Skip to content

CARA BONDING SEMASA BAYI DI NICU!

BAGI BAYI YANG LAHIR PRAMATANG!

Assalamualaikum dan selamat petang!

Harini Suraya Mothercare ingin berkongsi tentang cara untuk bonding saat bayi di NICU.

Bagi ibu-ibu yang melahirkan bayi pramatang, pastinya akan terasa seperti ada jurang dalam perhubungan terutama jika bayi pramatang itu berada di NICU. Cuba cara ini untuk mengeratkan jalinan kemesraan anda dengan bayi.

Ikuti perkongsian kali ini untuk ketahui dengan lebih lanjut.

 

_________________________

BONDING DENGAN BAYI PRAMATANG DI NICU

Bonding ialah ikatan yang kuat dan berkekalan antara bayi dengan individu yang menjaga mereka. Hubungan ini kekal dari semasa ke semasa dan berkembang berdasarkan detik yang dicipta setiap hari.

Ini termasuk senyuman, sentuhan, bercakap dengan penuh kasih sayang dan bertindak balas terhadap keperluan bayi anda. Ini adalah proses dua hala antara ibu bapa dan bayi.

Sensasi unik ini membantu bayi berasa lebih selamat dan terjamin. Ia juga merupakan asas penting untuk perkembangan mereka.

Anda mungkin bimbang bahawa tidak akan dapat menjalin ikatan dengan bayi pramatang di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Pasti sedih apabila anda terpaksa berpisah dengan anak kerana mereka memerlukan penjagaan hospital.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk merapatkan hubungan dengan bayi semasa berada di NICU.

 

TIPS ERATKAN HUBUNGAN DENGAN BAYI PRAMATANG

Walaupun bayi anda dilahirkan pramatang, mereka sudah boleh ‘mengenali’ anda melalui suara dan bauan. Kehadiran anda mewujudkan rasa selesa dan merupakan titik permulaan yang baik untuk memulakan ikatan.

Berikut ialah beberapa idea untuk membantu membina ikatan kemesraan semasa anak anda masih di NICU.

 

1. Menyentuh dan memegang

Sentuhan, pegangan dan mengurut bayi anda boleh membantu menenangkan bayi.Bayi akan belajar bahawa mereka boleh mengharapkan anda untuk menenangkan mereka.

Bergantung pada umur bayi pramatang, kakitangan NICU mungkin mencadangkan perkara berikut:

  • Bendungan – Letakkan tangan dan lengan pada kedua-dua sisi bayi semasa mereka berbaring di atas katil. Ini membolehkan bayi pramatang mengalami keadaan yang sama seperti dalam kandungan.
  • Sentuhan ringan – Elakkan mengusap kerana ia boleh menjadi terlalu banyak rangsangan.
  • Penjagaan kanggaru – Sentuhan kulit ke kulit adalah penting dan anda boleh memegang dan memeluk bayi. Ia akan menenangkan anda dan bayi. Ia juga dikatakan dapat membantu bayi pulih atau sembuh lebih cepat daripada masalah perubatan yang biasa berlaku pada bayi pramatang.
  • Penyusuan kosong – Bayi baru lahir di NICU mungkin mengalami oral aversion terhadap kesan penggunaan tiub pada mulut dan wajah. Menyusukan bayi walaupun tanpa susu akan membantu mengatasi masalah ini.
  • Kehadiran anda di sisi katil – Bayi anda mengenali suara dan bau anda. Oleh itu, adalah penting untuk anda berada di sisi katil untuk membantu anak anda berasa tenang dan membesar dengan lebih baik.

 

2. Fahami bahasa tubuh bayi pramatang

Bayi akan menggunakan bahasa badan untuk menyatakan perasaan mereka. Lama kelamaan, anda akan dapat memahami bahasa badan anak anda.

Kakitangan perubatan juga boleh membantu anda mempelajari cara membaca bahasa tubuh bayi.

 

3. Bermain dengan bayi pramatang

Bermain dengan bayi membantu untuk:

  • Mengenali antara satu sama lain
  • Mengembangkan otak bayi
  • Membuatkan bayi berasa disayangi dan selamat
  • Mengajar bayi mengenai perhubungan dan keselesaan
  • Mengajar bayi mengenai persekitaran fizikal yang boleh dilihat, didengar, dirasa dan dihidu

Semasa bayi berada di NICU, aktiviti bermain boleh melibatkan membuat raut muka, menyanyi, tersenyum dan bercerita. Sentiasa perhatikan bahasa badan bayi untuk menentukan sama ada mereka gembira.

 

4. Berkongsi bau

Memeluk bayi adalah cara terbaik untuk bayi mengenali bau anda. Jika anda masih belum melakukannya, letakkan sesuatu yang mempunyai bauan ke dalam inkubator bayi, seperti baju.

Selain itu, elakkan menggunakan minyak wangi atau deodoran wangi kerana bayi mungkin tidak dapat mengenali bau anda.

Walau bagaimanapun, sentiasa berjumpa doktor terlebih dahulu.

 

5. Boleh diramal 

Melakukan perkara yang sama akan membantu bayi anda menyedari bahawa anda adalah orang yang konsisten dalam hidupnya.

Sebagai contoh, katakan atau buat perkara sama setiap kali anda ingin melakukan penjagaan kanggaru bagi memberikan isyarat kepada bayi bahawa sesuatu yang menenangkan akan berlaku.

Bayi akan mula berasa selamat bersama anda dan cara anda bersama dengan mereka.

 

6. Mengepam susu untuk bayi pramatang

Susu ibu adalah makanan penting untuk bayi dan mengepam susu adalah perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk bayi.

 

7. Menjaga bayi

Kakitangan perubatan akan menerangkan cara menjaga bayi pramatang. Anda boleh membantu mencuci muka, menukar lampin dan membaringkan semula bayi.

Melalui penjagaan bayi ini, anda akan merasakan sebahagian daripada kehidupan mereka dan bayi kecil akan belajar mengenali ibunya. Anda juga akan belajar bagaimana mengendalikan bayi dengan cara yang disukainya.

 

MENJAGA DIRI SENDIRI

Melahirkan bayi pramatang di NICU boleh memberi tekanan dan adalah wajar untuk mempunyai emosi yang bercampur-campur. Tetapi penting untuk memastikan diri anda dan emosi anda sihat.

Jika anda sihat, anda akan dapat menjaga dan membina bonding yang lebih baik dengan mereka.

Semoga bermanfaat!

 

cc: hellodoktor

@facebooktwitterpinterestinstagram

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment