Luka episiotomi atau luka jahitan bersalin bagi ibu-ibu yang bersalin secara normal tidak seharusnya diambil remeh. Ia memerlukan penjagaan yang rapi agar luka tersebut cepat sembuh dan tidak mengalami sebarang jangkitan.
Anggota intim merupakan satu kawasan yang mempunyai mekanisma pembersihan semulajadi. Kawasan ini memerlukan penjagaan yang betul terutamanya apabila melibatkan luka episiotomi di mana tahap jagaan seharusnya berada pada tahap maksimum.
Berikut merupakan 7 tips penjagaan luka jahitan bersalin normal atau luka episiotomi selepas anda melahirkan bayi.
1. PASTIKAN KAWASAN ‘PERINEUM’ BERSIH ELAK JANGKITAN PADA LUKA JAHITAN
Darah nifas serta air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka jahitan bersalin. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda memastikan bahawa kawasan ‘perineum’ dalam keadaan bersih.
Bersihkan luka jahitan tersebut sama ada dengan menggunakan air suam atau ubat sapu yang telah dibekalkan oleh pihak hospital.
Elakkan daripada menyapu benda asing lain di kawasan ‘perineum’ seperti serbuk manjakani atau minyak gamat yang tidak kita ketahui tahap kebersihannya.
2. SEMBELIT MENYEBABKAN LUKA JAHITAN LAMBAT PULIH
Sembelit perlu dielakkan kerana masalah sembelit akan memberikan tekanan di bahagian perineum semasa meneran untuk membuang air besar. Perkara ini akan menyebabkan luka jahitan bersalin tersebut terlerai sedikit atau mungkin terlerai terus.
Minum banyak air dan makan banyak sayur-sayuran serta buah-buahan bagi membantu kelancaran proses pembuangan najis.
Pasti anda pernah mendengar kenyataan bahawa minum air dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan perineum atau peranakan berair, manakala makan sayur-sayuran pula akan menyebabkan angin. Kedua-dua kenyataan ini adalah mitos semata-mata dan tidak benar sama sekali.
Ketahuilah bahawa kekurangan air dalam badan bukan sahaja akan menyebabkan sembelit, malah menjadi punca luka episiotomi lambat sembuh serta menyebabkan gangguan pada penghasilan susu badan.
3. PAKAI PAKAIAN DALAM JENIS KAPAS
Pakaian dalam juga turut memainkan peranan penting dalam penjagaan luka episiotomi ini.
Pakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas (cotton) kerana material ini berupaya menyerap peluh. Ianya sangat penting bagi mengelakkan kelembapan di kawasan perineum.
4. KERAP TUKAR PAD
Adalah sangat penting untuk anda menukar pad dengan kerap serta lap kering perineum setelah ke tandas.
Perkara ini bertujuan untuk mengelakkan potensi infeksi pada bahagian perineum dan luka episiotomi.
5. CUCI ‘PERINEUM’ DENGAN CARA YANG BETUL
Kaedah yang betul untuk mencuci bahagian ‘perineum’ adalah dengan mencucinya dari arah hadapan ke belakang (dari kawasan ‘perineum’ ke ‘anus’ ).
Dengan mengamalkan cara mencuci sebegini, anda dapat mengelakkan flora pada ‘anus’ daripada menjangkiti luka episiotomi.
6. ELAKKAN MENCANGKUNG
Bagi mengelakkan regangan pada luka episiotomi, seeloknya gunakan tandas duduk dan elakkan daripada mencangkung.
7. PERIKSA TANDA JANGKITAN
Jika luka anda agak lewat sembuh tetapi tidak ada sebarang tanda jangkitan seperti di bawah, teruskan penjagaan luka episiotomi daripada senarai 1 hingga 6 seperti biasa.
CC:PantangPlus
No comment yet, add your voice below!