Manfaat susu ibu sangat luas
Kaedah rawatan di rumah umumnya dianggap sebagai cara semula jadi untuk menyembuhkan sesuatu keadaan kesihatan atau penyakit yang kecil.
Biasanya ia merupakan amalan tradisi, budaya, adat istiadat atau ubatan tradisional yang diwarisi daripada seorang individu ke individu yang lain.
Harus diingatkan bahawa amalan rawatan di rumah ini tidak semestinya mempunyai bukti saintifik untuk mengesahkan keberkesanannya.
Adakalanya, ia mungkin boleh mendatangkan lebih banyak bahaya daripada kebaikan.
Jadi sebaiknya dapatkan nasihat doktor sebelum mencuba sebarang kaedah rawatan di rumah walaupun tidak dinafikan terdapat ribuan kelebihan dan manfaat susu ibu.
11 MANFAAT SUSU IBU DALAM RAWATAN DI RUMAH
Berikut dikongsikan 11 penggunaan susu badan sebagai alternatif menarik untuk dicuba di rumah.
- JANGKITAN MATA DAN TELINGA
Ia adalah situasi biasa untuk bayi baru lahir mengalami masalah saluran air mata yang tersumbat dan ia biasanya sembuh sendiri.
Namun adakalanya ia boleh menyebabkan jangkitan dan cecair yang dikeluarkan daripada mata si manja akan mencacatkan kecomelan wajah mereka.
Dalam sesetengah budaya, susu badan digunakan untuk merawat jangkitan mata serta masalah mata merah, kongjungtivitis.
Malahan, manfaat susu ibu juga dikatakan boleh menyembuhkan jangkitan pada telinga.
- TOREHAN, KESAN TERBAKAR ATAU LUKA KECIL
Susu badan dikatakan berkesan untuk menyembuhkan luka, kesan terbakar atau torehan kecil sebagai rawatan di rumah.
Bahkan menggunakan susu ibu dapat mencegah daripada berlakunya jangkitan.
- MENGUATKAN SISTEM IMUN
Jika si manja kurang sihat, berikan mereka menyusu susu ibu. Ia dikatakan dapat meningkatkan sistem ketahanan badan dan memendekkan serta mengurangkan selesema yang dialami.
- KETUAT
Sebagai rawatan di rumah, susu juga boleh digunakan untuk merawat kuat.
Dengan meletakkan susu ibu padanya, ia akan menyebabkan ketuat kering dan jatuh. Berkesankah? Cubalah dahulu!
- GATAL DAN SENGATAN
Jangan tidak tahu, manfaat susu ibu juga berkesan untuk menghilangkan sengatan dan kegatalan kesan gigitan serangga, sengatan lebah, cacar air dan racun daripada ivy, sumac serta oak.
Ternyata sifat susu badan yang menenangkan dan kaya antibakteria dapat membantu memulihkan kawasan terjejas itu.
- PUTING SAKIT ATAU LUKA
Antara kebimbangan ibu menyusu adalah masalah puting yang sakit atau luka kesan daripada proses penyusuan.
Tetapi usah risau, anda mempunyai ubat ajaib yang boleh membantu melega dan menyembuhkan keadaan tersebut dengan menggunakan susu ibu.
Tak percaya? Namun, itulah manfaat susu ibu.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah menitiskan sedikit susu ke puting selepas selesai penyusuan dan biarkan ia mengering dengan sendiri.
- MEMBERSIHKAN KULIT
Dalam beberapa kes, susu badan juga dikatakan boleh digunakan untuk membersihkan kulit, menanggalkan solekan serta membersihkan jerawat.
- HIDUNG TERSUMBAT
Penyedut hidung atau penggunaan jarum suntikan getah penting untuk membantu membersih dan melegakan masalah hidung tersumbat yang dialami bayi baru lahir .
Ada ibu yang menggunakan alat tersebut dengan larutan garam pelembap pada hidung bayi sebelum menyedut hingus keluar.
Hakikatnya susu ibu juga boleh digunakan memandangkan ia mempunyai fungsi melawan dan antikeradangan.
Di samping itu, tidak seperti air garam yang masin, bayi juga sudah tentu mengenali rasa susu badan. Maka mereka akan berasa kurang terganggu jika tertelan ketika proses berlangsung.
- PELEMBAP KULIT
Seperti yang dinyatakan susu ibu dapat melegakan puting sakit. Ini bermakna ia juga berkesan untuk masalah dermatitis atopik ringan hingga sederhana seperti ekzema.
Ada yang mengatakan bahawa ia turut membantu melegakan bibir pecah dan merawat masalah ruam lampin.
Dalam kajian yang dilakukan pada 2013 mendapati, manfaat susu ibu berkesan seperti penggunaan hidrokortison pada bayi dengan masalah ruam lampin.
- PENYEMBUHAN KHATAN
Ada sesetengah ibu bapa yang mendakwa susu badan boleh digunakan untuk mencegah dan merawat jangkitan pada bahagian khatan.
- SAKIT TEKAK
Ada yang mengatakan masalah sakit tekak juga boleh dirawat menggunakan susu ibu. Apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan berkumur menggunakan susu badan tersebut.
Langkah berjaga-jaga
Susu ibu segar (tidak dipasteur boleh mengandungi jangkitan bakteria dan kulat berbahaya, seperti streptococcus, staphylococcus, dan candida (yeast).
Ia juga berisiko untuk menyebarkan jangkitan virus termasuk sitomegalovirus (CMV), virus herpes simplex dan human immunodeficiency virus (HIV).
Oleh sebab itu jika anda ingin meletakkan susu ibu segar ke dalam mata atau telinga, atau pada luka di kulit, terdapat risiko untuk berlakunya komplikasi, penyakit, dan jangkitan.
Untuk mendapatkan lebih kepastian, anda disaran mendapatkan rundingan dan pandangan doktor sebelum mencubanya, okay?
CC:hellodoktor
No comment yet, add your voice below!