Tali pusat bayi memainkan peranan yang sangat penting sewaktu bayi di dalam kandungan. Tali pusat mula terbentuk pada usia janin lebih kurang 5 minggu. Tali pusat ini bersambung dengan ‘placenta’ atau uri dan menyalurkan darah yang kaya dengan nutrisi dan oksigen yang diperlukan oleh janin untuk terus hidup dan berkembang di dalam rahim si ibu.
Darah yang telah ternyah-oksigen daripada bayi juga ‘dikembalikan’ kepada uri melalui tali pusat. Jadi tali pusat bolehlah dianggap seperti ‘talian hayat’ bagi bayi.
Setelah bayi dilahirkan, tali pusat yang bersambung dengan uri akan disepit menggunakan ‘cord clamp’ bagi mengelakkan darah daripada uri terus disalurkan kepada bayi.
Jika tidak, ada kemungkinan terlalu banyak darah akan tersalur ke dalam sistem peredaran darah bayi yang boleh membawa pelbagai komplikasi. Tali pusat kemudiannya digunting supaya terpisah daripada uri. Bayi tidak merasa sakit sewaktu tali pusat ini digunting kerana tiada sistem saraf atau deria rasa pada tali pusat.
1. SENTIASA BERSIH
Bersihkan bahagian pusat setiap kali selepas mandi atau menukar lampin. Dengan cara ini, anda akan membantu mengeringkan bahagian dasarnya dan mempercepatkan proses tali pusat luruh.
2. KAPAS BERSIH
Sentiasa menggunakan kapas yang bersih dan dibasahkan sedikit dengan air bersih atau cecair dibekalkan hospital/klinik apabila hendak membersihkan kawasan sekeliling pusat bayi.
3. PASTIKAN KERING
Selepas membersihkan pusat, ambil sebiji lagi kapas dan sapu kering di bahagian sekeliling pusat yang dibersihkan tadi.
4. JANGAN TUTUP
Elakkan memakai lampin sehingga menutup bahagian pusat bayi yang belum luruh kerana ia akan menyebabkan pusat menjadi lembap dan meningkatkan risiko jangkitan kuman. Kawasan tersebut perlu sentiasa kering dan bersih sepanjang masa.
5. JANGAN RENDAM DALAM AIR
Oleh kerana tali pusat mengambil masa seminggu lebih untuk luruh maka sepanjang tempoh tersebut, anda mesti mengelakkan daripada memandikan bayi dengan cara merendam keseluruhan badannya di dalam air. Gunakan kaedah mengelap atau mengalirkan air sahaja supaya air tidak masuk ke dalam bahagian pusat bayi.
6. PASTIKAN PAMPERS DITUKAR SEGERA
Pastikan pampers ditukar segera apabila lembab atau anak membuang air. Dikhuatiri najis akan terkena tali pusat dan mencemarkannya. Jangan tarik tali pusat bila tali pusat tu hampir tertanggal, boleh menyebabkan pendarahan pada tali pusat. Biarkan tali pusat jatuh sendiri. Jangan sapu minyak gamat atau apa jenis minyak sapu selain dibekalkan hospital. Jangan sapu bedak atau losyen di kawasan tali pusat. Bedak tidak membantu mengeringkan tali pusat.
7. TANDA JANGKITAN
Perhatikan tanda jangkitan pada tali pusat bayi seperti:
– Bayi demam tinggi
– Kemerahan
– Nanah keluar dari tali pusat
– Bengkak luar biasa sekitar tali pusat.
– Bau yang kurang enak pada tali pusat dan sekitar pusat.
Jangkitan pada tali pusat boleh membahayakan nyawa bayi jika lewat dirawat kerana kuman dikhuatiri akan menjangkit ke organ sekitar dan merebak hingga ke dalam salur darah. Segera ke klinik kesihatan terdekat jika terdapat tanda seperti tersebut bukannya upload dalam mana-mana group untuk bertanya-tanya.
No comment yet, add your voice below!