“Sejak mengandung ni, malam-malam asyik kena ‘simpul biawak’. Bukan main sakit lagi, rasa macam fobia nak tidur malam pun ada. Kenapa orang mengandung selalu kena penyakit ni ya? Ada ke cara nak elakkan daripada asyik berulang lagi?
Cramp, ‘simpul biawak’ atau ‘tarik mengkarung’ adalah antara istilah yang popular di kalangan ibu mengandung. Selalunya gejala ini menyerang di bahagian kaki. Selain kekejangan, wanita hamil juga mudah berasa lenguh pada kaki terutamanya pada waktu tidur malam.
Berikut adalah antara cara mencegah kekejangan kaki dan lenguh semasa hamil.
1 ) URUTAN
Apabila diserang kekejangan atau simpul biawak, luruskan dan gerak-gerakkan kaki serta hujung jari. Seeloknya pastikan hujung jari mengarah ke atas dan bahagian tumit pula mengarah ke bawah supaya otot betis berasa lega. Seterusnya, urut betis perlahan-lahan ke arah bahagian bawah kaki.
2 ) TUAMAN / RENDAMAN AIR PANAS
Jika masih berasa kejang atau lenguh, cuba rendamkan kaki dalam air suam atau gunakan alat tuaman panas. Perubahan suhu ini dapat menjadikan otot lebih relaks dan mengurangkan rasa sakit pada kaki.
3 ) SENAMAN REGANGAN
Sejak mengandung, mungkin ibu-ibu berasa lebih sukar untuk bergerak dan cepat letih. Namun, tabiat ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan kerana kurangnya pergerakan boleh menjadikan anda cenderung diserang kekejangan dan lenguh-lenguh. Selain senaman ini, ramai ibu turut merasakan bahawa berenang sangat sesuai dilakukan walaupun sarat mengandung.
4 ) BETULKAN POSTUR
Pastikan postur sentiasa dalam keadaan optimum. Semasa duduk, elakkan tabiat melipat kakisupaya darah dapat mengalir ke bahagian kaki secara lebih menyeluruh.
Ketika tidur, gunakan bantal tambahan agar tubuh berasa lebih selesa. Contohnya, letakkan sebiji bantal pada kaki untuk menopangnya.
5 ) MINUM AIR KOSONG SECUKUPNYA
Sekiranya anda jarang mencukupkan keperluan air kosong sebanyak 8-12 gelas sehari, inilah masanya untuk anda berbuat demikian. Jika anda jenis yang susah minum air kosong, anda boleh juga berusaha menambah keperluan tersebut dengan dengan jus buah-buahan (tanpa gula).
6 ) UTAMAKAN DIET SEIMBANG
Kekurangan magnesium, kalsium, dan garam galian boleh menjadi punca utama anda sering merasa lenguh atau cramp kaki ketika hamil. Sejak hamil, keperluan bagi ketiga-tiga nutrien ini juga bertambah selari dengan usia kehamilan anda. Ubah gaya pemakanan anda kepada makanan yang bernutrisi tinggi, terutamanya kalsium dan magnesium. Lebihkan sayuran hijau, hasil tenusu, buah-buahan, dan gantilah snek yang tidak berkhasiat dengan kekacang seperti almond, badam, dan pistachio.
7 ) MINUM SUSU & MAKAN TINGGI KALSIUM
Ibu-ibu yang sering diserang kekejangan pada waktu malam merasakan bahawa meminum segelas susu sebelum tidur dapat membantu mengurangkan gejala tersebut.
8 ) MAKAN SUPLEMEN YANG DIPRESKRIPSIKAN
Biasanya, ibu hamil akan diberikan suplemen oleh Klinik Kesihatan iaitu pil Zat Besi (iron tablet), Asid Folik, Vitamin B Kompleks, dan Vitamin C. Keempat-empat pil ini amat penting untuk mencukupkan keperluan nutrisi harian anda.
Oleh itu, patuhi jadual dan makanlah suplemen ini setiap hari. Jangan mengelat atau sengaja menukarkan pil ini dengan produk-produk lain yang tidak diketahui kandungan bahannya tanpa pengawasan doktor.
No comment yet, add your voice below!