Setiap wanita pasti memasang impian untuk menyusukan bayi dengan susu badan. Ketika bayi sedang berada dalam kandungan lagi, ahli keluarga dan rakan-rakan anda mungkin akan memberikan nasihat berkenaan penyusuan susu ibu kepada anda.
Akan tetapi, tidak semua daripada nasihat itu adalah berguna dan ada kalanya agak mengelirukan terutamanya buat ibu baharu.
Jadi, anda sebagai seorang ibu perlu faham mengenai pelbagai fakta dan mitos berkenaan penyusuan badan.
Mitos berkenaan penyusuan susu ibu
Buat bakal ibu di luar sana, pastikan anda ambil tahu perkara-perkara ini terlebih dahulu sebelum menyusukan bayi anda dengan susu badan, ya?
Mitos #1. Bayi secara semula jadi tahu bagaimana untuk menyusu badan
Fakta: Setiap bayi akan lahir dengan refleks yang membantu mereka untuk proses menyusu badan seperti refleks menghisap (suck reflexes) dan refleks mencari (rooting reflexes).
Kedua-dua refleks ini sangat membantu untuk bayi mencari puting susu ibu dan menghisapnya. Pun begitu, proses penyusuan badan kadangkala tidak berjaya.
Ini kerana proses ini perlu dipelajari secara berperingkat oleh kedua-dua bayi dan ibu. Selain itu, ubatan yang diambil semasa melahirkan bayi juga sedikit sebanyak akan menjejaskan refleks bayi ini. Jadi, hanya gunakan ubatan seperti ini apabila perlu sahaja!
Mitos #2. Penyusuan susu ibu adalah menyakitkan
Fakta: Sebenarnya, proses ini sangat jarang mendatangkan rasa sakit kepada ibu. Apa yang membuatkan proses itu menyakitkan adalah puting sensitif ekoran peningkatan kadar hormon selepas melahirkan bayi.
Untuk pengetahuan anda, puting sensitif adalah normal namun rasa sakit padanya semasa menyusu badan adalah tidak normal. Antara punca kesakitan pada puting adalah teknik dan posisi menyusu badan yang tidak betul.
Jadi, sila berunding dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Mitos #3. Penyusuan susu ibu akan terganggu jika puting anda tidak sempurna
Fakta: Hakikatnya, setiap wanita akan lahir dengan saiz dan bentuk puting yang berbeza-beza. Oleh itu, tiada istilah puting “sempurna” untuk membolehkan proses menyusu badan menjadi lancar.
Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa setiap bayi adalah berlainan. Saiz dan bentuk mulut mereka sudah pasti adalah tersendiri, begitu juga dengan lidah dan bibir mereka.
Sebenarnya, kejayaan proses menyusu badan tidak bergantung kepada faktor anatomi sahaja sebaliknya kerjasama antara ibu dan bayi itu sendiri.
Mitos #4. Anda tidak boleh menyusu badan selepas mengambil suntikan vaksin
Fakta: Ini juga tidak benar kerana ia tidak akan memberi kesan sekiranya bayi anda sihat. Malahan sebenarnya, bayi anda juga mungkin akan menerima manfaat daripada vaksin si ibu.
Pun begitu, anda perlu berhati-hati jika anak anda mempunyai sistem imunisasi yang lemah.
Dalam kes sebegini, anda yang menerima vaksin yang mengandungi virus lemah seperti polio, campak, beguk atau rubella perlu elak daripada menyusukan bayi dengan susu badan.
Konklusi
Sebenarnya, terdapat banyak lagi fakta dan mitos berkenaan penyusuan badan yang bakal ibu di luar sana perlu tahu.
Jadi, sentiasa berhubung dengan doktor anda untuk sentiasa mendapatkan nasihat dan rawatan lanjutan, jika perlu.
CC:hellodoktor
No comment yet, add your voice below!