MENGIDAM, NAFSU ATAU PEMBAWAKAN ANAK?
Mengidam adalah satu perkara biasa yang dialami pada si ibu mengandung, biasanya mengidam makanan yang manis dan masin adalah perkara yang berlaku hanya ketika kehamilan dan tidak akan dimakan pada hari-hari biasa jika tidak mengandung. Begitu pun, mengidam semasa mengandung tidak berlaku kepada semua wanita hamil. Perkara seperti peningkatan keperluan kalori serta zat makanan (nutrien) semasa kehamilan dan keperluan untuk pertumbuhan atau pembentukan janin merupakan alasan mengapa keadaan ini berlaku. Mengidam sesuatu jenis makanan semasa mengandung turut dikaitkan sebagai petanda berlakunya kekurangan zat makanan atau nutrien. Sebagai contoh, seseorang wanita hamil yang mengidam susu atau produk tenusu seperti keju menunjukkan kekurangan kalsium. Manakala mengidam makanan manis seperti coklat menandakan peningkatan keperluan kalori atau kekurangan vitamin B.
Walau sekuat mana anda mengidam sesuatu makanan, pastikan anda berfikiran waras. Fikirkan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan. Tidak salah untuk anda mengidam semasa mengandung dan pada masa yang sama, masih dapat membekalkan segala nutrien yang diperlukan oleh anda dan bayi dalam kandungan. Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil makanan tersebut secara berlebihan. Sebagai contoh, sekiranya anda mengidam untuk makan coklat, pastikan anda hanya makan 1 kepingan atau potongan kecil sahaja dan bukannya keseluruhan kepingan coklat. Pengambilan makanan yang tinggi kalori terutamanya yang tinggi kandungan gula dan lemak atau minyak boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang berlebihan secara mendadak. Pertambahan berat badan yang berlebihan akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit diabetes semasa mengandung dan masalah tekanan darah tinggi.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda lakukan sekiranya anda mengidam sesuatu jenis makanan:
- Makan makanan yang seimbang dan pilih makanan yang kurang lemak serta tinggi serat seperti produk bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran serta kekacang. Sekiranya anda makan secara sihat setiap hari, sesekali anda mengidam makanan yang kurang berkhasiat dan diambil dalam jumlah yang sedikit tidak menjejaskan keperluan zat yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan.
- Makan secara kerap dan boleh makan enam kali dalam sehari dalam jumlah yang sedikit tetapi mengenyangkan. Ini bagi membantu mengelakkan penurunan paras gula dalam darah sehingga sukar untuk mengawal keinginan untuk makan.
- Alihkan perhatian dengan keluar berjalan, bersembang, membaca atau menjauhi dapur anda atau kedai.
- Beri tumpuan kepada makanan yang rendah kandungan kalorinya. Sekiranya ingin makan ais krim, pilih ais krim yang diperbuat daripada yogurt rendah lemak yang disejuk beku atau sorbet.
- Sekiranya mengidam untuk makan kerepek kentang (bergoreng), pilih yang dibakar atau dipanggang dan kurang garam.
Walau apa pun makanan yang anda inginkan atau mengidam, yang penting ia diambil secara sederhana.
Kredit: Portal rasmi MYHEALTH KKM
No comment yet, add your voice below!