Skip to content

MANA SATU YANG TERBAIK UNTUK BAYI?.INI PERBEZAAN ANTARA SUSU IBU DENGAN SUSU FORMULA!

Setiap orang mungkin mempunyai pendapat dan halangan yang berbeza dalam menyusukan anak. Justeru amat penting untuk anda mengetahui terlebih dahulu perbezaan susu ibu dan susu formula.

Bagi ibu pertama kali, ada yang mungkin sukar untuk mengeluarkan susu badan sendiri namun sering mendapat kecaman kerana ingin menggunakan susu formula. Sebenarnya tidak salahpun mana-mana pilihan anda asalkan anak membesar dengan baik dan sihat.

Di sini, kami menerangkan dengan lebih lanjut tentang perbezaan susu ibu dan susu formula agar dapat memutuskan sendiri pilihan anda. Dalam artikel ini, anda akan faham lebih lanjut tentang:

  • Perbezaan susu ibu dan susu formula dari segi kandungan dan khasiat
  • Kelebihan susu badan
  • Cabaran menyusu buat ibu baru
  • Jenis-jenis susu formula di pasaran

Apakah perbezaan susu ibu dan susu formula?

Sebelum kita pergi lebih terperinci tentang perbezaan susu ibu dan susu formula, ingin kami ingatkan, semua ibu di dunia ini mahukan yang terbaik buat anak mereka.

Namun menyediakan susu ibu yang cukup buat bayi bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Sebab itulah adanya  pilihan jika tidak dapat memberi susu ibu, gantikannya dengan susu formula.  Sekiranya tidak berjaya juga, bolehlah mendapatkan ibu susuan.

Tentu saja anda tahu akan saranan mengenai penyusuan bayi dengan susu ibu secara eksklusif memerlukan masa sekurang-kurangnya selama 6 bulan. Malah, WHO juga mengeluarkan panduan1:

  • Mula menyusu dalam tempoh sejam selepas bersalin
  • Hanya beri bayi susu ibu dan jangan menambah apa-apa benda lain (air atau susu)
  • Jangan guna puting atau botol susu untuk 6 bulan pertama

Perbezaan susu ibu dan susu formula dari segi kandungan dan khasiat

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk memberi susu formula pada anak, adalah lebih bagus jika anda tahu kelebihan susu ibu berbanding susu formula. Ini antara perbezaannya2:

Susu ibu

  • Ia semula jadi, selamat dan segar dari badan ibu
  • Mempunyai antibodi yang mampu melindungi bayi dari virus merbahaya
  • Mempunyai penambah imuniti untuk anak
  • Membantu tumbesaran anak
  • Mempunyai kalori yang cukup untuk perkembangan bayi
  • Mempunyai enzim dan bakteria baik untuk pencernaan bayi

 

Susu formula

  • Diperolehi dari proses makanan
  • Tidak ada enzim dan bakteria baik

Dari segi nutrisi atau khasiat pula, perbandingan susu ibu dan susu formula ialah2:

Nutrisi susu ibu

  • Kaya dengan Omega 3 termasuklah Docosahexaenoic acid (DHA) dan Arachidonic acid (AA)
  • Kaya dengan 2 jenis protein, kasein danwhey
  • Ada laktoferin yang membantu menguatkan sistem pencernaan
  • Ada antimikrobial lysozim
  • Mengandungi protein yang menggalakkan tidur (bayi mudah tidur)
  • Tinggi dengan laktosa
  • Mengandungi pelbagai vitamin dan mineral termasuklah zat besi, zink, dan kalsium
  • Ada selenium antioksida
  • Kaya dengan hormon prolaktin, oksitosin dan thyroid
  • Mempunyai enzim penting seperti lipase dan amilase

Nutrisi susu formula

  • Mempunyai DHA dan AA yang diperoleh dari susu seperti susu lembu atau kambing
  • Kandungan vitamin dan mineral juga diperoleh dari sumber selain susu ibu
  • Kandungan laktosa boleh diubah (terdapat susu formula yang tidak mempunyai laktosa)
  • Tidak mempunyai kolesterol yang tinggi seperti susu ibu
  • Tidak mempunyai hormon
  • Hanya sesetengah susu formula sahaja mempunyai selenium

Kajian mendapati bayi yang menerima susu ibu sepenuhnya dijauhkan daripada sebarang risiko obesiti, penyakit kencing manis, memiliki daya penglihatan serta susu gigi lebih cantik.

Ini kerana sesetengah bayi mempunyai alergi terhadap protein di dalam susu formula. Jadi, sebagai langkah berhati-hati, pastikan anda telah mendapatkan konsultasi doktor bayi anda.

Kesimpulannya untuk para ibu yang boleh menyusu badan, rebutlah peluang ini untuk anda bersyukur kerana dapat menyediakan nutrisi lengkap kepada si manja tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.

Memilih untuk memberi susu badan atau formula adalah hak keputusan ibu ayah yang bergantung kepada keupayaan diri dan keperluan anak.

Kelebihan susu ibu

Bagi mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu, pemberian susu ibu sepenuhnya sehingga bayi berusia enam bulan dan kemudian diteruskan lagi sehingga berumur dua tahun amat digalakkan.

Selain itu kolostrum di dalam susu ibu  juga menguatkan sistem imuniti di mana ia melindungi bayi dari jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru. Selain ia mencegah masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi3.

Susu ibu yang mudah diperolehi dengan kadar suhu yang tepat pada setiap masa juga memberi keselesaan serta keselamatan emosi bayi. Secara tidak langsung ia mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara ibu dengan anak.

Penyusuan susu ibu bukan sahaja memberi kelebihan kepada bayi malah turut kepada ibu terutama dalam membantu mengecutkan rahim. Proses ini dapat mengembalikan rahim kepada saiz asal dengan lebih cepat dan dapat mengurangkan pendarahan selepas bersalin3.

Bentuk badan asal juga akan diperoleh dengan lebih cepat kerana penyusuan susu ibu membakar kalori. Malah penyusuan susu ibu juga dapat mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.

Cabaran menyusu badan buat ibu baru & cara atasinya

1# Inverted nipple

Inverted nipple atau lebih dikenali sebagai puting tenggelam adalah antara masalah yang sering dihadapi oleh para ibu. Keadaan ini menyebabkan bayi sukar untuk melekap dengan baik semasa proses penyusuan kerana keadaan puting ibu yang seakan-akan rata4.

Tetapi masalah ini boleh diatasi dengan beberapa cara antaranya dengan teknik urutan stimulasi puting dengan cara menggentel puting menggunakan jari telunjuk dan ibu jari sambil menarik-narik puting sebelum menyusukan bayi.

Mengepam susu secara manual mahuoun menggunakan pam susu badan juga dapat membantu mengatasi masalah ini. Ini kerana semasa proses mengepam susu ia dapat menstimulasikan puting agar memudahkan bayi bagi proses penyusuan.

Malah ada juga sesetengah ibu menggunakan nipple shield yang juga dapat membantu mengatasi masalah ini.

2# Tidak cukup ilmu menyusu

Menyusukan bayi merupakan satu proses yang sangat mencabar dan memerlukan ilmu yang betul bagi menjayakan proses ini. Sebelum memulakan proses ini ibu harus tahu jumlah keperluan susu mengikut umur bayi .

Lazimnya bayi yang baru lahir kekerapan menyusu mereka di antara setiap satu hingga tiga jam sekali. Semakin meningkat usia kekerapan menyusu akan semakin berkurangan5.

Ibu juga harus peka terhadap tanda dan bahasa tubuh bayi yang sedang lapar antaranya ialah:

  • Bayi memusingkan kepala ke arah payudara
  • Mengerakkan mulut seolah-olah menyusu atau menghisap tangan dan lidah
  • Mengeliatkan badan
  • Bayi nampak gelisah

3# Salah lekapan

Lekapan yang betul semasa proses penyusuan adalah sangat penting bagi menjayakan proses penyusuan bayi.

Selain itu salah lekapan juga membuatkan bayi berasa tidak selesa, tidak puas menyusu serta tidak mendapat jumlah susu yang sepatutnya.

Antara tips yang boleh dilakukan bagi bayi melekap dan menyusu dengan betul adalah dengan memastikan bayi membuka mulut dengan luas sebelum memulakan penyusuan.

Selain tu pastikan bayi berada dalam keadaan selesa dan menghisap bahagian puting dan areola dengan betul.

4# Stress

Segelintir ibu yang menyusukan bayi akan berasa stress semasa proses menyusukan bayi. Ini kerana proses menyusukan bayi merupakan suatu proses yang kadang kala membuatkan para ibu berasa penat, tidak selesa, lesu, mengantuk serta kurang tidur, sengal-sengal badan dan dan sebagainya.

Hal ini sangat mengganggu emosi para ibu dan secara tidak langsung turut mempengaruhi bayi. Ini kerana hormon stress (cortisol) boleh disalurkan kepada anak melalui susu ibu seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku anak di masa akan datang seperti mudah rasa takut, sensitif, cepat marah dan sebagainya.

Sokongan dan bantuan pasangan bagi mengatasi masalah ini adalah sangat diperlukan. Selain itu mencari punca dan menyelesaikan masalah ini dapat membantu mengurangkan stress.

5# Saluran susu tersumbat

Masalah sakuran susu tersumbat  sering kali menganggu proses penyusuan. Ini kerana payudara yang membengkak akan menyebabkan para ibu berasa sakit, tidak selesa dan ngilu.

Pastikan juga bayi mengosongkan payudara setiap kali sesi menyusu, mengurut dan mandi menggunakan air hangat. Mengepam susu juga dapat membantu meringan rasa sakit saluran susu tersumbat, selain tuam payudara dengan menggunakan tuala panas.

Jenis-jenis susu formula

1# Susu lembu

Susu lembu paling mudah diperoleh di pasaran. Bagaimanapun tidak semua bayi sesuai meminumnya berikutan kandungan laktosa dalam susu lembu boleh menyebabkan cirit-birit.

Namun susu lembu kaya dengan kandungan kalsium di mana dapat membantu dalam pertumbuhan dan menguatkan tulang bayi.

2# Susu kambing

Khasiatnya hampir menyerupai susu ibu dan dianggap sebagai susu kedua terbaik selepas susu ibu. Namun harga susu kambing lebih mahal berbanding susu lain kerana mudah dihadam kerana iaitu hanya 20 minit berbanding susu lembu selama dua jam. Susu kambing juga dapat mencegah bayi dari penyakit kuning.

3# Susu soya

Susu formula yang berasaskan soya ini sesuai bagi bayi yang alah pada susu bersumberkan protein haiwan.

4# Susu berkeperluan khas

Susu jenis ini diberikan atas saranan doktor bagi kes-kes tertentu. Contohnya untuk bayi yang lahir pramatang atau bayi yang mempunyai alahan tertentu.

Kekurangan susu formula

Walaupun ada sesetengah ibu tidak mampu memberikan susu badan terus kepada anak, ibu juga harus ingat tidak semua susu formula baik untuk anak. Ini kerana:

1# Ada gula tambahan

Kebanyakan susu formula di pasaran mempunyai kandungan gula tambahan yang boleh menyebabkan obesiti di kalangan bayi.

Ini juga boleh menyebabkan gigi bayi mudah rosak dan reput kerana gula tambahan yang terdapat di dalam susu formula akan mendap/berada di atas gigi bayi untuk tempoh yang lama.

Ibu bapa disarankan untuk mengelap gigi dan gusi bayi menggunakan kain atau tuala basah selepas bayi meminum susu formula.

2# Tiada antibodi

Susu formula tidak mempunyai antibodi yang boleh membantu bayi dalam melawan dan mencegah penyakit.

Contohnya jika ibu telah mendapat vaksin atau pernah dijangkiti Covid-19, sistem pertahanan tubuh ibu telah mempunyai pertahanan terhadap serangan penyakit ini. Jadi dengan penyusuan bayi antibodi ini dapat disalurkan kepada bayi.

3# Tiada kolostrum

Susu formula tidak mempunyai kolostrum yang dapat menguatkan sistem imunisasi bayi. Fungsi kolostrum ini ia melindungi bayi daripada beberapa masalah yang sering dihadapi oleh bayi seperti jangkitan selsema, cirit-birit, radang paru-paru mahupun bronchitis.

Sekiranya penyediaan susu formula tidak dilakukan dengan betul dan bersih, ia akan menyebabkan bayi mengalami masalah muntah serta cirit-birit, kekurangan zat makanan (sekiranya sukatan bancuhan tidak dilakukan dengan betul) dan juga jangkitan kepada saluran pernafasan.

Bagaimana ibu perlu memutuskan yang mana terbaik

Menyusukan bayi merupakan suatu pengalaman yang indah buat ibu dan bayi. Setiap ibu mahukan perkara yang terbaik buat bayi mereka. Menyusu bayi dapat mencipta satu ikatan yang istimewa antara ibu dan bayi.

Susu ibu merupakan sumber makanan yang terbaik dan lengkap untuk tumbesaran bayi. Ia mengandungi nutrient yang lengkap seperti vitamin, zat , protein dan sebagainya. Ia juga mempunyai kandungan antibodi yang memberikan perlindungan kepada bayi dalam mencegah dan melawan penyakit.

Kandungan komposisi susu ibu juga berubah mengikut tahap pembesaran dan keperluan tubuh bayi. Susu ibu juga mudah dihadam dan mengurangkan risiko bayi mengalami masalah sembelit, kembung perut atau kolik, alergik dan juga mengurangkan masalah obesiti.

Selain itu, ia menjimatkan masa dan wang kerana anda tidak perlu membeli keperluan menyusu seperti susu formula, botol dan puting susu dan juga sabun botol serta tidak perlu meluangkan masa dalam menyediakan susu formula kepada bayi.

Bagaimanapun bukan semua ibu berpeluang menyusukan anak dan perlu memilih kaedah penyusuan susu formula kepada bayi masing-masing.

Bagi ibu yang mempunyai penyakit tertentu penghasilan susu badan mungkin terganggu kerana pengambilan ubat dan vitamin. Susu badan juga boleh berkurangan kerana tisu kelenjar yang tidak mencukupi disebabkan mencuba pelbagai kaedah menyusu.

Faktor umur seperti berusia lewat 30-an dan mengayakan cara hidup tidak sihat seperti merokok dan meminum alkohol juga boleh menyebabkan susu badan berkurangan.

Malah bagi sesetengah kes seperti bayi pramatang, doktor mungkin menasihatkan ibu memberikan anak mereka susu berkeperluan khas kerana bayi mempunyai alahan tertentu.

cc:theasianparent

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment