongan pada leher dan bahu serta membolehkannya untuk memusingkan kepala bagi mendapatkan teknik lekapan yang betul.
Ia sesuai untuk digunakan pada bayi baru lahir, berbadan kecil serta si manja yang mengalami masalah penyusuan
4.RUGBY BALL HOLD
Untuk cara menyusu bayi dengan betul ini, si manja akan berada pada kedudukan di bawah lengan.
Badan bayi akan berada pada sisi anda, manakala bahagian kaki ke arah belakang kerusi.
Posisi menyusukan bayi ini amat sesuai untuk ibu yang menjalani pembedahan caesaeran, mempunyai bayi kembar atau bayi pramatang.
Bagi ibu dengan payudara besar juga mungkin akan menyukai teknik penyusuan ini.
5.SIDE-LYING
Posisi ini sesuai untuk penyusuan pada waktu malam atau semasa berbaring. Teknik ini juga boleh mendatangkan keselesaan buat ibu yang menjalani C-Sec.
Anda akan berada pada kedudukan mengiring dan bayi akan berbaring bersebelahan.
6.LAID-BACK SELEPAS C-SEC
Teknik ini boleh mendatangkan keselesaan buat ibu yang bersalin secara pembedahan caesarean.
Ibu akan berbaring manakala tubuh bayi akan berada di bahu tanpa berat atau tekanan pada luka.
7.UPRIGHT
Turut dikenali dengan nama koala hold.
Jika anda berminat mencuba posisi menyusukan bayi ini, si manja perlu duduk pada bahagian paha dengan kedudukan belakang badan dan kepala tegak semasa menyusu.
Teknik penyusuan susu ibu ini boleh dilakukan pada bayi baru lahir jika anda dapat memberikan sokongan pada badan mereka.
Sudah tentu cara menyusu bayi dengan betul ini amat sesuai pada bayi yang boleh duduk tanpa bantuan.
8.DANGLE
Untuk kaedah penyusuan ini bayi akan berbaring manakala anda akan membongkokkan badan ke atas si manja sambil memegang puting ke dalam mulutnya.
Teknik ini dikatakan sesuai untuk tempoh penyusuan jangka pendek. Ia amat membantu ibu yang mempunyai masalah payudara bengkak seperti mastitis dan tidak mahu payudara disentuh.
9.MENYUSU MENGGUNAKAN SLING
Bagi ibu yang ingin mencuba teknik ini, ia mungkin memerlukan sedikit latihan.
Kaedah penyusuan ini amat praktikal apabila berada di luar atau perlu melakukan pekerjaan lain yang menggunakan tangan.
Ia juga berguna jika si manja ingin berdukung dan kerap menyusu.
Teknik ini paling berkesan jika si kecil sudah mahir menghisap susu dan mampu mengangkat kepalanya sendiri tanpa sokongan.
10.DOUBLE RUGBY BALL HOLD
Cara menyusu ini adalah sesuai untuk bayi kembar.
Ini kerana anda boleh menyusukan bayi secara serentak dan dalam masa yang sama, tangan bebas untuk bergerak.
Tetapi anda mungkin memerlukan bantal penyusuan kembar yang direka khas untuk posisi menyusukan bayi ini, terutamanya selepas bersalin.
11. DANCER HAND
Jika bayi mempunyai kesukaran untuk melakukan lekapan pada payudara, khususnya bayi pramatang atau bayi Sindrom down, maka teknik ini amat sesuai.
Ia dapat memberikan sokongan kepada kepala si manja dan payudara anda.
Caranya:
- Pegang bahagian bawah payudara menggunakan sebelah tangan
- Gunakan ibu jari dan jari telunjuk membentuk ‘U’, manakala baki 3 jari yang lain terus memegang payudara (sebagai sokongan)
-
Pangku rahang bayi dengan lembut menggunakan jari yang membentuk ‘U’ semasa penyusuan
CC:hellodoktor
No comment yet, add your voice below!