Skip to content

MOMMIES MENGALAMI BENGKAK SUSU? INI CARA ATASINYA!

BAGAIMANA MOMMIES NAK ATASI MASALAH BENGKAK SUSU?

Assalamualaikum dan selamat pagi!

Harini Suraya Mothercare nak berkongsi tentang cara atasi masalah bengkak susu pada mommies.

Masalah bengkak susu adalah keadaan yang sangat memeritkan. Pada peringkat ini, payudara mommies sangat keras dan sangat sensitif terhadap sentuhan yang sedikit.

Silap hari bulan, emosi mommies juga akan terganggu; rasa nak marah je. Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang tahu betapa terseksanya jiwa dan raga mereka ketika itu.

Tetapi apakah sebenarnya masalah bengkak susu ini? Dan adakah terdapat kaedah untuk merawat bengkak susu?

Bengkak susu adalah antara masalah yang sering dihadapi oleh ibu menyusu selain daripada kekurangan susu, puting merengsa dan sebagainya.

Namun setiap masalah yang dihadapi sudah tentu ada penyelesaiannya. Tapi sebelum tu, apa kata mommies faham dulu masalah bengkak susu.

Bengkak susu ialah keadaan yang berlaku apabila payudara membengkak. Ini biasanya berlaku kerana susu ibu yang berlebihan dan tidak boleh dikeluarkan. Keadaan ini menyebabkan sakit di bahagian payudara akibat mengeras.

Masalah ini akan berlaku apabila ibu menghasilkan terlalu banyak susu tetapi bayi menyusu terlalu sedikit. Ia seperti ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan. Akibatnya, payudara akan menjadi keras dan bengkak. Ini menyukarkan penyusuan ibu.

Masalah bengkak susu selalunya berlaku dari bahagian dada hingga ke ketiak. Beberapa simptom bengkak susu yang boleh dikenal pasti termasuk:

  • Payudara bengkak, keras, ngilu dan sakit.
  • Keadaan sekeliling payudara merah, panas dan ada benjolan keras apabila disentuh.
  • Puting bengkak, areola keras sehingga menyukarkan bayi untuk menyusu.
  • Kelenjar di ketiak juga terasa bengkak dan sakit.

Namun, masalah ini jarang berlaku pada kedua-dua payudara pada masa yang sama. Kadang-kadang ia hanya bengkak di bahagian areola atau ketiak sahaja.

Dalam sesetengah kes, bagi mommies yang ada bengkak susu ini juga mengalami demam ringan. Namun, bengkak susu adalah masalah yang boleh dirawat di rumah dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

_________________________

CARA ATASI MASALAH BENGKAK SUSU

Di bawah adalah beberapa langkah atau kaedah untuk merawat bengkak susu yang boleh dilakukan di rumah.

  • Tuam atau basuh payudara dengan air suam (tidak terlalu panas) untuk membantu susu ibu mengalir dengan mudah.
  • Mommies juga boleh memilih untuk mandi dengan air panas dengan menghalakan air panas ke arah payudara. Semasa mandi, ingatlah untuk mengurut payudara dalam gerakan membulat.
  • Sebaiknya susukan bayi dengan kerap setiap dua atau tiga jam. Jika bayi sedang tidur tetapi susu masih mengalir, mommies perlu mengepam susu tersebut.
  • Mommies juga boleh mengurut payudara perlahan-lahan untuk menjadikan susu lebih lancar dan membantu mengurangkan kesakitan akibat bengkak.
  • Sekiranya bengkak, perah susu dengan tangan. Tindakan ini boleh membantu mengekalkan kelembutan areola.
  • Jika bayi mommies menyusu secara terus dari payudara, elakkan mengepam susu terlalu kerap.
  • Mommies juga boleh menuam pada payudara mommies sebelum dan selepas menyusukan bayi.
  • Elakkan dari menggunakan baju dalam yang kecil untuk mengelakkan saluran susu tersumbat.
  • Sekiranya bengkak yang dialami terlalu menyakitkan, mommies boleh mengambil ubat yang sesuai. Walau bagaimanapun, pastikan mommies mendapat nasihat dan rundingan daripada doktor terlebih dahulu

_________________________

ELAKKAN PERKARA INI UNTUK MERAWAT BENGKAK SUSU

 

1. Daun kubis

Sesetengah orang percaya bahawa menggunakan daun kubis boleh membantu mengurangkan bengkak yang disebabkan oleh susu.

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, kubis mengandungi enzim yang boleh menyebabkan “kilang” susu mengecut, seterusnya menyebabkan penurunan pengeluaran susu ibu.

Jika mommies masih mahu letakkannya, mommies hanya perlu meletakkan untuk masa yang sekejap sahaja.

2. Pam susu

Sememangnya, bengkak susu ini berlaku kerana lebihan susu tidak dikeluarkan. Tetapi sebaiknya elakkan mengepam susu ketika payudara masih terlalu bengkak.

Malah, ada sesetengah orang mengatakan ia boleh melambatkan bengkak lambat surut dan berisiko memburukkan keadaan.

Pilih untuk menggunakan tangan. Tangan mommies boleh merasakan setiap satu saluran pada payudara. Malah, keadaan tangan yang panas juga dipercayai dapat melancarkan aliran susu yang tersumbat.

Setelah bengkak pada payudara telah berkurang, mommies boleh memilih untuk menggunakan pam susu. Walau bagaimanapun, pastikan mommies menggunakan mod pengepaman yang paling ringan.

_________________________

JANGAN AMBIL MUDAH MASALAH INI!

Bengkak susu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai perkara kecil. Walaupun ini bukan satu masalah kesihatan yang memerlukan rawatan hospital. Tetapi keadaan ini, jika tidak dirawat, boleh mendatangkan risiko kemudaratan kepada mommies.

Jadi, bagi mommies yang menyusu, pastikan mommies menjalankan sesi penyusuan secara berkala untuk bayi anda. Tiada jadual penyusuan bayi.

Susukan bayi mommies 10 hingga 12 kali sehari. Proses penyusuan ini adalah salah satu masa untuk mengeratkan kasih sayang antara mommies dan bayi.

Haa mommies dah tahu kan bagaimana cara untuk atasi masalah bengkak susu? Semoga bermanfaat!

cc: hellodoktor

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment