PEMILIHAN PAKAIAN YANG BERSESUAIAN BAGI ANAK
Pemilihan pakaian yang mengutamakan aspek keselesaan dan kesesuaian bagi anak adalah sangat penting. Pakaian yang cantik dan mengikut peredaran masa kadangkala tidak bersesuaian dengan keadaan semasa. Secara faktanya, keadaan cuaca dan suhu di Malaysia hampir seragam sepanjang tahun iaitu antara 21° C sehingga 36° C. Kebanyakan ibu pasti setuju bahawa baju yang terlalu tebal tidak begitu sesuai untuk bayi dengan keadaan cuaca negara kita yang agak panas.
Pengudaraan yang baik
Bayi dan kanak-kanak memerlukan pengaliran udara yang baik supaya suhu badan mereka tidak naik secara mendadak bila dalam keadaan cuaca yang agak panas. Pengawalan suhu berlaku menerusi sistem perpeluhan bagi orang dewasa. Namun, bayi yang masih dalam proses tumbesaran masih belum memiliki sistem perpeluhan yang baik. Secara semulajadinya, agak sukar bagi mereka menurunkan suhu badan dalam keadaan cuaca yang panas.
Pakaian anak dengan sistem pengudaraan yang baik dilihat daripada beberapa sudut seperti ketebalan pakaian, material kain, rekaan fesyen dan juga warna pakaian.
Kain kapas adalah material terbaik
Pakaian anak yang diperbuat daripada material kain kapas boleh didapati dengan begitu mudah pada masa kini. Kain kapas sesuai digunakan hampir dalam semua keadaan cuaca termasuk ketika hari sedang panas.
Kain kapas cukup selesa apabila bersentuhan dengan kulit bayi. Ia menyediakan keseimbangan lembapan yang sesuai, seterusnya menjadikan ia material kain terbaik untuk dipakaikan kepada anakanda. Salah satu kelebihan kain kapas ialah kemampuannya menyerap lembapan atmosfera di sekelilingnya dengan kadar antara 8 sehingga 10 peratus menjadikan ia sentiasa lembut apabila bersentuhan dengan kulit bayi dan kanak-kanak.
Penutup kepala
Secara ringkasnya, pemakaian penutup kepala seperti serkup kepala dan topi bukanlah satu keperluan. Anda mungkin pernah melihat petugas hospital mengenakan penutup atau serkup ke atas kepala bayi sebaik sahaja mereka selamat dilahirkan di hospital. Langkah ini dilakukan bertujuan untuk memanaskan tubuh mereka sebaik sahaja dilahirkan ke dunia. Namun, menurut pakar kanak-kanak, memakaikan topi dan penutup kepala bukan suatu keperluan sebaik sahaja anda membawa mereka pulang ke rumah.
Serkup kepala sesuai dikenakan dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk seperti negara-negara yang mengalami musim salji. Namun, bagi negara yang mengalami iklim khatulistiwa seperti cuaca di negara kita, penggunaan topi pelindung matahri adalah digalakkan ketika berada di luar dalam keadaan cahaya matahari yang memancar terik.
Kredit gambar: Laman web raisingchildren
No comment yet, add your voice below!